Jangkitan Hidung & Tekak (ENT) dalam kalangan Kanak-kanak | Hospital Gleneagles
  • Ambulans / Kecemasan
    +603 4141 3018
  • Talian am
    +603 4141 3000

Jangkitan Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) dalam kalangan Kanak-kanak


Ear infection, allergic rhinitis and tonsillitis are the common ENT infections in children.

Disediakan oleh Pasukan Perunding Pediatrik & Pakar Bedah ENT Pediatrik

Gleneagles Kuala Lumpur

Lawatan perubatan ke pakar ENT adalah perkara biasa bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil. Kanak-kanak lebih mudah mendapat penyakit telinga, hidung dan tekak kerana sistem imun mereka yang masih lemah.

Selesema, flu, alergi, jangkitan telinga, rinitis alergi dan tonsilitis merupakan jangkitan ENT yang biasa dalam kalangan kanak-kanak.

Mari kita belajar mengenai jangkitan ENT yang biasa, gejala dan pilihan rawatan untuk kanak-kanak.

Jangkitan telinga

Kebanyakan kanak-kanak akan mengalami sekurang-kurangnya satu jangkitan telinga tengah sebelum berumur 2 tahun.


Gejala jangkitan telinga dalam kalangan kanak-kanak

Gejala jangkitan telinga termasuk:

  • Sakit telinga
  • Demam
  • Cecair dalam telinga tengah
  • Hidung berair
  • Hilang selera makan
  • Meragam
  • Kurang tidur
  • Pendengaran kurang jelas

Pilihan rawatan untuk jangkitan telinga dalam kalangan kanak-kanak

Langkah terbaik adalah membawa anak anda berjumpa doktor untuk menguji sama ada ia adalah jangkitan virus atau bakteria.

Pilihan rawatan akan bergantung pada umur kanak-kanak itu, tahap dan keadaan jangkitan, dan jika ada cecair dalam telinga tengah.

Nanah menunjukkan adanya jangkitan bakteria, dan antibiotik adalah rawatan yang terbaik baginya. Jangkitan virus pula boleh dirawat dengan mengambil parasetamol. Selain itu, doktor mungkin akan mempreskripsikan ubat untuk melegakan kesakitan suaya anak itu rasa selesa.

Jika jangkitan telinga kerap berlaku sebanyak 4 hingga 6 kali setahun, prosedur invasif minimum ada disediakan bagi merawat masalah itu.


Selesema dan flu

Kanak-kanak sering mendapat selesema dan flu kerana sistem imun mereka yang lemah. Sungguhpun bayi dan anak kecil boleh mendapat selesema sebanyak 8 hingga 10 kali setahun, kanak-kanak prasekolah dan tadika juga boleh mendapat selesema sebanyak 9 hingga 12 kali setahun.

Gejala selesema dan flu dalam kalangan kanak-kanak

Gejala selesema, flu, jangkitan sinus ataupun COVID-19 sekali pun adalah lebih kurang sama dalam kalangan kanak-kanak. Oleh itu, anda dinasihatkan supaya merujuk dengan doktor anda untuk diagnosis dan rawatan.

Dalam kebanyakan kes, anak itu tidak perlu segera dibawa berjumpa doktor kerana selesema dan flu boleh diuruskan di rumah dengan memberi parasetamol dan rehat yang mencukupi.

Jika anak itu ada gejala ringan seperti bersin, batuk ringan, demam gred-rendah, hidung berair, sakit tekak tetapi tidak demam, dan gejala itu hilang dalam masa seminggu, anda tidak perlu berjumpa doktor.

Bagaimanapun, rujuk dengan doktor/pakar ENT jika:

  • Anak itu mengalami demam melebihi 38 darjah Celcius yang berterusan lebih daripada 72 jam
  • Gejala berterusan lebih daripada seminggu
  • Terdapat gejala seakan-akan flu seperti lesu, sakit badan dan rasa sejuk
  • Merasa kurang aktif dan mengantuk sepanjang masa
  • Menunjukkan selera makan yang berkurangan
  • Kelihatan seperti kekurangan air
  • Batuk yang tidak berhenti selama 7-10 hari
  • Mata berair/merah yang berlebihan
  • Lelehan kuning atau hijau keluar daripada hidung yang mungkin menandakan jangkitan sinus

Pilihan rawatan bagi selesema dan flu dalam kalangan kanak-kanak

Selepas diagnosis, doktor anda mungkin akan mempreskripsikan ubat demam, ubat melegakan kesakitan, ubat melegakan selesema dan dalam kes tertentu, antibiotik.

