postpartum-depression-banner postpartum-depression-banner
Penjagaan Pencegahan
Penjagaan Pencegahan
Kesihatan Wanita

Kenali Kemurungan Selepas Bersalin (Postpartum Depression)

01 Mac 2024 · 4 mins read

Topics







Ketahui cara mengenali simptom-simptom kemurungan selepas bersalin (postpartum depression) dan bila untuk mendapatkan bantuan perubatan.

Jika anda mengalami simptom selain meroyan ringan atau "baby blues" biasa, seperti rasa kesedihan yang berterusan, rasa putus asa, bimbang atau sukar untuk mengatasinya lebih daripada dua minggu, amat penting untuk memaklumkan kepada doktor anda kerana anda mungkin mengalami kemurungan selepas bersalin.

Kemurungan selepas bersalin (postpartum depression)

Kemurungan selepas bersalin merupakan masalah kesihatan mental serius yang memberi kesan kepada kesejahteraan emosi dan kesihatan fizikal anda.

Anda mungkin mengalami rasa renggang dengan bayi, berasa seolah-olah anda bukan ibu bayi itu dan bergelut untuk membentuk rasa kasih sayang atau penjagaan terhadap bayi. Tahap keterukan emosi ini boleh berkisar daripada ringan hingga teruk.

Kebimbangan selepas bersalin (postpartum anxiety)

Banyak simptom kemurungan selepas bersalin dan kebimbangan selepas bersalin seperti kurang tidur, sukar berehat dan mudah marah, hampir sama antara satu sama lain.

Gejala kebimbangan biasanya dialami oleh si ibu yang mengalami kemurungan selepas bersalin, walaupun bukan setiap ibu yang mengalami kebimbangan turut mengalami kemurungan. Hal ini juga boleh bertambah sebagai tindak balas kepada faktor tekanan, seperti kebimbangan tentang kesihatan bayi, cabaran kewangan atau pelarasan yang diperlukan dalam hubungan anda.

Jika anda mengalami peristiwa keguguran atau kelahiran yang mati, kemungkinan anda mengalami kebimbangan selepas bersalin turut meningkat. Golongan yang mempunyai sejarah kebimbangan sebelum atau semasa hamil mungkin mendapati bahawa gejala kebimbangan selepas bersalin berterusan selepas bersalin.

Psikosis selepas bersalin (postpartum psychosis)

Psikosis selepas bersalin adalah bentuk penyakit mental yang teruk yang memerlukan perhatian perubatan segera. Keadaan ini jarang berlaku, hanya menjejaskan 1 daripada 1,000 wanita selepas bersalin.

Gejala psikosis selepas bersalin termasuk keresahan, kekeliruan, mania, khayalan, halusinasi, paranoia dan mood yang tidak baik. Rawatan perubatan segera adalah penting kerana terdapat risiko bunuh diri dan peningkatan ancaman terhadap keselamatan bayi. Rawatan biasanya melibatkan kemasukan ke wad, psikoterapi dan ubat-ubatan.

Simptom Kemurungan Selepas Bersalin

Anda mungkin mengalami kemurungan selepas bersalin jika mengalami simptom berikut:

  • Perasaan sedih yang berterusan dan mood tidak baik.
  • Hilang rasa seronok dan tidak berminat dengan urusan dunia.
  • Kurang tenaga dan kelesuan yang berterusan.
  • Gangguan tidur dan mengantuk pada siang hari.
  • Kesukaran menjaga diri sendiri dan bayi.
  • Memencilkan diri daripada hubungan sosial.
  • Mengalami masalah penumpuan dan sukar membuat keputusan.
  • Fikiran yang mengganggu, seperti rasa ingin membahayakan bayi.
  • Hilang selera makan.
  • Rasa putus asa atau menyalahkan diri sendiri.

Faktor Risiko untuk Mengalami Kemurungan Selepas Bersalin

Punca sebenar kemurungan selepas bersalin masih tidak jelas. Namun, faktor tertentu boleh meningkatkan kemungkinan mengalami kemurungan selepas bersalin seperti:

  • Sejarah masalah kesihatan mental, khususnya kemurungan, pada peringkat awal kehidupan seseorang.
  • Sejarah masalah kesihatan mental semasa kehamilan.
  • Sokongan sosial yang terhad.
  • Konflik perkahwinan atau perhubungan.
  • Peristiwa kehidupan yang memberi tekanan baru-baru ini, seperti kematian dalam keluarga.
  • Trauma fizikal atau psikologi, seperti keganasan rumah tangga.

