Panduan Penggunaan Cawan Haid | Hospital Gleneagles
health-digest-menstrual-cup-copy18bd47f26-1746-439e-bcd2-4f8c683504e3 health-digest-menstrual-cup-copy18bd47f26-1746-439e-bcd2-4f8c683504e3
Penjagaan Pencegahan
Penjagaan Pencegahan
Kesihatan Wanita

Panduan Penggunaan Cawan Haid

13 Disember 2023 · 4 mins read

Topics






Ketahui lebih lanjut tentang penggunaan, penjagaan dan kelebihan cawan haid dalam panduan ini.

Cawan haid ialah sejenis produk haid yang kecil dan berbentuk loceng, yang diperbuat daripada bahan boleh lentur seperti silikon gred perubatan atau getah. Ia digunakan untuk mengumpul darah haid apabila dimasukkan ke dalam faraj. Ia boleh diguna semula dan dapat menjimatkan perbelanjaan.

Terdapat pelbagai saiz untuk dipilih. Beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan semasa memilih cawan yang sesuai untuk diri anda termasuk kapasiti cawan, ketinggian serviks anda, jumlah aliran haid anda, bahan dan fleksibiliti cawan, saiz cawan (cawan yang lebih besar disyorkan untuk wanita yang telah melahirkan anak), dan bajet anda.

Panduan Penggunaan Cawan Haid

Di bawah ialah panduan langkah-demi-langkah tentang penggunaan cawan haid:

  1. Sebelum memasukkan cawan haid

    Basuh tangan anda dengan bersih menggunakan sabun dan air. Bersihkan cawan haid anda sebelum penggunaan yang pertama dan antara penggunaan. Pembersihan boleh dilakukan dengan merendamkannya di dalam air mendidih selama beberapa minit atau membilasnya dengan air suam, mengikut arahan pengilang. Pastikan cawan bersih dan kering sebelum dimasukkan.

  2. Memasukkan cawan haid

    Cari kedudukan yang selesa, sama ada berdiri dengan satu kaki yang diletakkan di atas kerusi tandas, duduk di atas kerusi tandas atau mencangkung di atas lantai.

    Cawan haid direka untuk dilipat sebelum dimasukkan. Terdapat beberapa teknik lipatan yang berbeza, seperti "lipatan-C", "lipatan-U" atau "lipatan-7". Cubit bahagian tepi cawan dan lipatkannya menjadi dua, sambil membuat bentuk C atau U sebelum dimasukkan ke dalam faraj anda.

    Adalah penting untuk mengendurkan otot pelvis anda untuk memudahkan anda memasukkan cawan. Pegang cawan yang dilipat dengan satu tangan dan gunakan tangan sebelah untuk membuka bibir faraj. Masukkan cawan ke dalam faraj perlahan-lahan, dan tolak ke arah belakang dan ke atas sedikit. Sebaik sahaja sudah dimasukkan, biarkan cawan terbuka. Adalah disyorkan supaya bahagian bawah tangkai berada pada jarak setengah inci dari bukaan faraj anda.

    Setelah cawan dimasukkan, gunakan jari anda untuk memeriksa sama ada ia telah terbuka sepenuhnya dan menutup dengan kedap. Pusingkan cawan perlahan-lahan untuk memastikan cawan menutup lubang dengan kedap. Anda seharusnya merasakan sedikit sedutan.

  3. Mengeluarkan cawan haid

    Pertama, basuh tangan anda menggunakan sabun dan air. Kemudian, cari kedudukan yang selesa. Sesetengah pengguna lebih selesa mencangkung, manakala yang lain lebih suka duduk di atas kerusi tandas, atau berdiri dengan satu kaki yang diletakkan di atas dinding tab mandi/kerusi tandas.

    Kendurkan otot faraj dengan menarik nafas dalam-dalam. Perlahan-lahan picit/cubit pangkal cawan dengan ibu jari dan jari telunjuk untuk melepaskan kedapan.

    Setelah kedapan dilepaskan, perlahan-lahan tarik cawan keluar daripada faraj. Pastikan cawan sentiasa tegak untuk mengelakkan kandungannya tertumpah. Kosongkan kandungan cawan ke dalam tandas atau singki. Basuh cawan dengan bersih menggunakan sabun yang lembut dan air suam sebelum menggunakannya semula.

    Akhir sekali, sentiasa periksa cawan untuk sebarang tanda haus dan lusuh, seperti perubahan warna atau retak. Jika cawan rosak, gantikannya dengan segera.

Petanda Cawan Haid Penuh dan Bocor

Cawan haid boleh dipakai sehingga 12 jam, tetapi cawan mungkin perlu dikosongkan dengan lebih kerap pada hari dengan aliran yang lebih banyak.

Antara petanda yang boleh menunjukkan cawan sudah penuh termasuk rasa tekanan pada dinding faraj disebabkan oleh berat cawan yang penuh. Jika anda mengalami kebocoran ringan selepas beberapa jam memakai cawan atau cawan terasa seperti turun ke bawah, ini juga menunjukkan bahawa cawan haid sudah penuh.

