Topics
Diastasis recti adalah keadaan yang berlaku apabila dua otot rektus abdominis dipisahkan oleh jarak yang luar biasa lebar. Otot rektus abdominis adalah lapisan di bawah kulit yang berfungsi kuat semasa batuk dan ketika mengangkat.
Juga dikenali sebagai "six-pack", rektus abdominis dihubungkan di tengah oleh jalur berserabut yang dipanggil linea alba, yang memanjang dari tulang dada ke bahagian atas pelvis.
Bagi diastasis recti, tahap pemisahan dua otot rektus abdominis mungkin berbeza. Otot menjadi lebih panjang dan lemah kerana rahim yang mengembang menolak otot semasa hamil.
Apabila bayi membesar, otot dan linea alba meregang dan memanjang. Peregangan linea alba boleh menyebabkan otot yang menyokong perut anda bertambah jarak.
Simptom diastasis recti
Simptom diastasis recti termasuk:
- Bonjolan yang kelihatan pada garis tengah perut.
- Kelemahan dan kesukaran melibatkan otot perut.
- Sakit pinggang.
- Disfungsi lantai pelvik, seperti inkontinens.
Faktor risiko diastasis recti
Faktor risiko berikut boleh menyumbang kepada perkembangan diastasis recti:
- Hamil kembar dua atau tiga
- Bayi bersaiz besar
- Berat badan berlebihan
- Otot abdomen yang lemah
- Kerap mengangkat objek yang berat
Ketahui jika saya mengalami diastasis recti
Diastasis recti menjadi lebih jelas pada fasa akhir kehamilan atau selepas bersalin.
- Titik pemisahan terbesar adalah pada umbilicus (pusat). Boleh dilihat apabila anda berbaring telentang dan mengangkat kepala atau kaki anda.
- Anda mungkin melihat jurang, bonjolan atau "kubah" di antara otot perut anda. Anda boleh mengukur jarak ini dengan hujung jari atau pita pengukur.
- Belakang anda terdedah kepada kecederaan dengan regangan linea alba yang teruk sehingga 20 sentimeter). Oleh itu, penting untuk mengekalkan postur yang betul. Regangan kecil 3cm atau kurang biasanya pulih dengan sendirinya.
Rawatan diastasis recti
Rawatan untuk diastasis recti bertujuan membantu menguatkan otot perut dan meningkatkan fungsinya.
- Fisioterapi: Latihan ini selalunya termasuk pengukuhan otot perut yang lembut dan progresif, memfokuskan pada abdomen melintang dan otot lantai pelvis.
- Perubahan gaya hidup: Mengekalkan berat badan yang sihat, senaman yang kerap dan mengamalkan postur yang baik boleh membantu mengelakkan ketegangan yang berlebihan pada otot perut dan mencegah diastasis recti daripada menjadi lebih teruk.
- Pembedahan: Pilihan ini mungkin diperlukan dalam kes diastasis recti yang teruk untuk membaiki otot perut yang lemah atau terpisah, memulihkan otot perut dan meningkatkan kekuatan teras keseluruhan.
Mencegah diastasis recti
Diastasis recti adakalanya mustahil untuk dicegah sepenuhnya. Namun begitu, beberapa langkah boleh diambil untuk meminimumkan risiko dan berpotensi mengurangkan keterukan keadaan.
- Bersenam dengan kerap: Untuk meningkatkan kekuatan otot.
- Amalkan postur yang baik: Untuk mengekalkan kedudukan tulang belakang yang neutral dan mengelakkan lengkungan yang berlebihan atau membongkok.
- Pastikan penambahan berat badan yang sihat semasa hamil: Untuk mengelakkan berat badan berlebihan yang boleh menegangkan otot perut.
- Gunakan teknik mengangkat yang betul: Untuk mengelak daripada memberi tekanan yang berlebihan pada otot perut apabila mengangkat objek berat.
- Kembali bersenam secara beransur-ansur selepas bersalin
Atur janji temu di Hospital Gleneagles
Diagnosis dan rawatan awal boleh membantu mencegah diastasis recti daripada bertambah teruk sambil meningkatkan kekuatan otot perut anda.
Hubungi kami untuk tempah janji temu dengan pakar ginekologi kami hari ini atau ketahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Gleaneagles yang terdekat dengan anda.