10 Petua untuk Mengurangkan Faktor Risiko Kanser | Hospital Gleneagles
First slide First slide
Penjagaan Pencegahan
Kekal Sihat

10 Petua untuk Mengurangkan Faktor Risiko Kanser

08 Disember 2023 · 3 mins read

Topics



Hari Kanser Sedunia adalah inisiatif global yang disambut pada 4 Februari setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran tentang kanser, dan menggalakkan pencegahan, pengesanan dan rawatan kanser. Kira-kira 1 dalam 4 kanser baharu boleh dicegah dengan mengubah faktor risiko yang boleh dielakkan atau boleh diubah suai. Ketahui lebih lanjut.

Kanser merupakan keadaan perubatan yang berlaku apabila gen yang terdapat di dalam sel individu, yang membentuk tubuh manusia, bertindak secara berbeza daripada sel normal. Sel-sel ini mula membahagi di luar kawalan dan merebak ke kawasan badan yang lain.

Tahukah anda bahawa satu daripada sepuluh rakyat Malaysia mengalami kanser? Hampir 49,000 kes baharu dilaporkan pada tahun 2020 dan jumlahnya dijangka meningkat dua kali ganda menjelang tahun 2040.

Lima jenis kanser yang paling biasa di Malaysia ialah:

  1. Kanser payudara
  2. Kanser kolorektal (kolon)
  3. Kanser paru-paru
  4. Kanser pangkal hidung (salah satu kanser kepala & leher)
  5. Kanser hati

Beberapa pilihan gaya hidup tertentu telah dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser. Ini termasuk merokok, berat badan yang berlebihan, diet yang tidak sihat, pengambilan alkohol yang berlebihan dan kurang melakukan aktiviti fizikal.

Jawab soalan pada Kuiz Risiko Kanser ini untuk mengetahui cara mengurangkan risiko kanser anda.

Pertimbangkan 10 petua ini untuk mengurangkan risiko kanser anda

Pengubahsuaian gaya hidup secara kecil-kecilan boleh memberi kesan yang besar. Kira-kira 1 dalam 4 kanser baharu boleh dicegah dengan mengubah faktor risiko yang boleh dielakkan atau boleh diubah suai.

  1. Berhenti merokok: Menghisap rokok dan penggunaan tembakau merupakan punca kanser yang paling utama, dan yang boleh dicegah. Merokok dikaitkan dengan beberapa jenis kanser termasuk kanser paru-paru, mulut dan tekak.

    Sekarang masanya untuk anda berhenti merokok! Bincangkan strategi untuk berhenti merokok dengan doktor anda. Jadikan rumah anda bebas asap rokok juga, kerana asap rokok sekunder juga merupakan punca kanser paru-paru yang diketahui.

  2. Menjaga berat badan yang sihat: Lemak badan yang berlebihan dapat meningkatkan risiko pelbagai jenis kanser.

  3. Amalkan pemakanan yang sihat: Pilih diet yang kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin sempurna. Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi gula, garam, lemak tepu dan daging proses.

  4. Amalkan gaya hidup yang aktif fizikal: Menjadi aktif secara fizikal telah dikaitkan dengan risiko kanser yang lebih rendah. Bersenam setiap hari selama sekurang-kurangnya 30 minit, daripada berjalan pantas hingga aktiviti berintensiti sederhana. Tingkah laku sedentari telah dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser.

  5. Pengambilan alkohol: Pengambilan alkohol yang berlebihan boleh meningkatkan risiko kanser mulut, larinks, hati, esofagus, kolon dan payudara. Hadkan pengambilan alkohol anda.

  6. Kurangkan pendedahan kepada matahari: Elakkan pendedahan yang terlalu lama kepada cahaya matahari atau sebarang sumber sinaran ultraungu yang berbahaya. Jangan lupa untuk menggunakan krim pelindung matahari.

  7. Elakkan toksin alam sekitar dan industri: Sesetengah bahan kimia, logam, habuk, gentian dan pekerjaan telah ditunjukkan dapat meningkatkan risiko kanser tertentu.

  8. Ikuti nasihat doktor anda jika anda menjalani terapi penggantian hormon.

  9. Dapatkan vaksin: Vaksin papilomavirus manusia (HPV) berkesan terhadap kanser serviks.

  10. Hadiri program penyaringan kanser: Ujian penyaringan bertujuan untuk mengesan kanser lebih awal, iaitu pada peringkat yang mana rawatan adalah lebih berkesan. Bagi wanita, pemeriksaan mamogram boleh membantu mengesan kanser payudara lebih awal. Pap smear (alat saringan kanser pangkal rahim) merupakan alat pemeriksaan kanser serviks yang utama. Alat ini mengumpul sampel kecil sel daripada serviks untuk mengesan keadaan prakanser dan kanser serviks. Ujian saringan lain termasuk kolonoskopi untuk kanser kolon. Serta tomografi berkomputer berdos rendah untuk kanser paru-paru.

Atur Janji Temu di Hospital Gleneagles

Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Jika anda mengalami sebarang tanda dan gejala kanser atau mahu menjalani ujian penyaringan kanserhubungi kami untuk mengetahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Onkologi di Hospital Gleneagles berdekatan anda.

Hospital Gleneagles bekerjasama dengan ahli onkologi untuk membantu pesakit sepanjang rawatan kanser. Pasukan profesional penjagaan kesihatan yang prihatin dan pelbagai disiplin sedia untuk berunding dan memberikan penjagaan yang terbaik.


Suggested Artikel