Topics
Tempoh Selepas Bersalin
Tempoh selepas bersalin, sering dipanggil masa sejurus selepas anda melahirkan bayi, berlangsung sehingga enam minggu (42 hari). American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG) mencadangkan 12 minggu sokongan dan bukannya hanya enam, mengiktiraf kepentingan penjagaan lanjutan pada masa ini.
Menjaga diri anda semasa tempoh selepas bersalin adalah penting untuk kesihatan jangka panjang dan kesejahteraan diri yang menyeluruh. Walaupun ketika ini adalah tempoh yang penuh kegembiraan dan jangkaan, "trimester keempat" ini membawa cabaran yang ketara, termasuk kurang tidur, keletihan, kesakitan, cabaran penyusuan, tekanan, masalah kesihatan mental, penurunan keinginan seksual dan inkontinens.
Panduan ini akan membantu anda memahami perkara yang perlu dijangkakan pada hari-hari selepas bersalin dan cara menjaga diri anda ketika tempoh ini. Memahami keperluan selepas bersalin untuk ibu dan bayi akan membolehkan ahli keluarga menyediakan penjagaan selepas bersalin yang berkualiti tinggi, seterusnya mengurangkan kemungkinan sebarang komplikasi kesihatan terjadi.
Pertimbangan untuk Penjagaan Selepas Bersalin
Berikut ialah beberapa aspek dan pertimbangan biasa untuk penjagaan selepas bersalin.
- Keputihan: Jangkakan pendarahan faraj yang dikenali sebagai lokia selama beberapa minggu selepas bersalin. Pada mulanya, darah lokia berwarna merah dan pekat, menyerupai tempoh haid yang berat, tetapi lama-kelamaan, warna semakin pudar dan begitu juga dengan jumlahnya. Anda mungkin mengalami kekejangan yang menyerupai sakit ketika haid, terutamanya jika anda sedang menyusukan anak.
- Kesakitan dan ketidakselesaan: Rasa sakit dan tidak selesa pada bahagian perineum dan bawah perut selepas bersalin adalah perkara biasa. Doktor anda mungkin mencadangkan ubat tahan sakit yang boleh dibeli untuk membantu mengurangkan ketidakselesaan ini. Jika anda mengalami kegatalan akibat episiotomi atau koyakan, disyorkan untuk membersihkan kawasan yang terjejas setiap hari. Mandi berendam atau pancuran menggunakan air suam biasa dan keringkan badan anda dengan lembut.
- Pembengkakan payudara: Pembengkakan payudara mungkin berlaku pada hari-hari awal, membawa kepada kelembutan, bengkak dan ketidakselesaan pada payudara, mungkin disertai dengan demam. Pelarasan dalam rutin penyusuan bayi anda boleh menyumbang kepada ketidakselesaan ini. Walau bagaimanapun, simptom ini biasanya reda apabila bayi mahir melekap dan menyusu dengan betul. Kekalkan kebersihan payudara dan jika pembengkakan berlaku, dapatkan bantuan melalui tuam hangat atau memerah susu. Pastikan sokongan payudara yang betul dengan memakai coli yang dipakai dengan baik.
- Perubahan emosi: Emosi selepas bersalin boleh menjadi sengit dan satu perkara biasa untuk melalui pelbagai perasaan, daripada kegembiraan kepada kebimbangan dan perubahan mood. 'Baby blues,' atau meroyan ringan yang dicirikan oleh perubahan mood, kebimbangan, meragam, kesukaran tidur dan tangisan, selalunya reda dengan sendiri. Akan tetapi, semua ini boleh jadi mencabar. Jika perasaan ini berterusan, ia mungkin menunjukkan petanda kemurungan selepas bersalin (postpartum depression). Jika simptom kemurungan berterusan selama lebih daripada dua minggu, membuatkan anda sukar untuk menjaga diri anda atau bayi anda yang baru lahir, amat penting untuk anda mendapatkan rawatan.
