Postur buruk: Langkah-langkah pembetulan | Hospital Gleneagles
First slide First slide
Kesihatan Tulang & Sendi

Postur buruk: Langkah-langkah pembetulan

17 Mac 2023 · 5 mins read

Topics







Postur yang buruk boleh memberi kesan fizikal yang buruk kepada kesejahteraan kita. Ketahui tentang jenis postur yang buruk dan cara membetulkannya.

Postur yang buruk adalah isu lazim dalam masyarakat moden disebabkan oleh tempoh duduk yang lama, menggunakan peranti digital dan kekurangan aktiviti fizikal.

Postur yang buruk merujuk kepada ketidakselarasan bahagian badan yang berlainan berhubung dengan graviti, yang menyebabkan kepada ketegangan tidak wajar pada otot, ligamen dan sendi.

Tanda-tanda postur yang buruk

  • Membongkok ke hadapan
  • Kepala dicondongkan ke hadapan
  • Bahu bulat
  • Pinggul atau bahu tidak rata
  • Lengkungan belakang badan menyebabkan kesakitan atau masalah tulang belakang yang lain
  • Keletihan otot
  • Sakit kepala yang berulang
  • Kerap sakit badan
  • Keseimbangan dan penyelarasan yang lemah
  • Perut menjadi buncit

Jenis postur yang buruk

  • Belakang badan yang rata - Bahagian bawah pinggang mendatar dalam postur ini, menyebabkan kehilangan kelengkungan semula jadi tulang belakang. Ini disebabkan terutamanya oleh kelemahan otot, lalu tulang belakang kelihatan lebih rata daripada biasa. Orang yang memiliki belakang yang rata menghadapi masalah untuk berdiri lama dan selalunya cenderung membongkok ke hadapan.
  • Kepala ke hadapan – Kepala ke hadapan dicirikan oleh kedudukan kepala terlalu jauh ke hadapan berhubung dengan bahu, yang boleh menegangkan leher dan otot belakang atas.
  • Bongkok (Kyphosis) - Kyphosis adalah pembulatan berlebihan bahagian atas belakang yang disebabkan oleh otot belakang yang lemah, postur yang buruk atau masalah tulang belakang seperti osteoporosis.
  • Swayback (Lordosis) - Lordosis adalah gabungan kecondongan pelvis anterior dan punggung atas yang bongkok, lalu menyebabkan sakit pada bahagian pinggang, leher dan bahu.
  • Kecondongan pelvis anterior - Pelvis dicondongkan ke hadapan, menyebabkan lengkungan yang dibesarkan pada bahagian pinggang. Akibatnya, anda mungkin mengalami ketegangan pinggul fleksor dan sakit di bahagian bawah belakang anda.

Kesan postur yang buruk

  1. Sakit belakang, sakit leher, sakit bahu, sakit kepala

    Apabila anda membongkok, ia memberi tekanan tambahan pada tulang belakang yang menyebabkan sakit pada bahagian pinggang, belakang atas atau leher anda. Membongkok memberi tekanan pada otot bahu dan leher, menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan

    Disebabkan ketegangan pada leher dan bahu, membongkok boleh menyebabkan sakit kepala yang tegang. Selain itu, ini mungkin mencetuskan migrain dan jenis sakit kepala lain.

  2. Fungsi paru-paru berkurangan, pedih ulu hati, penghadaman yang perlahan

    Membongkok boleh mengurangkan ruang yang tersedia untuk paru-paru anda mengembang, mengakibatkan pernafasan cetek dan fungsi paru-paru berkurangan. Postur yang membongkok selepas makan boleh mencetuskan pedih ulu hati yang disebabkan oleh refluks asid.

  3. Kelesuan dan kecacatan kronik

    Postur yang buruk boleh menyebabkan anda berasa lebih letih dan kurang bertenaga kerana lebih banyak usaha diperlukan untuk badan anda mengekalkan postur seimbang yang mungkin mengurangkan tenaga anda. Lama kelamaan, membongkok boleh menjadikan tulang belakang lebih lemah dan lebih terdedah kepada kecederaan.

