Topics
Kekeringan faraj adalah isu biasa yang memberi kesan kepada ramai wanita, terutamanya semasa menopaus. Namun, keadaan ini turut memberi kesan kepada wanita tidak kira umur atas pelbagai sebab, seperti perubahan hormon, penyusuan susu ibu dan stres.
Kekeringan faraj merujuk kepada keadaan faraj tidak mempunyai kelembapan dan pelinciran yang mencukupi. Kekurangan pelinciran faraj semula jadi boleh mengakibatkan ketidakselesaan, kerengsaan dan kesakitan di sekitar kawasan kemaluan.
Ini boleh disebabkan oleh penurunan tahap estrogen, lalu menimbulkan gejala seperti ketidakselesaan, kerengsaan dan kesakitan semasa aktiviti seksual. Estrogen memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan dan pelinciran tisu faraj dan apabila parasnya menurun, hal ini boleh menyebabkan kekeringan dan isu lain yang berkaitan.
Simptom Kekeringan Faraj
Simptom kekeringan faraj berbeza antara setiap wanita. Namun demikian, keadaan ini biasanya dilihat sebagai gabungan simptom berikut:
- Gatal-gatal faraj yang berterusan.
- Rasa pedih pada faraj.
- Sakit atau ketidakselesaan semasa persetubuhan.
- Kekerapan kencing meningkat atau mendesak.
- Jangkitan saluran kencing (UTI) yang berulang.
Punca Kekeringan Fara
Kekeringan faraj semasa menopaus dikaitkan dengan pengurangan tahap estrogen. Apabila paras estrogen menurun, tisu faraj menjadi kering kerana pelinciran yang tidak mencukupi. Selain menopaus, perubahan hormon lain, seperti semasa hamil, menyusu atau fasa tertentu kitaran haid, boleh menyebabkan kekeringan faraj sementara.
Sesetengah rawatan seperti pembedahan pembuangan ovari, radioterapi atau kemoterapi pelvis untuk rawatan kanser boleh menyebabkan penurunan tahap estrogen, lalu mengakibatkan kekeringan faraj. Ubat-ubatan seperti danazol, medroxyprogesterone, leuprolide atau nafarelin menjejaskan pengeluaran estrogen, lalu mengakibatkan kekeringan faraj.
Penggunaan sabun, detergen atau produk pembersih tertentu dengan bahan kimia yang kuat dan merengsa boleh merengsakan kawasan faraj dan menyumbang kepada kekeringan.
Faktor emosi seperti stres dan kebimbangan turut boleh menjejaskan kesihatan seksual dan boleh menyumbang kepada kekeringan faraj. Kesejahteraan psikologi dikaitkan dengan fungsi seksual dan tekanan boleh menjejaskan tahap hormon.
Pilihan Rawatan Untuk Kekeringan Faraj
Berikut adalah beberapa pilihan rawatan yang boleh membantu kekeringan faraj.
Pelembap dan pelincir faraj
Pelembap faraj dirumus untuk melembapkan tisu faraj. Pelembap faraj boleh dibeli di farmasi dan harus digunakan dengan kerap untuk mengelakkan kekeringan faraj. Sama ada anda memilih krim atau gel, penting bahawa produk itu seimbang pH, bebas perengsa dan tanpa pewangi untuk mengelakkan kemungkinan tindak balas.
Pelincir faraj ialah produk yang digunakan semasa persetubuhan untuk mengurangkan geseran semasa hubungan seks. Terdapat pelbagai jenis - berasaskan air, minyak atau silikon. Namun, pelincir berasaskan air biasanya disyorkan kerana sifatnya yang tidak merengsakan.
Terapi estrogen dos rendah
Terapi estrogen dos rendah ditetapkan untuk rawatan yang lebih berkesan, terutamanya jika pelincir dan pelembap tidak mencukupi. Ia boleh didapati dalam bentuk krim, tablet atau cincin; krim digunakan setiap hari pada mulanya dan kemudian kurang kerap, manakala cincin dipakai secara berterusan.
Estrogen faraj dos rendah menimbulkan risiko sistemik yang lebih rendah berbanding produk lain yang mengandungi estrogen. Ubat progestin mungkin diperlukan bergantung pada estrogen faraj tertentu yang digunakan.
Dehydroepiandrosterone (DHEA)
Prasterone diberikan sebagai supositori harian yang dimasukkan ke dalam faraj; ia berubah menjadi estrogen dan testosteron secara setempat. Prasterone berfungsi sebagai pilihan bagi golongan yang tidak dapat menggunakan estrogen atau memilih untuk mengelakkannya sementara masih mempertimbangkan rawatan hormon faraj yang lain.
Ospemifene
Ospemifene adalah ubat preskripsi dengan kesan seperti estrogen yang boleh didapati dalam bentuk pil. Ia menjadi alternatif bagi golongan yang lebih suka pilihan bukan melibatkan faraj tetapi boleh menyebabkan kesan sampingan yang ringan.
Atur Janji Temu Di Hospital Gleneagles
Jika anda mengalami kekeringan faraj, dapatkan penyelesaian yang betul dan amalkan gaya hidup yang lebih selesa dan memuaskan. Hubungi kami untuk mengatur janji temu dengan pasukan ginekologi hari ini atau ketahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Gleneagles yang terdekat dengan anda.