Masalah Kesihatan Utama yang Perlu Disedari oleh Setiap Lelaki | Gleneagles Hospitals Malaysia
health-digest-men-health-copy1 health-digest-men-health-copy1
Penjagaan Pencegahan
Kesihatan Lelaki

Masalah Kesihatan Utama yang Perlu Disedari oleh Setiap Lelaki

09 November 2023 · 7 mins read

Topics








Ketahui lebih lanjut tentang masalah kesihatan utama yang perlu disedari oleh setiap lelaki.

Menurut data daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jangka hayat kaum lelaki secara puratanya, adalah kira-kira lima tahun lebih pendek daripada wanita. Ini menekankan kepentingan kaum lelaki untuk mengutamakan kesihatan mereka.

Artikel ini akan menerokai pelbagai masalah kesihatan yang melibatkan kaum lelaki, untuk memberi pemahaman dalam isu-isu yang boleh menjejaskan kesejahteraan umum mereka. Kesedaran terhadap masalah kesihatan ini adalah penting untuk kaum lelaki mengekalkan kesihatan mereka.

Disfungsi Erektil (ED)

Disfungsi erektil (ED) adalah masalah yang menyukarkan kaum lelaki untuk mendapat dan mengekalkan ereksi secukupnya bagi melakukan hubungan seksual. Simptom-simptom mungkin termasuk sering sukar untuk mendapat dan mengekalkan ereksi dan keinginan seksual menurun.

Antara faktor-faktor risiko disfungsi erektil adalah masalah prostat, diabetes jenis 2, hipogonadisme yang berkaitan dengan masalah endokrinologi, kolesterol tinggi, gangguan tidur kronik, masalah neurogenik, kemurungan, minum alkohol berlebihan, dan merokok, yang memburukkan kesan-kesan faktor risiko lain, seperti penyakit vaskular dan hipertensi.

Selepas punca disfungsi erektil dikenal pasti, doktor anda akan membantu menentukan pilihan rawatan terbaik untuk anda. Sesetengah rawatan boleh terus dimulakan oleh anda dengan mengubah gaya hidup anda.

Pesakit ED ringan boleh melakukan aktiviti kardiovaskular lasak (berjalan laju, berjoging, berenang, berbasikal, melompat tali) selama 45 minit, tiga kali seminggu. Berhenti merokok boleh menambah baik keadaan ED ringan selepas beberapa bulan. Sesetengah pesakit mungkin akan dipreskripsikan ubat yang berfungsi untuk meningkatkan aliran darah ke penis.

Hiperplasia Prostat Benigna (BPH) / Prostat Membesar

Hiperplasia Prostat Benigna (BPH) adalah pembesaran kelenjar prostat yang tidak berkanser.

Risiko prostat membesar dan simptom-simptom baginya akan meningkat sebaik sahaja seorang lelaki mencapai umur 40 tahun, berbanding lelaki yang berumur di bawah 40 tahun. Penyakit urologi biasa ini lebih kerap dialami oleh lelaki berumur lebih 50 tahun.

Kemungkinan seorang lelaki mengalami masalah prostat bertambah tinggi jika ahli keluarganya mempunyai isu prostat juga. Diabetes dan penyakit jantung boleh meningkatkan risiko mendapat BPH. Obesiti juga meningkatkan risiko mendapat BPH, tetapi bersenam boleh membantu menurunkan risiko itu.

Simptom-simptom BPH termasuk perlu menekan dan mencuba lebih kuat untuk mula kencing, sukar memulakan dan mengekalkan pancutan urin, pundi tidak rasa benar-benar kosong selepas kencing, tidak dapat kencing secara tiba-tiba (penahanan urin akut), gesaan untuk kencing secara tiba-tiba, kencing lebih kerap daripada biasa terutama pada waktu malam, kebocoran urin, dan darah didapati dalam urin.

Ada beberapa pilihan rawatan untuk BPH. Terapi Wap Rezum adalah rawatan alternatif semula jadi yang selamat untuk BPH berbanding dengan pembedahan. Terapi perolakan wap ini digunakan untuk menghapuskan tisu-tisu prostat yang menghalang. Jumlah wap air akan disesuaikan dengan saiz prostat.

Rawatan ubat termasuk ubat yang mengendurkan prostat untuk mengurangkan sumbatan pada bukaan pundi, atau ubat untuk menyekat pengeluaran hormon lelaki (dht) yang menyumbang kepada pembesaran prostat.

