Memahami Komplikasi Kehamilan | Hospital Gleneagles

Memahami Komplikasi Kehamilan

Semasa hamil, sesetengah wanita mungkin mengalami masalah kesihatan yang boleh memberi kesan kepada kesejahteraan ibu, janin atau kedua-duanya. Malah kaum ibu yang sihat sebelum hamil mungkin menghadapi komplikasi ini, yang boleh menjadikan kehamilan sebagai berisiko tinggi.

Komplikasi Biasa yang Disebabkan oleh Kehamilan

Diabetes mellitus semasa hamil (GDM)

Diabetes semasa hamil adalah keadaan yang dicirikan oleh paras gula darah tinggi yang timbul khususnya semasa kehamilan dan biasanya hilang selepas bersalin. Walaupun boleh berlaku pada bila-bila masa sewaktu hamil, diabetes semasa hamil lebih kerap muncul ketika trimester kedua atau ketiga. Kebanyakan wanita yang mengalami diabetes semasa hamil akan melalui kehamilan yang normal dan melahirkan bayi yang sihat.

Tekanan darah tinggi (hipertensi)

Tekanan darah tinggi berlaku apabila tekanan darah dalam arteri meningkat melebihi tahap normal. Preeklampsia ialah komplikasi kehamilan yang dicirikan oleh tekanan darah tinggi tahap protein yang tinggi dalam air kencing (proteinuria) atau tanda-tanda kerosakan organ yang lain.

Preeklampsia biasanya bermula selepas 20 minggu kehamilan pada wanita yang tekanan darahnya normal sebelum ini. Preeklampsia boleh menyebabkan komplikasi yang teruk kepada ibu dan bayi. Bagi bayi, jumlah aliran darah ibu ke plasenta boleh berkurangan, lalu menyebabkan tumbesaran bayi menjadi terhad.

Masalah plasenta

Plasenta ialah organ yang berkembang semasa kehamilan dan memberikan sokongan dan nutrien penting kepada janin yang sedang berkembang. Plasenta terbentuk di dalam rahim dan melekat pada dinding rahim, membolehkan pertukaran oksigen, nutrien dan bahan buangan antara ibu dan bayi.

Isu plasenta seperti plasenta previa, keadaan apabila plasenta menutupi pembukaan serviks, mungkin berlaku semasa kehamilan. Bergantung pada jumlah plasenta yang menutupi serviks, plasenta previa boleh terdiri daripada ringan hingga teruk. Dalam sesetengah kes, keadaan ini boleh menyebabkan beberapa komplikasi semasa hamil dan bersalin.

Uri tercabut merupakan situasi apabila plasenta tercabut dari dinding rahim sebelum bayi dilahirkan, lalu menyebabkan risiko bekalan oksigen tidak mencukupi dibekalkan kepada janin.

Anemia

Anemia semasa hamil ialah masalah apabila wanita hamil mempunyai tahap hemoglobin yang rendah dalam darah. Hemoglobin ialah protein yang kaya dengan zat besi dalam sel darah merah yang membawa oksigen ke tisu di seluruh badan, termasuk janin yang sedang berkembang.

Anemia semasa hamil boleh menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan janin, berpotensi menyebabkan penurunan berat ketika lahir akibat pengurangan bekalan oksigen kepada janin, kelahiran pramatang dan komplikasi semasa kehamilan.

Hiperemesis gravidarum

Ramai ibu hamil mengalami tahap loya dan muntah yang berbeza-beza, biasanya dikenali sebagai “mabuk hamil,” terutamanya pada trimester awal kehamilan. Hyperemesis gravidarum pula ialah bentuk mabuk hamil yang lebih teruk - loya dan muntah yang berterusan sepanjang kehamilan. Ini boleh mengakibatkan penurunan berat badan dan dehidrasi yang memerlukan rawatan intensif.

Kelahiran pramatang

Purata tempoh kehamilan menjangkau kira-kira 40 minggu, manakala kelahiran pramatang bermula sebelum minggu ke-37.

Keguguran kehamilan

Keguguran merujuk kepada kehilangan kehamilan akibat sebab semula jadi sebelum mencapai 20 minggu kehamilan. Tanda-tanda keguguran mungkin termasuk gejala seperti tompokan faraj atau pendarahan, kekejangan atau lelehan cecair atau tisu dari faraj. Amat penting untuk ambil perhatian bahawa pendarahan faraj tidak semestinya menunjukkan bahawa keguguran hampir terjadi atau sedang berlaku. Namun, wanita yang mengalami pendarahan faraj pada mana-mana peringkat kehamilan harus segera menghubungi doktor.