Sesetengah orang mengalami peningkatan kekejangan atau ketidakselesaan apabila cawan penuh. Jika anda tiba-tiba merasakan lebih tekanan atau ketidakselesaan, ini juga boleh menjadi petanda.

Kebocoran cecair haid semasa menggunakan cawan haid dilaporkan lebih rendah atau sama dengan tuala wanita dan tampon. Jika cawan tidak dimasukkan dengan betul, lubang faraj mungkin tidak ditutup dengan kedap dan ini boleh menyebabkan kebocoran. Oleh itu, memastikan cawan dimasukkan sepenuhnya, dan rim terletak pada kedudukan yang betul adalah penting. Pelinciran yang tidak mencukupi semasa memasukkan cawan boleh menyebabkan geseran dan ketidakselesaan, dan ini boleh menjejaskan kedudukan cawan. Gunakan pelincir berasaskan air sebelum memasukkan cawan, jika perlu.

Menggunakan cawan haid yang terlalu kecil atau terlalu besar, mungkin menyebabkan cawan tidak muat dengan betul dan menyebabkan kebocoran. Jadi, pilihlah cawan yang bersesuaian dengan saiz badan anda. Jika cawan menjadi terlalu penuh, ia mungkin bocor. Adalah disyorkan untuk mengosongkan cawan dengan kerap, terutamanya pada hari pengaliran lebih banyak untuk membantu mengelakkan kebocoran.

Aktiviti fizikal seperti berlari atau melompat boleh menyebabkan kedudukan cawan beralih dan menyebabkan kebocoran. Pastikan cawan diletakkan dengan betul sebelum melakukan aktiviti fizikal.

Kelebihan Cawan Haid

Cawan haid menawarkan beberapa kelebihan berbanding tuala wanita tradisional.

Cawan haid boleh digunakan semula dan boleh bertahan beberapa tahun dengan penjagaan yang betul, menjadikannya pilihan yang menjimatkan berbanding alternatif pakai buang. Oleh sebab ia tidak menghasilkan begitu banyak sisa, cawan haid mengurangkan kesan kepada alam sekitar yang sering dikaitkan dengan tuala wanita pakai buang dan tampon.

Ramai pengguna mendapati cawan haid selesa dan hampir tidak dirasai apabila dimasukkan dengan betul. Ia tidak menonjol dan tidak memakan ruang seperti tuala wanita. Bergantung pada aliran, cawan haid boleh dipakai sehingga 12 jam. Ini berbeza sekali dengan produk pakai buang yang perlu ditukar sekurang-kurangnya setiap 6 jam untuk menjaga kebersihan dan mengelakkan bau busuk.

Cawan haid boleh dipakai untuk melakukan pelbagai aktiviti fizikal, termasuk berenang, bersenam dan tidur, menjadikannya perlindungan haid yang serba boleh dan boleh dipercayai.

Adalah penting untuk mengambil maklum bahawa pengalaman individu mungkin berbeza, dan anda mungkin perlu menyesuaikan diri apabila beralih kepada cawan haid. Walau bagaimanapun, ramai orang mendapati bahawa kelebihannya menjadikan cawan haid berbaloi untuk dipelajari.

Kelemahan Cawan Haid

Walaupun cawan haid menawarkan banyak kelebihan, ia mungkin tidak sesuai untuk semua orang. Anda mungkin perlu mencubanya beberapa kali untuk mempelajari cara menggunakan cawan haid dengan selesa. Mencari saiz yang betul dan kedudukan yang sesuai untuk badan anda memerlukan anda untuk cuba-cuba.

Mengosongkan dan membersihkan cawan di dalam tandas awam mungkin menyusahkan, kerana cawan haid perlu dibersihkan antara penggunaan. Sesetengah pengguna mungkin berasa tidak selesa dengan proses ini. Mengeluarkan cawan mungkin menyebabkan kekotoran, terutamanya bagi orang yang baharu menggunakannya. Perlukan teknik yang cermat untuk mengelakkan tumpahan; aspek ini mungkin mencabar bagi sesetengah pengguna.

Individu yang mengalami keadaan perubatan tertentu, seperti rahim senget atau vaginismus, mungkin berasa sukar menggunakan cawan haid. Anda dinasihatkan untuk berunding dengan doktor jika terdapat kebimbangan mengenai kesesuaian cawan.

Walaupun jarang berlaku, sesetengah individu mungkin alah kepada bahan yang digunakan untuk membuat cawan haid tertentu, terutamanya yang diperbuat daripada silikon. Adalah penting untuk mengetahui tentang alahan dan memilih cawan yang diperbuat daripada bahan yang tidak mencetuskan alahan.

Aturkan Janji Temu di Hospital Gleneagles

Kami berharap panduan ini telah membantu anda untuk memahami tentang selok-belok penggunaan cawan haid. Jika anda sedang mempertimbangkan untuk beralih kepada cawan haid, dapatkan nasihat doktor untuk membimbing anda.

Hubungi kami untuk mengatur janji temu dengan pasukan pakar kami hari ini atau ketahui lebih lanjut tentang kami, Perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Gleneagles yang terdekat dengan anda.

SuggestedArticles