Rawatan wap laser disediakan untuk pesakit dengan kelenjar prostat yang lebih kecil, di mana tenaga laser akan dihantar melalui uretra kepada kelenjar prostat untuk menghapuskan tisu-tisu prostat yang membesar.

Dalam sesetengah kes, bahagian prostat yang membesar dan menekan pada uretra akan dibuang melalui pembedahan.

Kanser Prostat

Kanser prostat tumbuh di dalam prostat, iaitu kelenjar kecil berupa walnut yang membentuk sebahagian daripada sistem pembiakan lelaki. Kanser prostat lebih kerap menyerang lelaki berumur lebih 50 tahun dan mereka yang mempunyai ahli keluarga yang didiagnosis dengan kanser prostat atau kanser payudara, gen kanser payudara yang diwarisi – BRCA1, BRCA2. Satu lagi faktor risiko kanser prostat adalah obesiti.

Lelaki dengan kanser prostat peringkat awal biasanya tidak menunjukkan simptom. Namun, peringkat kanser prostat yang lebih lanjut mungkin menunjukkan simptom seperti kesukaran kencing, keraguan urinari (pancutan urin lemah, sukar mengekalkan pancutan) kerap kencing, darah dalam urin (hematuria), disfungsi erektil, darah dalam semen, sakit semasa ejakulasi, dan sakit tulang.

Pilihan rawatan untuk kanser prostat ditentukan oleh kadar penyebaran dan pertumbuhan kanser serta kesihatan umum dan keutamaan pesakit.

Prostatektomi radikal adalah rawatan pembedahan yang membuang prostat menggunakan kaedah laparoskopik, robotik atau pembedahan terbuka tradisional.

Terapi radiasi pancaran luaran secara langsung menghantar pancaran X-ray yang kuat kepada tumor dari luar badan. Brakiterapi menggunakan benih radioaktif untuk menghantar radiasi dari dalam, bagi membunuh sel-sel kanser sambil melindungi tisu sihat di sekelilingnya.

Terapi hormon menghalang pengeluaran testosteron badan. Dengan menyekat pengeluaran testosteron, pertumbuhan sel-sel kanser akan dihalang. Ubat hormon seperti agonis dan antagonis hormon pelepas hormon peluteinan (LHRH) dan hormon pelepas gonadotropin (GnRH) boleh menghentikan badan daripada menghasilkan testosteron.

Kemoterapi menyampaikan ubat secara intravena, secara oral (sebagai tablet), atau kedua-duanya, untuk membunuh sel-sel kanser. Kaedah ini boleh digunakan untuk merawat kanser prostat yang telah merebak ke bahagian badan yang lain.

Kanser prostat memang boleh dirawat. Pengesanan awal kanser prostat adalah penting untuk mendapat hasil yang lebih baik. Ujian antigen khusus prostat (PSA) dan pemeriksaan rektum digital boleh digunakan untuk mendiagnosis kanser prostat lebih awal. Namun, harap maklum bahawa ujian ini mungkin tidak tepat sepenuhnya kerana beberapa faktor boleh mempengaruhi keputusannya.

Oleh itu, lelaki yang berisiko sederhana atau tinggi perlu berbincang dengan doktor mereka tentang saringan kanser prostat.

Kanser Testis

Kanser testis, yang tumbuh di dalam testikel biasanya menyerang lelaki antara umur 15 dan 40 tahun. Namun, lelaki boleh mendapat kanser testis pada sebarang umur.

Kanser testis biasanya terjadi apabila tumor malignan yang mengandungi sel-sel kanser, berkembang di dalam tisu-tisu testis. Sel-sel ini tumbuh tanpa kawalan dan boleh merebak ke seluruh badan melalui aliran darah atau sistem limfa.

Simptom-simptom kanser testis termasuk benjolan di skrotum ataupun testis, pengumpulan cecair dalam skrotum secara mendadak atau tiba-tiba, skrotum atau testis menjadi bengkak, skrotum tiba-tiba berasa berat, sakit pada skrotum atau testis, testis mengecut, sakit di kawasan groin atau bawah abdomen, rasa nyeri dalam tisu dada, dan perbezaan rupa antara kedua-dua belah testis.

Jika anda menjumpai benjolan atau jika testis atau groin berasa sakit atau bengkak, jumpa doktor untuk menolak kemungkinan ketumbuhan berkanser pada peringkat paling awal.

Pilihan rawatan untuk kanser testis ditentukan oleh peringkat dan jenis kanser serta kesihatan dan keutamaan pesakit.

