Lindungi diri anda daripada jerebu | Hospital Gleneagles
First slide First slide
Penjagaan Pencegahan
Kekal Sihat

Lindungi diri anda daripada jerebu

06 Oktober 2023 · 3 mins read

Topics






Semasa musim jerebu, anda dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kesan jerebu kepada kesihatan anda. Ketahui lebih lanjut.

Jerebu dan Indeks Pencemaran Udara

Jerebu adalah keadaan kualiti udara yang terjejas, di mana atmosfera dicemari oleh zarah-zarah bawaan udara, termasuk bahan seperti sulfur dioksida, nitrogen dioksida, ozon, karbon monoksida, dan Bahan Zarah 10, yang biasanya dikenali sebagai PM10 (zarah berukuran 10 mikron atau lebih kecil).

Jerebu boleh dikenal pasti melalui atmosfera yang kelihatan tidak berwarna dan keadaan pemandangan yang kabur. Ia berlaku apabila cahaya matahari berinteraksi dengan zarah-zarah pencemar yang halus di dalam udara. Zarah-zarah ini akan menyerap dan menyebarkan sebahagian daripada cahaya matahari sebelum ia sampai kepada kita, lantas mengurangkan kejelasan, mengubah warna, dan akhirnya merosotkan kualiti udara.

Indeks Pencemaran Udara (API) yang ditetapkan oleh Bahagian Alam Sekitar bagi Jabatan Sumber Asli dan Alam Sekitar, berfungsi untuk mengukur nilai kualiti udara.

Fungsi utama API adalah mengukur status kualiti udara dan implikasi kesihatan yang mungkin berpunca daripada jerebu. Harap maklum bahawa kesan buruk kepada kesihatan akan bertambah ketara semakin tinggi paras API meningkat.

Nilai Indeks Pencemaran Udara (API) Status Kualiti Udara
0-50 Baik
51-100 Sederhana
101-200 Tidak sihat – orang yang mudah diserang penyakit mungkin terjejas
201-300 Amat tidak sihat – orang ramai terjejas
Lebih daripada 300 Berbahaya / Memudaratkan – orang ramai terjejas

Ikuti kemas kini API yang terkini pada laman web APIMS.

Individu yang berisiko mengalami kesan kesihatan akibat jerebu

Sesetengah individu lebih cenderung untuk mengalami kesan kesihatan akibat jerebu. Keadaan mereka mungkin bertambah teruk meskipun dengan pendedahan yang dianggap ringan oleh individu normal dan sihat.

  • Kanak-kanak
  • Orang tua
  • Mereka yang mempunyai masalah pernafasan seperti asma, bronkitis, dan penyakit paru-paru tersumbat kronik (COPD)
  • Mereka yang mempunyai penyakit jantung seperti penyakit arteri koronari
  • Perokok

Kesan kesihatan akibat jerebu

Pendedahan kepada jerebu boleh menyebabkan pelbagai kesan yang menjejaskan kesihatan. Apabila individu terdedah kepada jerebu, zarah-zarah halus ini boleh meresap jauh ke dalam paru-paru dan mengganggu kesihatan.

Zarah-zarah ini boleh memasuki aliran darah dan diserap oleh tisu-tisu di dalam, dan mungkin berinteraksi dengan sebatian lain di dalam badan untuk mencetuskan kesan-kesan buruk, termasuk keradangan.

Kesan buruk jangka pendek akibat pendedahan kepada jerebu

  • Susah bernafas, sesak dada, sakit dada, sesak nafas.
  • Tekak merengsa, tekak kering, sakit tekak dan/atau batuk, kahak.
  • Hidung berair, hidung tersumbat, bersin, dan/atau lelehan hidung.
  • Jangkitan saluran pernafasan atas.
  • Mata merengsa, air mata keluar secara berlebihan, dan/atau konjunktivitis (sejenis jangkitan mata).
  • Kulit merengsa.
  • Sakit kepala, pening, letih dan/atau tertekan.

Biasanya, simptom-simptom ini adalah ringan dan akan hilang apabila pendedahan kepada jerebu berkurangan.

Kesan buruk jangka panjang akibat pendedahan kepada jerebu

  • Kebanyakan zarah dalam jerebu berukuran kurang daripada 2.5 mikron dalam diameter. Oleh itu, zarah-zarah halus ini akan kekal lebih lama di dalam udara dan mudah tersebar dengan jauh, lantas meningkatkan kemungkinan ia disedut oleh haiwan dan manusia.
  • Boleh meningkatkan risiko kematian daripada penyakit kardiovaskular dan menurunkan jangka hayat.
  • Boleh menyumbang kepada pembentukan diabetes.
  • Boleh menyumbang kepada keguguran spontan, berat bayi lahir rendah, keabnormalan kongenital, dan kematian bayi.

Langkah-langkah untuk melindungi diri anda daripada jerebu

Berikut adalah langkah-langkah yang dicadangkan untuk mencegah atau mengurangkan kesan jerebu kepada kesihatan anda:

  • Mengurangkan aktiviti di luar atau membataskan masa berada di luar bagi mengelakkan pendedahan kepada cuaca panas dan jerebu.
  • Memakai pelitup muka semasa berada di luar.
  • Mengelakkan merokok kerana merokok menambah pencemar udara di dalam rumah.
  • Banyak meminum air (sekurang-kurangnya 8 gelas air) sehari untuk mengekalkan paras dehidrasi badan anda supaya suhu badan dapat dikawal.
  • Sentiasa mencuci tangan dan muka selepas melakukan aktiviti di luar.
  • Menggunakan pembersih udara di dalam rumah jika boleh.
  • Menjaga kebersihan kawasan dan persekitaran di dalam rumah.
  • Menggunakan mod edar semula udara apabila memasang pendingin udara semasa memandu.
  • Kerap mandi untuk menyejukkan badan.
  • Mengelakkan memakai pakaian tebal, ketat dan berwarna gelap.

Atur janji temu di Hospital Gleneagles

Semasa musim jerebu, anda dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kesan jerebu kepada kesihatan anda. Jika anda atau mereka yang tersayang mengalami sebarang rasa tidak selesa, segera dapatkan bantuan perubatan.

Jika anda menghadapi situasi yang memerlukan bantuan perubatan semasa musim jerebu, sila dapatkan rawatan perubatan segera di jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) di Hospital Gleneagles yang terdekat dengan anda.


Suggested Artikel