- Perubahan lantai pelvis: Senaman Kegel sering disyorkan untuk menguatkan otot lantai pelvis yang boleh menjadi lemah semasa bersalin. Latihan ini boleh membantu dalam pemulihan kawalan pundi kencing dan otot faraj.
Menjaga Diri Selepas Bersalin
Menjaga bayi baru lahir memerlukan perhatian yang teliti, tetapi sama penting bagi ibu untuk mengutamakan penjagaan selepas bersalin. Berikut ialah beberapa tips praktikal untuk memudahkan proses penyembuhan yang lebih pantas selepas bersalin.
- Dapatkan rehat yang cukup: Perkara pertama dalam senarai semak penjagaan selepas bersalin anda mestilah mendapat tidur yang cukup walaupun tidur sepanjang malam tanpa gangguan mungkin kelihatan mustahil dalam beberapa bulan pertama. Cuba tidur setiap kali bayi tidur.
- Makan secara sihat: Pilihan pemakanan juga memainkan peranan yang besar dalam pelan penjagaan selepas bersalin anda. Diet yang ideal harus mempunyai keseimbangan makanan yang kaya dengan protein, serat dan lemak yang sihat.
- Senaman ringan dan tidak berat: Sebaik sahaja doktor anda memberi kebenaran untuk mula bersenam, mulakan dengan senaman ringan. Ini akan membantu anda tidur dengan lebih baik, menurunkan berat badan dan mengurangkan gejala baby blues.
- Elakkan mengangkat objek berat: Jika anda telah menjalani pembedahan Caesarean, mengangkat objek berat boleh menegangkan perut dan rahim anda, lalu menjejaskan pemulihan anda. Lebih baik untuk mengelak daripada berbuat demikian sehingga doktor anda memberi kebenaran.
- Pastikan rutin penjagaan bayi mudah: Ini boleh membantu mengurangkan tekanan yang tidak perlu dan membolehkan anda memberi tumpuan kepada pemulihan selepas bersalin.
- Meminta bantuan: Hubungi keluarga dan rakan anda untuk mendapatkan sokongan selepas kelahiran anak anda. Mendapatkan bantuan tambahan untuk menguruskan rumah seperti kerja di rumah dan membawa makanan.
- Tak mengapa untuk mengehadkan pelawat: Rakan dan keluarga mungkin tidak sabar-sabar bertemu dengan bayi anda, tetapi jika anda semakin tidak keruan, tidak mengapa untuk mengehadkan jumlah pelawat. Kesejahteraan seorang ibu juga penting dan orang yang ingin melawat boleh berbuat demikian di kemudian hari.
Bila Perlu Mendapatkan Rawatan Perubatan
Kebanyakan doktor menjadualkan pemeriksaan selepas bersalin, tetapi anda harus berjumpa doktor jika anda mengalami komplikasi seperti sakit atau bengkak pada otot betis sebelah kaki, sakit dada, kesukaran bernafas, pendarahan faraj yang luar biasa, degupan jantung yang pantas, demam, sakit perut, sakit kepala, perubahan penglihatan dan muntah.Atur Janji Temu di Hospital Gleneagles
Menjadi seorang ibu sememangnya indah, tetapi penjagaan ibu selepas bersalin adalah penting. Menjaga diri anda membolehkan anda menjaga bayi anda. Bersalin boleh mengubah badan anda dalam pelbagai cara, jadi amat bagus untuk mengetahui apa yang normal dan apa yang tidak. Dengan cara itu, jika sebarang komplikasi timbul, anda dapat mengenal pasti masalah dan mendapatkan bantuan perubatan dengan segera.
Kami berharap panduan ini telah membantu anda memahami selok-belok penjagaan selepas bersalin, serta petua penjagaan diri sebagai ibu bapa baharu dan komplikasi biasa yang mungkin timbul.
Hubungi kami untuk mengatur janji temu dengan pasukan pakar hari ini atau ketahui lebih lanjut tentang kami, Perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Gleneagles yang terdekat dengan anda.