Cara Melegakan Kaki Krem dan Kekejangan Otot dengan Cepat | Gleneagles Hospitals Malaysia
health-digest-leg-cramps-banner health-digest-leg-cramps-banner
Penjagaan Pencegahan
Kekal Sihat

Cara Melegakan Kaki Krem dan Kekejangan Otot

29 Julai 2025 · 5 mins read

Topics










Kaki krem ialah kekejangan otot yang berlaku secara tiba-tiba dan menyakitkan, biasanya di bahagian betis. Kebanyakan kes tidak berbahaya dan hilang dalam masa beberapa saat hingga 10 minit, serta boleh dilegakan dengan regangan dan urutan. Namun, dapatkan rawatan segera jika anda mengalami bengkak pada sebelah kaki, sesak nafas atau sakit dada.

Dalam panduan ini, Hospital Gleneagles menerangkan punca kejang kaki, cara melegakannya dengan segera dan tanda yang memerlukan pemeriksaan doktor.

Wanita meregangkan otot betis untuk melegakan kaki krem

Apa itu kaki krem?

Kaki krem atau kejang kaki berlaku apabila otot kaki tiba-tiba menegang dan menjadi sakit, biasanya di bahagian betis. Kejang kaki biasanya tidak berbahaya. Kekejangan mungkin berlarutan antara beberapa saat hingga 10 minit, dan otot mungkin terasa sakit sehingga 24 jam selepas kekejangan berhenti.

Bagaimanakah membezakan kekejangan biasa dengan tanda bahaya?

Masa untuk mendapatkan rawatan perubatan segera

Kebanyakan kejang kaki tidak berbahaya, tetapi jika ia berlaku dengan kerap atau disertai gejala lain, adalah penting untuk berjumpa doktor.

  1. ​Kesakitan yang teruk: Ini boleh menjadi tanda-tanda keadaan yang lebih serius, seperti trombosis urat dalam atau bekuan darah.
  2. ​Bengkak: Ini boleh menjadi tanda pembekuan darah atau keadaan serius lain.
  3. ​Sesak nafas: Jika anda mengalami kekejangan kaki bersama-sama dengan sesak nafas, ia boleh menjadi tanda pembekuan darah di dalam paru-paru.
  4. ​Sejarah pembekuan darah: Jika anda mempunyai sejarah pembekuan darah atau keadaan perubatan lain yang meningkatkan risiko pembekuan darah anda, adalah penting untuk mendapatkan rawatan perubatan jika anda mengalami kekejangan kaki, terutamanya jika ia berterusan atau teruk.

Jika anda atau seseorang yang anda kenali mengalami kecemasan perubatan, pergi terus ke salah satu jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) Gleneagles Hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan perubatan segera.

Kenapa kaki selalu krem atau kerap kejang?

Ramai orang bertanya, ‘Kenapa kaki saya selalu krem waktu malam?’ Ini sebenarnya biasa, terutamanya dalam kalangan warga emas dan individu yang aktif bersenam. Kejang kaki mungkin berlaku tanpa sebab yang jelas (kejang kaki idiopatik) atau disebabkan oleh keadaan lain (kejang kaki sekunder).

Punca kaki krem idiopatik

Punca sebenar kejang kaki idiopatik tidak diketahui, tetapi beberapa faktor dipercayai terlibat:

  • Berlebihan guna otot kaki (keletihan otot)
  • Regangan yang tidak mencukupi sebelum bersenam

Punca kekejangan kaki sekunder

Kekejangan kaki sekunder boleh disebabkan oleh:

  • Dehidrasi: badan kekurangan cecair.
  • Kehamilan: terutamanya pada peringkat akhir kehamilan.
  • Keadaan neurologi: contohnya penyakit neuron motor.
  • Senaman berlebihan: terutamanya dalam cuaca panas atau lembap.
  • Ubat-ubatan: seperti diuretik dan statin. Jangan berhenti mengambil ubat yang dipreskripsi tanpa berbincang dengan doktor.
  • Penyakit hati: akibat pengambilan alkohol berlebihan.
  • Pertambahan usia: kekejangan lebih kerap berlaku seiring dengan peningkatan usia.
  • Penyakit buah pinggang: terutama jika menyebabkan gangguan keseimbangan cecair atau mineral dalam badan.

Apakah rawatan untuk kekejangan kaki?

Rawatan bergantung pada punca kekejangan. Jika punca dikenal pasti, doktor akan merawat keadaan tersebut. Bagi kekejangan kaki idiopatik, regangan betis secara berkala merupakan langkah utama untuk mengurangkan kekejangan. Paracetamol atau ibuprofen pula hanya membantu melegakan sakit otot selepas kekejangan berlaku, tetapi tidak menghentikan kekejangan yang sedang berlaku. Sentiasa ambil ubat mengikut arahan pada label atau nasihat doktor.

Contoh regangan yang disyorkan:

  • Latihan regangan betis: Berdiri menghadap dinding dengan kedua-dua tangan pada dinding dan tapak kaki rata di lantai. Condongkan badan ke hadapan sehingga terasa regangan pada otot betis. Tahan selama 2 hingga 3 saat dan ulang beberapa kali selama 5 minit, tiga kali sehari.
Kekejangan kaki kerap mengganggu tidur anda? Dapatkan pemeriksaan di Hospital Gleneagles untuk mengenal pasti puncanya.

Bagaimanakah cara menghilangkan kaki krem dengan cepat?