Orkiektomi inguinal radikal adalah prosedur pembedahan untuk membuang testis bertumor yang boleh digunakan untuk merawat kedua-dua tumor seminoma dan bukan seminoma.

Pembedahan nodus limfa retroperitoneum (RPLND) dilakukan untuk membuang nodus limfa dan salur darah besar di belakang abdomen.

Terapi radiasi menggunakan dos sinaran yang tinggi untuk memusnahkan sel-sel kanser. Kemoterapi menggunakan ubat seperti bleomycin, cisplatin dan etoposide untuk membunuh sel-sel kanser. Kemoterapi bermanfaat untuk tumor seminoma dan bukan seminoma.

Penyakit kardiovaskular

Penyakit kardiovaskular adalah sekumpulan penyakit yang menjejaskan jantung dan salur darah anda. Penyakit kardiovaskular boleh menjejaskan satu atau pelbagai bahagian jantung dan/atau salur darah anda. Seorang individu mungkin mengalami simptom (mengalami penyakit secara fizikal) atau tidak bersimptom (tidak berasa apa-apa langsung).

Masalah jantung atau salur darah dikategorikan di bawah penyakit kardiovaskular, termasuk penyempitan salur darah dalam jantung anda, organ lain, atau di seluruh badan anda, masalah jantung dan salur darah kongenital, injap jantung yang tidak berfungsi dengan betul, dan rentak jantung tidak tetap.

Faktor-faktor risiko yang meningkatkan risiko mendapat penyakit kardiovaskular termasuk masalah kesihatan seperti diabetes melitus, hipertensi, dan kolesterol tinggi. Berat badan yang berlebihan dan obesiti juga meningkatkan risiko mendapat penyakit kardiovaskular.

Simptom-simptom penyakit kardiovaskular mungkin berbeza bergantung pada puncanya. Simptom-simptom masalah jantung termasuk sakit dada (angina), dada rasa sesak, berat, atau tidak selesa, yang sesetengah individu menggambarkan seperti "dada dililit tali pinggang", atau "dada dihimpit", sesak nafas (dispnea), pening atau pengsan, dan kelesuan atau keletihan.

Simptom-simptom salur darah tersumbat di seluruh badan anda termasuk kaki sakit atau kejang semasa berjalan, kudis kaki yang tidak hilang, kulit dingin atau merah pada kaki, bengkak pada kaki, kekebasan pada sebelah badan, dan sukar untuk bercakap, melihat atau berjalan.

Pelbagai rawatan ada disediakan, yang bergantung pada simptom dan jenis penyakit kardiovaskular yang dihidapi.

Perubahan gaya hidup termasuk mengubah diet, meningkatkan aktiviti aerobik, dan berhenti merokok atau mengambil produk tembakau (termasuk menghisap vape) adalah penting.

Doktor anda mungkin mempreskripsikan ubat untuk menguruskan dan mengawal penyakit kardiovaskular. Ubat yang dipreskripsikan untuk anda bergantung pada jenis penyakit kardiovaskular yang dihidapi.

Jika ubat sahaja tidak mencukupi, doktor anda mungkin mencadangkan prosedur ataupun pembedahan untuk merawat penyakit kardiovaskular anda. Prosedur dan pembedahan yang mungkin dicadangkan termasuk memasukkan sten di dalam arteri jantung atau kaki anda, pembedahan jantung invasif minimum, pembedahan jantung terbuka, ablasi, atau kardioversi.

Program pemulihan jantung adalah program senaman yang diawasi dan boleh membantu menguatkan jantung anda. Tanpa sebarang ubat atau prosedur/pembedahan, anda mungkin perlu diawasi dengan teliti lama-kelamaan. 

Kesihatan Mental

Sesetengah penyakit mental didiagnosis pada kadar yang serupa untuk kedua-dua lelaki dan wanita, atau pada kadar yang lebih tinggi untuk lelaki, seperti gangguan kurang tumpuan/hiperaktif (ADHD). Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), kemungkinan kaum lelaki meninggal dunia dengan membunuh diri adalah lebih tinggi berbanding wanita. Oleh itu, kesihatan mental kaum lelaki adalah penting dan tidak patut diabaikan.

Ada kajian yang membincangkan faktor-faktor risiko yang boleh menyebabkan kesihatan mental lelaki merosot, meskipun ada juga faktor lain yang boleh menjejaskan kesihatan mental lelaki. 

Pengangguran boleh menjadi punca tekanan kronik, dan kehilangan kerja atau ditamatkan kerja secara tiba-tiba boleh menjadi punca tekanan akut. Beberapa kajian menunjukkan yang pengangguran lebih kerap menjejaskan kesejahteraan mental kaum lelaki berbanding wanita.