Anda juga mungkin diminta melakukan rawatan di rumah seperti membilas dan membersihkan hidung dengan larutan bergaram, rawatan wap dan menggunakan probiotik untuk melancarkan pencernaan.

Ibu bapa turut dinasihatkan agar mendapatkan vaksinasi flu tahunan bagi anak-anak untuk mencegah flu yang lebih serius.


Rinitis Alergi

30% hingga 40% populasi mengalami alergi hidung. Alergi yang berkaitan dengan hidung atau biasanya dikenali sebagai rinitis alergi boleh menyebabkan bersin, mata berair, gatal mata, hidung dan kadang kala menyebabkan sakit tekak. Tungau debu, debunga, sisik haiwan atau kulat dalam rumah boleh menjadi penyebab alergi anak anda.

Selesema boleh sembuh dalam masa lebih kurang seminggu tetapi alergi hidung boleh berterusan sepanjang tahun. Mengenal pasti alergi kanak-kanak pada peringkat awal akan memperbaiki kualiti hidup anak anda, mengurangkan ketidakhadiran ke sekolah akibat sakit, dan anda tidak perlu mengambil cuti untuk menjaga anak anda.


Gejala rinitis alergi dalam kalangan kanak-kanak

Gejala biasa termasuk:

  • Bersin
  • Hidung tersumbat atau berair
  • Gatal tekak, mata dan telinga
  • Hidung berdarah
  • Cecair jernih daripada hidung
  • Jangkitan telinga yang kerap berlaku
  • Bernafas melalui mulut
  • Meragam

Pilihan rawatan untuk rinitis alergi dalam kalangan kanak-kanak

Pilihan rawatan untuk kanak-kanak bergantung pada umur, kesihatan menyeluruh, tahap penyakit dan kemampuan kanak-kanak tersebut untuk mengambil ubat.

Pilihan rawatan termasuk:

  • Antihistamina
  • Penyembur hidung
  • Dekongestan
  • Ubat untuk gejala asma
  • Ubat dan suntikan alergi

Tonsilitis

Kanak-kanak biasanya mengalami sakit tekak satu atau dua kali setahun. Apakah yang perlu anda lakukan apabila ini berlaku? Mungkinkah itu tonsilitis? Bagaimanakah anda boleh tahu?

Selalunya, kebanyakan orang akan mengaitkan sakit tekak dengan jangkitan tonsil, dan ini tidaklah benar. Kebanyakan kes sakit tekak disebabkan oleh jangkitan virus yang menjejaskan tekak, hidung, telinga tengah dan salur udara bawah.

Punca biasa sakit tekak dalam kalangan kanak-kanak adalah mana-mana satu daripada pelbagai virus yang ada, dan tiada satu pun yang boleh dirawat dengan antibiotik. Virus-virus ini boleh menyebabkan demam panas dan sakit tekak yang amat menyakitkan.

Tonsil akan kelihatan bujur, dengan ketulan tisu kemerah-merahan pada kedua-dua belah tekak. Adenoid adalah serupa dengan tonsil dan terletak di bahagian paling atas tekak, di atas uvula dan di belakang hidung. Kedua-dua tonsil dan adenoid adalah sebahagian daripada sistem pertahanan badan kita terhadap jangkitan.


Gejala tonsilitis dalam kalangan kanak-kanak

Meskipun semua keadaan tonsilitis akan mengalami sakit tekak, tidak semua sakit tekak disebabkan oleh tonsilitis.

Gejala lain seperti suara serak dan batuk juga sering dikaitkan dengan tonsil, hanya kerana tonsil membesar atau kelihatan “meradang”.

Ramai orang yang melihat tonsil mereka sebagai membesar dan meradang walaupun saiz dan warna tonsil adalah normal sebenarnya.