Diagnosis Kemurungan Selepas Bersalin

Kemurungan selepas bersalin biasanya didiagnosis melalui gabungan penilaian klinikal, perbincangan dengan individu dan pertimbangan kriteria diagnostik tertentu.

Untuk menilai sama ada anda mengalami kemurungan selepas bersalin, doktor mungkin menjalankan saringan kemurungan atau bertanya soalan tentang perasaan anda dan keadaan bayi anda. Keterbukaan dan kejujuran dengan doktor dapat memberikan pemahaman yang lebih tepat tentang emosi dan pemikiran anda.

Rawatan untuk Kemurungan Selepas Bersalin

Terapi

Kongsikan kebimbangan anda dengan pakar psikiatri, ahli psikologi atau profesional kesihatan mental. Mereka boleh membantu anda. Melalui terapi, anda boleh belajar cara menangani perasaan dengan lebih baik, menyelesaikan masalah, menetapkan matlamat yang realistik dan bertindak balas secara positif terhadap situasi.

Terapi kognitif-tingkah laku (CBT), psikoterapi interpersonal atau kaunseling sokongan boleh berkesan dalam merawat kemurungan selepas bersalin. Terapi menyediakan ruang yang selamat untuk meneroka dan menangani cabaran emosi dan psikologi yang berkaitan dengan kemurungan selepas bersalin.

Antidepresan

Dalam sesetengah kes, doktor anda mungkin mengesyorkan antidepresan. Antidepresan boleh berkesan dalam mengurangkan gejala kemurungan dan sesetengahnya sesuai digunakan semasa penyusuan. Namun, mungkin mengambil masa beberapa minggu untuk antidepresan mula menunjukkan kesan terapeutik.

Langkah Mengatasi Kemurungan Selepas Bersalin

Ibu muda mungkin berasa malu atau bersalah kerana tertekan pada ketika mereka diharapkan untuk berasa gembira. Ketakutan untuk dianggap sebagai ibu yang tidak cukup bagus juga boleh menyumbang kepada keengganan mereka untuk berkongsi kesukaran yang dialami.

Penting untuk semua wanita sedar, tanpa mengira latar belakang, mereka mungkin menghadapi kemurungan semasa hamil atau selepas bersalin serta merasai perasaan sedemikian tidak menjadikan seseorang itu "ibu yang tidak bagus".

Penting untuk diingat bahawa memang perkara biasa untuk berasa tidak keruan dan anda tidak perlu menghadapi kemurungan selepas bersalin seorang diri. Berikut adalah beberapa strategi menanganinya yang anda boleh cuba:

  • Cari seseorang sebagai tempat meluah, seperti ahli terapi, rakan, ahli keluarga atau ahli kumpulan yang sedia mendengar dan menawarkan sokongan.
  • Sertai kumpulan sokongan untuk ibu bapa muda untuk berhubung dengan orang lain yang mungkin mengalami pengalaman serupa.
  • Cuba kekalkan diet yang sihat dan cari masa untuk bersenam secara teratur, kerana ini boleh memberi kesan positif kepada kesejahteraan mental anda.
  • Utamakan rehat dan pastikan tidur yang cukup.
  • Hubungi rakan dan bersosial bersama atau bercakap melalui telefon.
  • Luangkan masa untuk menjaga diri dan libatkan diri dalam aktiviti yang anda gemari.
  • Pertimbangkan untuk mendapatkan bantuan dengan urusan rumah dan tugasan untuk mengurangkan tekanan dan tanggungjawab.

Atur Janji Temu Di Hospital Gleneagles

Penting untuk memahami bahawa bantuan boleh didapatkan dan mencari sokongan merupakan tanda kekuatan diri. Berundinglah dengan doktor boleh membantu dalam menentukan sama ada simptom itu berkaitan dengan kemurungan atau isu lain dan mereka boleh memberikan panduan tentang campur tangan dan sokongan yang sesuai.

Jika anda mengesyaki anda mempunyai risiko mengalami kemurungan selepas bersalin, hubungi kami untuk mengetahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Obstetrik & Ginekologi kami di Hospital Gleneagles berdekatan anda.

SuggestedArticles