Keluarga adalah satu lagi aspek utama dalam kehidupan kaum lelaki yang mempunyai tujuan dan makna penting untuk mereka. Ada bukti yang mencadangkan bahawa kedua-dua perceraian dan perpisahan merupakan faktor risiko tinggi untuk penyakit mental dan membunuh diri dalam lelaki. 

Penderaan kanak-kanak kerap berlaku dalam kalangan anak lelaki dan anak perempuan; tetapi sesetengah jenis penderaan lebih kerap berlaku pada anak lelaki berbanding anak perempuan (begitu juga sebaliknya), seperti penderaan fizikal. Anak lelaki yang didera lebih cenderung untuk menunjukkan sikap yang lebih susah untuk dikelaskan secara psikiatri. Contohnya: delinkuensi, kelakuan yang mengganggu, berhenti sekolah, minum mengikut nafsu, dan suka mengambil risiko. Kelakuan ini biasanya dikaitkan dengan masalah peribadi dan bukan masalah kesihatan mental, yang menyebabkan tindakan menghukum sering diambil berbanding pendekatan psikiatri.

Seperti yang disebut tadi, perceraian dan kehilangan kerja adalah dua faktor risiko besar yang meningkatkan risiko masalah kesihatan mental dalam lelaki. Ramai lelaki yang bergelut untuk menyesuaikan diri mereka dengan realiti baharu ini selepas melalui perubahan tersebut. Ada bukti yang menunjukkan bahawa perubahan lain dalam hidup boleh meningkatkan risiko penyakit mental dalam lelaki dan juga wanita. Menurut hasil kajian, perubahan ini termasuk kematian dan apabila mula-mula kehilangan upaya.

Perasaan takut, sedih, dan tidak berdaya disebabkan kesihatan mental anda adalah perkara normal yang akan dilalui. Bagaimanapun, anda berkuasa untuk menjaga kesihatan mental dan kesejahteraan anda.

Beberapa cara untuk menjaga kesihatan mental anda:

  • Bercakap dengan orang yang tersayang, atau orang yang dipercayai – kawan, ahli keluarga, atau rakan sekerja – boleh membantu anda rasa lebih tenang. Sentiasa berhubung dengan mereka yang tersayang secara maya melalui telefon atau panggilan video, atau teks, jika anda tinggal jauh daripada mereka.
  • Aktifkan diri anda dengan meluangkan 30 minit setiap hari untuk berlari, berjalan, melakukan senaman yoga, menari, berbasikal, atau berkebun. Diet yang sihat dan rehat yang mencukupi juga penting untuk badan dan minda yang sihat.
  • Teruskan melakukan aktiviti yang anda suka dan menggembirakan anda, seperti memasak untuk diri anda atau mereka yang tersayang, meluangkan masa dengan haiwan kesayangan anda, bersiar-siar di taman, membaca buku, atau menonton filem atau siri TV.
  • Jangan mengambil bahan berbahaya seperti dadah, kava, alkohol, atau tembakau untuk menguruskan perasaan anda. Anda mungkin rasa lega seketika selepas mengambilnya, tetapi menyalahgunakan bahan secara kerap boleh membuat anda rasa lebih teruk dalam jangka panjang. Bahan berbahaya ini boleh memudaratkan anda dan mereka di sekeliling anda dengan membawa penyakit atau kecederaan.
  • Jika anda rasa terbeban oleh tekanan yang dihadapi, dapatkan bantuan profesional dengan menelefon talian bantuan kesihatan mental tempatan anda atau hubungi kaunselor atau doktor anda. Ingat yang anda tidak keseorangan, dan ada cara-cara yang boleh diambil untuk menyokong kesejahteraan emosi anda.

Aturkan janji temu di Hospital Gleneagles

Hospital Gleneagles menyediakan pelbagai pilihan program saringan kesihatan yang disesuaikan dengan keperluan berbeza setiap individu, dengan mengambil kira masalah kesihatan dan keutamaan mereka.

Pasukan penjagaan kesihatan profesional kami yang berdedikasi sedia untuk membimbing dan membantu mengesyorkan atau menyesuaikan pakej saringan yang sesuai dengan umur, jantina, latar belakang keluarga dan sejarah perubatan anda.

Untuk membuat janji temu, sila hubungi Pusat Saringan Kesihatan di Hospital Gleneagles berdekatan anda.

SuggestedArticles