Jangkitan semasa hamil

Jangkitan tertentu boleh berjangkit daripada ibu kepada bayi yang baru lahir semasa bersalin apabila bayi bergerak melalui saluran kelahiran, manakala beberapa jangkitan juga boleh menjejaskan janin semasa kehamilan. Kebanyakan jangkitan ini boleh dicegah atau ditangani penjagaan prakehamilan, pranatal dan selepas bersalin yang betul.

Mendapatkan penjagaan dan rawatan yang diperlukan untuk mencegah penularan jangkitan kepada bayi sambil meningkatkan kesihatan ibu bermula dengan saringan jangkitan.

Dinasihatkan agar semua wanita hamil menjalani saringan pranatal untuk jangkitan berikut: virus hepatitis B, virus hepatitis C, sifilis dan HIV. Sesetengah wanita berisiko dinasihatkan menjalani pemeriksaan untuk jangkitan tambahan, termasuk klamidia, gonorea dan batuk kering.

  • Vaginosis bakteria
  • Cytomegalovirus (CMV)
  • Strep Kumpulan B (GBS)
  • Virus Hepatitis B (HBV)
  • Influenza (flu)
  • Listeriosis
  • Jangkitan kelamin (STI)
  • Jangkitan saluran kencing (UTI)
  • Toksoplasmosis
  • Jangkitan yis

Pengurusan Komplikasi Kehamilan Terurus

Semasa kehamilan, penting untuk tidak teragak-agak menghubungi doktor anda jika ada sesuatu yang membimbangkan anda. Walaupun komplikasi terjadi, terdapat cara untuk menangani isu-isu yang berkembang semasa kehamilan.

Penjagaan pranatal - penjagaan yang anda terima semasa hamil memainkan peranan penting dalam mencegah komplikasi. Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang tidak menerima penjagaan pranatal adalah tiga kali lebih berkemungkinan mempunyai berat lahir rendah dan lima kali lebih mungkin menghadapi kematian berbanding yang dilahirkan oleh ibu yang mendapat penjagaan yang betul.

Lawatan pranatal yang kerap dengan doktor membolehkan pengesanan awal isu kesihatan, membolehkan campur tangan dan rawatan awal. Banyak masalah boleh dirawat dengan berkesan dan yang lain boleh dicegah melalui rawatan perubatan yang tepat pada masanya.

Selain itu, doktor boleh membimbing ibu hamil tentang cara menggalakkan permulaan kehidupan yang sihat untuk bayi dalam kandungan. Penjagaan pranatal juga boleh memainkan peranan dalam mengenali isu kesihatan mental yang berkaitan dengan kehamilan, seperti kebimbangan dan kemurungan.

Biasanya, doktor anda akan memberikan anda jadual untuk lawatan pranatal dan kebanyakan doktor mengesyorkan kekerapan lawatan berikut:

  • Kira-kira sekali sebulan dari tempoh minggu 4 hingga 28 kehamilan.
  • Dua kali sebulan dari tempoh minggu 28 hingga 36.
  • Mingguan dari minggu 36 hingga bersalin.
  • Jika anda berumur 35 tahun atau lebih atau kehamilan anda dianggap berisiko tinggi, anda mungkin perlu melawat doktor dengan lebih kerap untuk memastikan kesejahteraan anda dan bayi anda.

Atur Janji Temu di Hospital Gleneagles

Jika anda mengesyaki bahawa anda mengalami simptom komplikasi kehamilan, hubungi kami untuk mengetahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Obstetrik & Ginekologi di Hospital Gleneagles yang terdekat dengan anda.

Hubungan kecemasan
Gleneagles Hospital Kota Kinabalu
Ambulans / Kecemasan
+6088 518 911
Gleneagles Hospital Kuala Lumpur
Ambulans / Kecemasan
+603 4141 3018
Gleneagles Hospital Penang
Ambulans / Kecemasan
+604 222 9199
Gleneagles Hospital Medini Johor
Ambulans / Kecemasan
+607 560 1111
Pilih Hospital