Tonsilitis merupakan keradangan tonsil yang selalunya disebabkan oleh jangkitan. Terdapat beberapa tanda tonsilitis, termasuk:

  • Tonsil yang merah dan bengkak
  • Salutan berwarna putih atau kuning pada tonsil
  • Suara "garau"
  • Sakit tekak
  • Berasa tidak selesa atau sakit semasa menelan
  • Nodus limpa ("kelenjar") yang bengkak di leher

Pilihan rawatan bagi tonsilitis dalam kalangan kanak-kanak

Doktor akan membuat ujian tertentu terlebih dahulu untuk mendiagnosis tonsilitis. Ini mungkin termasuk pemeriksaan fizikal, melihat ke dalam tekak menggunakan instrumen bercahaya, memeriksa limpa yang membesar, swab tekak dan kiraan sel darah lengkap (CBC).

Jika anak anda menunjukkan sebarang tanda atau gejala pembesaran tonsil atau adenoid dan tidak kelihatan seperti akan sembuh selepas beberapa minggu, rujuk dengan pakar pediatrik anda untuk mendapatkan diagnosis yang tepat.

Pilihan rawatan termasuk penjagaan dan rehat di rumah, berkumur dengan air garam, ubat-ubatan untuk sakit dan demam, antibiotik dan dalam kes tertentu, pembedahan.


Hidung berdarah

Hidung berdarah biasa dialami oleh kanak-kanak, dan boleh disebabkan oleh faktor harian seperti udara kering, menggaru hidung dan sebagainya. Kebanyakan hidung berdarah akan berhenti serta-merta di rumah dan tidak perlu berjumpa ENT. Bagaimanapun, jika hidung tidak berhenti berdarah atau telah disebabkan oleh kecederaan serius, anda disyorkan supaya segera berjumpa doktor.

Hilang pendengaran

Hilang pendengaran dalam kalangan kanak-kanak adalah sangat biasa dan mungkin bersifat kongenital atau disebabkan oleh pelbagai masalah perubatan lain dan keadaan sekitar yang menyebabkan kehilangan sensorineural atau konduktif.


Gejala hilang pendengaran dalam kalangan kanak-kanak

Tanda-tanda pada bayi termasuk tidak bertindak balas kepada bunyi bising, kurang refleks terkejut, tidak boleh bertutur perkataan pada umur 1 tahun.

Gejala bagi kanak-kanak yang lebih dewasa termasuk lambat bercakap, tidak lancar bercakap, tidak mengikut arahan, menonton televisyen pada kelantangan tinggi, ketinggalan dalam pelajaran di sekolah.


Pilihan rawatan untuk hilang pendengaran dalam kalangan kanak-kanak

Intervensi yang berbeza mungkin diperlukan untuk kanak-kanak, bergantung pada gejala mereka. Pelan rawatan termasuk pemantauan tetap, penggunaan alat bantu dengar, implan koklea, ubat-ubatan dan pembedahan.


Apnea tidur obstruktif (OSA)

Apnea tidur obstruktif pediatrik terjadi apabila pernafasan kanak-kanak tersumbat sekejap-sekejap semasa tidur. Puncanya dikaitkan dengan saluran pernafasan atas yang sempit pada kanak-kanak tersebut.


Gejala OSA dalam kalangan kanak-kanak

Gejala biasa termasuk:

  • Berdengkur dengan kuat
  • Pernafasan terhenti seketika
  • Tidur tidak nyenyak
  • Selalu batuk, tercekik
  • Berpeluh pada waktu malam
  • Kencing malam
  • Gangguan tidur

Pilihan rawatan bagi OSA dalam kalangan kanak-kanak

Rawatan untuk apnea tidur kanak-kanak bergantung pada punca dan keterukan gejala. Apnea tidur kanak-kanak yang disebabkan oleh pembesaran tonsil dan adenoid boleh disembuhkan dengan pembedahan membuang tonsil dan adenoid.

Semburan steroid hidung, pembilas hidung bergaram atau ubat-ubatan alergi boleh dipreskripsikan untuk kanak-kanak dengan gejala apnea tidur sederhana. Lama-kelamaan, meereka juga mungkin boleh diawasi tanpa perlu diberikan rawatan.


Buat tempahan janji temu di Hospital Gleneagles

Jika anak anda menunjukkan sebarang tanda atau gejala masalah yang disebut di atas dan tidak kelihatan seperti akan sembuh selepas beberapa minggu, hubungi kami untuk membuat tempahan janji temu dengan Pakar Bedah Perunding Pediatrik ENT bagi mendapatkan diagnosis yang tepat.



Hubungan kecemasan
Gleneagles Hospital Kuala Lumpur
Ambulans / Kecemasan
+603 4141 3018
Pilih Hospital