Topics
Ketahui lebih lanjut tentang pelbagai aktiviti interaktif yang boleh membantu meningkatkan kemahiran motor halus kanak-kanak.
Kemahiran motor halus merujuk kepada penggunaan otot-otot kecil di tangan, jari dan pergelangan tangan untuk pergerakan yang tepat. Kanak-kanak memerlukan kekuatan, koordinasi mata dan tangan, deria sentuhan dan ketangkasan yang baik untuk menulis, makan dan berpakaian sendiri. Dalam panduan ini, Hospital Gleneagles berkongsi pencapaian motor halus mengikut umur, tanda yang perlu diberi perhatian dan 10 aktiviti mudah yang boleh dilakukan di rumah.
Mengapakah kemahiran motor halus penting untuk kanak-kanak?
Kemahiran ini membolehkan kanak-kanak melakukan tugasan harian seperti menulis, melukis, membutang pakaian dan menggunakan sudu tanpa bantuan. Apabila tangan dan jari semakin kuat dan cekap, kanak-kanak menjadi lebih berdikari dan yakin untuk mencuba aktiviti baharu, sama ada di rumah atau di sekolah.
- Meningkatkan koordinasi mata dan tangan: Penting untuk tugasan seperti menangkap bola dan memasang objek.
- Meningkatkan kemahiran tulisan tangan: Kekuatan tangan dan kawalan jari membantu kanak-kanak menulis dengan kemas.
- Menyokong perkembangan kognitif: Aktiviti tangan melatih tumpuan dan kemahiran menyelesaikan masalah.
- Memupuk sikap berdikari: Kanak-kanak dapat berpakaian, mengikat tali kasut dan makan sendiri.
Apakah pencapaian motor halus kanak-kanak mengikut umur?
Kemahiran motor halus berkembang secara berperingkat, bermula dengan kebolehan mengikuti objek dengan mata dan memegang objek, sebelum berkembang kepada penggunaan jari, melukis dan melakukan aktiviti yang lebih kompleks. Walaupun setiap kanak-kanak berkembang pada kadar yang berbeza, jadual di bawah menunjukkan pencapaian motor halus yang lazim mengikut umur.
Jadual 1: Pencapaian motor halus kanak-kanak mengikut umur
Umur | Motor halus |
6 minggu |
|
3 bulan |
|
6 bulan |
|
9 bulan |
|
12 bulan (1 tahun) |
|
15 bulan |
|
18 bulan |
|
24 bulan (2 tahun) |
|
2 tahun 6 bulan |
|
3 tahun |
|
4 tahun |
|
Bilakah ibu bapa perlu risau tentang perkembangan motor halus anak?
Dapatkan penilaian doktor jika anak mengalami kelewatan perkembangan, kehilangan kemahiran yang pernah dikuasai atau menunjukkan kesukaran menggunakan tangan untuk aktiviti harian. Antara tanda yang perlu diberi perhatian termasuk:
- Tangan masih sentiasa digenggam selepas usia 3 bulan.
- Tidak memegang mainan yang diletakkan di tangan pada usia sekitar 4 hingga 5 bulan.
- Tidak memindahkan objek dari satu tangan ke tangan yang lain pada usia sekitar 9 bulan.
- Belum menggunakan ibu jari dan jari telunjuk untuk mengambil objek kecil pada usia 15 bulan.
- Menunjukkan keutamaan menggunakan satu tangan sahaja sebelum usia 18 bulan.
- Tidak bermain dengan mainan mengikut fungsinya pada usia 18 bulan, contohnya menolak kereta mainan, menyusun kiub atau menekan butang pada mainan.
- Mengalami kesukaran melakukan aktiviti yang memerlukan koordinasi tangan mengikut peringkat umur.
- Kehilangan kemahiran yang pernah dikuasai pada sebarang umur.
Apakah aktiviti untuk meningkatkan kemahiran motor halus kanak-kanak?
Aktiviti yang melibatkan memicit, mencubit, memotong dan memasukkan objek kecil paling berkesan untuk menguatkan otot tangan. Pilih aktiviti yang sesuai dengan umur dan minat anak supaya mereka seronok berlatih. Gunakan bahan mesra kanak-kanak dan sentiasa awasi anak, terutamanya apabila menggunakan objek kecil.