Apabila kaki tiba-tiba krem, langkah paling cepat adalah meregangkan dan mengurut otot yang kejang sehingga ia kembali relaks. Kebanyakan kekejangan akan hilang dengan sendirinya, tetapi langkah ini boleh memendekkan tempoh sakit. Berikut ialah beberapa cara mudah untuk melegakan kekejangan:

  • Regangan otot perlahan: Luruskan kaki dan tarik jari kaki ke arah lutut. Tahan sehingga kekejangan beransur reda.
  • Urutan lembut: Urut perlahan-lahan otot yang tegang untuk membantunya relaks.
  • Kompres panas atau sejuk: Gunakan tuala suam atau pad pemanas pada otot yang tegang, dan pek ais pada otot yang terasa sakit.
  • Berdiri dan letakkan berat badan pada kaki: Jika mampu, berdiri dan letakkan berat badan pada kaki yang kejang.
Regangan betis menghadap dinding untuk mencegah kaki krem

Bagaimanakah cara mencegah kekejangan kaki?

Regangan yang kerap, cecair yang mencukupi dan pemakanan seimbang ialah cara utama untuk mengurangkan kekejangan kaki. Regangan betis setiap hari, termasuk sebelum tidur, boleh membantu walaupun ia mungkin tidak menghentikan kekejangan sepenuhnya. Langkah-langkah berikut juga boleh membantu anda:

  • Regangan: regangan otot betis, hamstring dan kuadriseps sebelum dan selepas bersenam.
  • Kekal terhidrasi: Minum air secukupnya dan gantikan elektrolit, terutamanya selepas bersenam atau jika anda banyak berpeluh kecuali jika doktor menasihatkan anda menghadkan pengambilan cecair (contohnya pesakit buah pinggang atau jantung).
  • Nutrisi seimbang: Ambil makanan yang mengandungi mineral penting seperti kalium (pisang, kentang), kalsium (susu, tauhu) dan magnesium (sayur berdaun hijau, kekacang) untuk menyokong fungsi otot yang sihat.

Soalan lazim (FAQ)

  1. Mengapa kaki saya lebih kerap krem waktu malam?

  2. Punca sebenarnya sering tidak diketahui. Namun, otot betis yang tegang, kurang minum air dan kedudukan kaki ketika tidur mungkin menyumbang kepada kejang kaki waktu malam. Jika kekejangan waktu malam kerap berlaku, cuba lakukan regangan betis ringan sebelum tidur dan catat kekerapannya untuk dikongsi dengan doktor.

  3. Adakah kekurangan magnesium menyebabkan kekejangan kaki?

  4. A: Ia boleh berlaku, tetapi tidak semestinya. Satu ulasan sistematik Cochrane pada tahun 2020 mendapati suplemen magnesium tidak banyak membantu mencegah kejang kaki waktu malam dalam kalangan warga emas. Jika kejang kaki kerap berlaku, doktor mungkin membuat ujian darah untuk menyemak paras mineral.

  5. Adakah wanita hamil lebih mudah mengalami kejang kaki?

  6. A: Ya. Kekejangan kaki lebih kerap berlaku pada peringkat akhir kehamilan. Regangan betis yang lembut sebelum tidur, minum air secukupnya dan bergerak secara berkala sepanjang hari boleh membantu mengurangkannya.Jika kekejangan disertai bengkak pada sebelah kaki, dapatkan rawatan segera. Bincang dengan doktor anda sebelum mengambil sebarang ubat atau suplemen semasa hamil.

  7. Adakah saya perlu mengambil suplemen untuk mengurangkan kekejangan kaki?

  8. A:Tidak semua orang memerlukannya. Bukti bahawa suplemen dapat mencegah kejang kaki masih terhad. Utamakan regangan betis setiap hari, minum air secukupnya dan pemakanan seimbang, serta dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil sebarang suplemen.

  9. Bilakah perlu berjumpa doktor pakar atau ahli fisioterapi?

  10. Berjumpa doktor jika kejang kaki kerap berulang, mengganggu tidur, berlarutan lebih daripada 10 minit, atau disertai kebas, lemah otot atau bengkak. Doktor boleh menilai puncanya dan merujuk anda kepada ahli fisioterapi atau pakar yang sesuai jika perlu. Ahli fisioterapi boleh menunjukkan teknik regangan yang betul dan senaman yang sesuai untuk mengurangkan kekejangan berulang.

Buat Temu Janji di Hospital Gleneagles

Hubungi kami untuk tempahan janji temu dengan pakar ortopedik di Gleneagles Hospital hari ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang rawatan dan pencegahan kekejangan kaki. Pasukan profesional penjagaan kesihatan yang prihatin dan pelbagai disiplin sedia untuk berunding dan memberikan penjagaan yang terbaik.

Untuk membuat temu janji pemeriksaan kesihatan, sila hubungi pusat saringan kesihatan di Hospital Gleneagles berhampiran anda.

Anda juga boleh membuat temu janji melalui laman web kami atau memuat turun aplikasi My Health 360 yang boleh didapati di Google Play Store dan Apple App Store.

Penafian: Artikel ini adalah untuk maklumat am sahaja dan bukan pengganti nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan profesional. Sila berjumpa doktor jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang kesihatan anda.

Hubungi kami untuk temu janji dengan pakar ortopedik di Hospital Gleneagles hari ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang rawatan dan pencegahan kekejangan kaki.

SuggestedArticles