Topics
Memahami Makanan Diproses
Dalam erti kata sebenar, sebarang makanan yang telah berubah daripada keadaan semula jadinya dianggap sebagai makanan proses. Malah, membasuh, membakar dan memasak makanan juga aspek yang perlu dipertimbangkan. Ia sebahagian daripada pemprosesan makanan.
Itulah sebabnya apabila kita bercakap tentang makanan proses, kita mesti ambil maklum bahawa terdapat beberapa peringkat pemprosesan.
Produk makanan dalam tin atau beku boleh dianggap sebagai makanan proses. Istilah ini terpakai kepada makanan yang melalui pemprosesan mekanikal, seperti pengisaran daging atau pempasteuran makanan. Walau bagaimanapun, perubahan yang dibuat ke atas produk asal adalah kecil.
Biji kopi dan daun teh juga perlu diproses sebelum kita boleh menjadikannya minuman. Epal yang diproses untuk mengeluarkan jusnya juga tidak semestinya tidak sihat. Walaupun sebatian seratnya telah dibuang, ia masih mengandungi bahan mineral dan vitamin.
Begitu juga dengan keju, roti dan makanan bakar yang lain. Susu perlu diproses untuk mendapatkan keju. Gandum pula perlu dikisar untuk membuat tepung, dicampur dengan air untuk membuat doh dan kemudiannya dibakar.
Jadi, jika mengikut erti kata sebenar, maka tidak banyak pilihan makanan yang tinggal jika kita mengelakkan makanan proses sama sekali.
Walau bagaimanapun, apabila bercakap tentang makanan yang diproses, secara amnya, kita maksudkan makanan yang dimasukkan bahan tambahan untuk meningkatkan rasa atau jangka hayatnya, atau makanan yang telah melalui proses kimia untuk mengeluarkan kebanyakan nutrien yang terkandung di dalamnya.
Memahami Makanan Rapu
Makanan rapu ditakrifkan sebagai makanan dan minuman yang rendah nutrien dan mempunyai kandungan kalori, lemak tepu, gula tambahan serta garam yang tinggi. Kebanyakan produk makanan rapu telah siap disediakan, melalui pelbagai peringkat pemprosesan dan dalam bungkusan. Sesetengah makanan segera boleh dianggap sebagai makanan rapu.
Walaupun tidak dinafikan kelazatannya, mengambil makanan rapu tidak mendatangkan sebarang manfaat selain untuk memenuhi keinginan dan selera kita.
Tabiat mengambil makanan rapu boleh meningkatkan risiko obesiti dan penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, gangguan yang berkaitan dengan hati serta beberapa jenis kanser.
Menjauhi Makanan Proses yang Tidak Sihat
Kita semua tahu bahawa mengambil terlalu banyak makanan proses tidak baik untuk diri kita. Terutamanya apabila kita mempertimbangkan kandungan natrium, gula tambahan, bahan tambahan, bahan tiruan dan pengawet di dalamnya.
Produk makanan proses yang tidak sihat ini lazimnya mempunyai kandungan lemak tepu, lemak trans serta karbohidrat ditapis yang tinggi, dan serat pemakanan dan vitamin yang rendah. Perkara ini seharusnya meyakinkan kita tentang betapa buruknya kesan jika kita terlalu banyak mengambil makanan proses.
Petua untuk Mengurangkan Pengambilan Makanan Proses
Kita tidak perlu membuang sepenuhnya makanan proses daripada pemakanan harian kita. Membuat perubahan sedikit demi sedikit selalunya lebih berkesan dan lebih mampan untuk jangka panjang. Berikut ialah beberapa petua berguna:
- Tentukan betapa buruknya makanan proses dengan mempelajari cara untuk membaca label pemakanan.
- Hadkan atau elakkan pembelian produk makanan yang tinggi kandungan natrium, gula, lemak tepu dan lemak trans.
- Sediakan makanan anda sendiri dengan bahan-bahan yang segar.
- Makan buah-buahan serta kekacang sebagai snek, dan elakkan kerepek kentang serta biskut.