Jadual 2: Aktiviti di rumah untuk melatih tangan dan jari kanak-kanak
No. | Aktiviti | Huraian |
1 | Memotong dan menampal pelekat | Melatih otot kecil di jari, koordinasi tangan-mata dan tumpuan. |
2 | Menekan gelembung plastik | Menekan gelembung dengan jari menguatkan jari dan melatih kawalan pergerakan. |
3 | Menyambung titik | Menyambungkan titik bernombor membantu koordinasi tangan-mata dan kawalan pensel. |
4 | Suai gambar dan blok binaan | Menyusun dan memasang blok melatih genggaman, putaran pergelangan tangan dan kesedaran ruang. |
5 | Doh atau tanah liat | Memicit, menggulung dan membentuk doh menguatkan jari dan memberi rangsangan deria sentuhan. |
6 | Mengutip barang menggunakan penyepit | Mengambil bola kapas atau gumpalan kertas meningkatkan kekuatan dan ketepatan tangan. |
7 | Mewarna dan melukis | Krayon dan berus cat yang sesuai dengan umur meningkatkan cengkaman pensel dan ketepatan. |
8 | Melukis menggunakan penitis warna | Memicit penitis untuk menitiskan warna melatih otot tangan dan pergelangan tangan. |
9 | Memasukkan bebenang | Memasukkan tali atau tali kasut melalui butang besar atau pasta berlubang melatih koordinasi tangan-mata dan kawalan jari. |
10 | Memasukkan manik dan membuat rantai | Membuat rantai atau gelang daripada manik besar melatih tumpuan dan kawalan jari. |
Soalan lazim (FAQ)
1. Bagaimanakah saya tahu anak saya perlu terapi motor halus?
Jika anak menghadapi kesukaran dengan tugas seperti menconteng, menyusun blok, memegang pensel atau sering menjatuhkan objek, berjumpa doktor untuk penilaian. Doktor boleh merujuk anak kepada ahli terapi carakerja jika terapi diperlukan.
2. Adakah kelemahan kemahiran motor halus tanda masalah perkembangan lain?
Kadangkala, ya. Kelemahan kemahiran motor halus boleh berkaitan dengan kelemahan otot, koordinasi atau gangguan neurologi tertentu. Penilaian awal dapat mengenal pasti punca dan membolehkan sokongan dimulakan lebih cepat.
3. Aktiviti apakah yang sesuai untuk kanak-kanak berumur 2 tahun?
Kanak-kanak berumur dua tahun boleh berlatih melalui aktiviti mudah seperti menyusun blok, mewarna dengan krayon besar dan membuka penutup bekas plastik.
4. Mengapakah anak saya cepat penat semasa menulis?
Kanak-kanak yang cepat penat ketika menulis mungkin mempunyai kekuatan tangan yang belum berkembang sepenuhnya atau koordinasi motor halus yang masih belum matang. Aktiviti seperti bermain doh, menguntai manik dan menggunakan penyepit boleh membantu menguatkan otot tangan dan meningkatkan kawalan pergerakan jari. Jika masalah berterusan, dapatkan penilaian doktor atau ahli terapi carakerja.
5. Perlukah saya berjumpa pakar pediatrik atau ahli terapi carakerja?
Pakar pediatrik boleh menilai sama ada terdapat punca perubatan yang mempengaruhi perkembangan anak. Ahli terapi carakerja pula membantu meningkatkan kemahiran motor halus melalui aktiviti dan latihan yang sesuai. Kedua-duanya memainkan peranan yang saling melengkapi dalam menyokong perkembangan kanak-kanak.
Buat Temu Janji di Hospital Gleneagles
Sama ada anda ibu bapa, penjaga atau pendidik, penting untuk memberikan sokongan untuk pembangunan kemahiran motor halus kanak-kanak bagi memperkasakan mereka untuk melibatkan diri dengan dunia secara yakin dan berdikari.
Hubungi kami untuk tempah janji temu dengan pakar pediatrik kami hari ini atau ketahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Pediatrik di Hospital Gleneagles yang terdekat dengan anda.