Langkah-langkah untuk membetulkan postur yang buruk

  • 1. Membetulkan postur duduk yang buruk
    • Bangun dan bergerak setiap 30 minit untuk membantu meregangkan tulang belakang anda serta otot di sekelilingnya.
    • Gunakan kerusi sokongan apabila duduk untuk mengelakkan bongkok.
    • Gunakan bangku atau tempat letak kaki untuk menaikkan kaki anda lebih tinggi untuk mengelakkan lenguh dan mengendurkan otot-otot di tulang belakang bawah anda.
  • 2. Membetulkan postur berdiri yang buruk
    • Kekalkan kaki anda selebar bahu dan ratakan berat badan anda pada kedua-dua kaki.
    • Libatkan teras badan anda untuk menyokong tulang belakang dan mengekalkan kedudukan neutralnya.
    • Elakkan kepala condong ke hadapan dan ke belakang dengan memastikan dagu anda selari dengan tanah.
    • Rehatkan bahu, tarik kekipas bahu anda ke belakang dan ke bawah mengarah ke tulang belakang anda.
    • Elakkan berdiri lama dalam kedudukan yang sama.
    • Regangkan leher, bahu dan belakang anda secara kerap akan melegakan ketegangan dan meningkatkan fleksibiliti.
    • Pakai kasut yang selesa untuk mengelakkan masalah postur jangka panjang.
    • Pastikan diri anda aktif sepanjang hari dengan berjalan kaki seketika dan melakukan aktiviti fizikal.
  • 3. Membetulkan postur pemanduan yang buruk
    • Pastikan tempat duduk anda diletakkan pada ketinggian dan jarak yang betul dari stereng. Lutut anda harus dibengkokkan pada sudut 90 darjah dan kaki anda sepatutnya boleh mencapai pedal dengan mudah.
    • Duduk lurus dengan bahu anda ke belakang dan kepala anda sejajar dengan tulang belakang.
    • Tambah kusyen sokongan lumbar.
    • Laraskan cermin anda supaya anda tidak menegangkan leher atau belakang anda untuk melihatnya.
    • Kuatkan otot teras anda dengan kerap bersenam.
  • 4. Membetulkan postur tidur yang buruk

    Tidur dalam kedudukan yang tidak betul untuk masa yang lama boleh menghimpit otot bahu dan leher anda, menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan.

    • Tidur mengiring dengan bantal di antara lutut.
    • Gunakan bantal sokongan.
    • Pastikan tulang belakang anda diselaraskan dalam kedudukan neutral.
    • Elakkan tidur dengan tangan di atas kepala.
    • Gunakan tilam sokongan.
    • Buat regangan lembut sebelum tidur.

Lebih lanjut berkenaan postur yang buruk

  1. Adakah postur yang buruk kekal?

    Tidak, postur yang buruk bukanlah keadaan yang kekal. Namun, boleh menjadi tabiat yang sukar dihentikan tanpa campur tangan yang betul.

    Dengan pendekatan yang betul, anda boleh memperbaiki postur badan dan mencegah kerosakan selanjutnya pada badan anda. Ini mungkin melibatkan gabungan senaman dan pengubahsuaian gaya hidup, seperti mengamalkan ergonomik yang baik, mengekalkan berat badan yang sihat dan berehat daripada duduk untuk jangka masa yang lama.

    Bincang dengan pakar ortopedik untuk mengetahui lebih lanjut tentang mencegah postur yang buruk.

  2. Adakah postur yang buruk membantutkan pertumbuhan?

    Mempunyai postur yang buruk tidak mengubah struktur tulang seseorang. Akan tetapi, seseorang dengan postur belakang yang bongkok dan bahu bulat mungkin kelihatan lebih pendek daripada ketinggian sebenar.

  3. Adakah postur yang buruk menyebabkan skoliosis?

    Dalam kebanyakan kes, skoliosis adalah kongenital atau disebabkan oleh keadaan neuromuskular yang mengakibatkan perkembangan vertebra yang tidak betul.

    Namun, postur yang buruk boleh menyumbang kepada perkembangan skoliosis dan memburukkan lagi gejalanya. Ini boleh menyebabkan ketidakselarasan tulang belakang dan memberi tekanan pada tulang belakang yang sudah melengkung pada pesakit skoliosis.

Buat tempahan janji temu di Hospital Gleneagles

Postur merupakan faktor penting untuk dipertimbangkan semasa mencari cara untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan seseorang. Bincang dengan doktor anda jika anda mengesyaki ada masalah kesihatan lain akibat postur yang buruk.

Pasukan penjagaan kesihatan profesional yang prihatin dan terdiri daripada pelbagai disiplin sedia untuk berunding dan memberikan penjagaan yang terbaik. Hubungi kami untuk membuat temujanji dengan pakar Ortopedik di Hospital Gleneagles hari ini.


Suggested Artikel