- Tukar produk bijirin yang ditapis seperti nasi putih, roti putih dan pasta dengan beras perang, roti bijian sempurna dan pasta bijian sempurna.
- Daripada mengambil bijirin yang tinggi gula, cuba ambil mil oat bersama buah-buahan segar.
- Makan lebih banyak sayur-sayuran terutamanya jenis yang boleh dimakan mentah, dicelur atau digoreng kilas.
- Akhir sekali, minum air kosong dengan banyak dan jauhi minuman manis.
Alternatif dan Pilihan yang Sihat
Terdapat banyak pilihan untuk mengalas perut atau mengenyangkan rasa lapar. Tidak dinafikan kerepek kentang, pastri manis, kek atau biskut dan minuman manis mungkin terlalu menarik untuk ditolak. Cuba belajar untuk menahan diri dan membuat pilihan yang lebih sihat.
Kacang campuran
Kacang campuran ialah pilihan yang lebih baik berbanding kerepek kentang. Kacang mengandungi protein, serat, lemak sihat, vitamin dan mineral. Kacang badam, kacang walnut, kacang Brazil, kacang pistasio dan kacang gajus merupakan pilihan yang baik apabila diambil secara sederhana.
Jauhi produk kacang masin kerana ia mengandungi paras natrium (garam) yang tinggi. Untuk menambah perisa, anda boleh membuat campuran kacang dan buah-buahan kering untuk dijadikan snek yang sangat sihat.
Buah-buahan segar
Buah-buahan segar sentiasa pilihan yang lebih baik untuk menghilangkan rasa lapar atau apabila anda mengidamkan makanan manis. Buah-buahan kaya dengan nutrien, mengandungi serat yang tinggi dan mempunyai kandungan kalori yang sangat rendah.
Yogurt
Yogurt mungkin kelihatan berkrim dan mengasyikkan, tetapi ia penuh dengan nutrien. Ia merupakan sumber kalsium yang tinggi, kaya dengan vitamin B dan mengandungi bakteria baik yang membantu sistem penghadaman kita.
Jejari sayur-sayuran mentah
Potong timun, lobak merah, saderi dan juga lada benggala untuk dijadikan sebagai snek yang segera dan lazat. Bukan sahaja sayur-sayuran ini berkhasiat, malah, tindakan memotongnya juga dapat mengalihkan fikiran kita buat seketika dan menghilangkan keinginan untuk makan.
Bar tenaga
Bar tenaga atau juga dikenali sebagai bar protein, ialah pilihan yang baik untuk dijadikan snek terutamanya jika kita sedang dalam perjalanan. Namun anda perlu berhati-hati dan baca label pemakanan untuk melihat kandungan gula dan garam tambahan.
Coklat gelap
Coklat gelap merupakan alternatif yang baik apabila anda mengidamkan coklat. Kandungan gulanya lebih rendah berbanding coklat susu dan ia kaya dengan antioksidan. Perhatikan saiz hidangan kerana sebarang makanan yang diambil secara berlebihan adalah tidak baik – termasuk coklat! Ambil satu atau dua kepingan petak kecil untuk memenuhi keinginan anda.
Air berperisa
Air berperisa merupakan alternatif terbaik kepada minuman bergas dan minuman manis. Tambah sedikit jus buah ke dalam air, atau hanya sepotong lemon atau oren untuk menaikkan sedikit perisa air anda. Meminum air juga merupakan cara yang baik untuk membuat kita rasa kenyang dan mengurangkan pengambilan makanan.
Ketahui Lebih Lanjut Tentang Keperluan Pemakanan Anda di Hospital Gleneagles
Hubungi pakar diet di Hospital Gleneagles yang berdekatan dengan anda jika anda mempunyai soalan tentang keperluan diet anda, memerlukan nasihat profesional tentang pemakanan dan diet, serta cara untuk mengaturkan makanan anda untuk mencapai kesihatan yang lebih baik.
Jika anda mahu membuat janji temu untuk menjalani saringan kesihatan, sila hubungi pusat saringan kesihatan di Hospital Gleneagles yang berdekatan dengan anda.