Garis Panduan Pemakanan untuk Pesakit Gastroenteritis | Gleneagles Hospitals Malaysia
17 Health Digest - Dietary Guidelines for Patients with Gastroenteritis 17 Health Digest - Dietary Guidelines for Patients with Gastroenteritis
Pemakanan & Nutrisi
Nutrisi oleh Pakar

Garis Panduan Pemakanan untuk Pesakit Gastroenteritis

06 Oktober 2025 · 6 mins read

Topics







Gastroenteritis atau selesema perut, boleh menyebabkan muntah, cirit-birit dan kekejangan perut. Ketahui cara untuk kekal terhidrat dan memilih makanan yang lembut pada perut boleh membantu mempercepatkan proses pemulihan.

Gastroenteritis, yang sering dikenali sebagai selesema perut, ialah masalah biasa yang dialami oleh orang dewasa dan kanak-kanak di Malaysia. Masalah ini menyebabkan simptom seperti muntah, cirit birit dan kekejangan perut, yang boleh membawa kepada dehidrasi. Pengurusan pemakanan yang betul sangat penting untuk membantu pemulihan, mengurangkan ketidakselesaan dan menggantikan semula cecair serta nutrien yang hilang.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menekankan bahawa pemakanan dan penghidratan yang sesuai adalah penting dalam mencegah komplikasi seperti dehidrasi yang teruk. Artikel ini menggariskan pertimbangan pemakanan utama untuk individu yang mengalami gastroenteritis dan menawarkan panduan tentang makanan yang perlu diambil dan dielakkan semasa proses pemulihan.

Memahami Kesan Gastroenteritis pada Badan

Gastroenteritis menyebabkan keradangan pada perut dan usus yang boleh menjejaskan proses pencernaan. Simptom lazim termasuk loya, muntah, cirit birit dan kekejangan perut, yang boleh mengakibatkan kehilangan cecair dan elektrolit penting. Kanak-kanak berusia bawah lima tahun lebih mudah mengalami dehidrasi apabila terkena gastroenteritis, menjadikan pemilihan makanan yang teliti lebih penting untuk mereka. Walaupun kebanyakan simptom akan reda dalam beberapa hari, penjagaan pemakanan dan pengambilan cecair yang betul boleh membantu tubuh pulih lebih cepat dan mengurangkan tekanan pada sistem penghadaman.

Makanan Disyorkan Untuk Pemulihan Gastroenteritis

Semasa pulih, pilihlah makanan yang lembut pada perut dan dapat membantu memulihkan tenaga serta menggantikan nutrien yang hilang. Pilihan berikut menyokong penghadaman dan penghidratan sambil meminimumkan kerengsaan pada usus:

  • Kuah dan Sup Jernih

    Sup yang ringan, seperti sup ayam atau sup sayur, mudah dihadam dan membantu mengekalkan hidrasi sambil membekalkan nutrien penting untuk tubuh. Pilihan ini juga membantu menggantikan cecair dan elektrolit yang hilang tanpa memberi tekanan tambahan pada sistem penghadaman.

  • Pisang

    Pisang ialah pilihan yang sangat sesuai kerana kandungan kalium yang tinggi, yang membantu memulihkan keseimbangan elektrolit dalam badan. Pisang juga termasuk dalam diet BRAT (Bananas, Rice, Applesauce & Toast), iaitu pendekatan pemakanan yang sering dicadangkan untuk masalah penghadaman.

  • Nasi dan Roti Bakar Biasa

    Makanan rendah serat seperti nasi putih dan roti bakar mudah dihadam dan membantu menyerap lebihan asid dalam perut, sekali gus mengurangkan rasa tidak selesa. Makanan ini membekalkan tenaga tanpa membebankan saluran penghadaman.

Makanan Yang Perlu Dielakkan Semasa Mengalami Gastroenteritis

Sesetengah makanan boleh memburukkan simptom dan melambatkan proses pemulihan. Untuk mengurangkan ketidakselesaan, adalah lebih baik untuk mengelakkan pilihan berikut:

  • Produk Tenusu

    Gastroenteritis boleh menyebabkan intoleransi laktosa sementara, menjadikan produk tenusu seperti susu dan keju sukar dihadam. Pengambilan boleh mengakibatkan kembung perut dan peningkatan ketidakselesaan.

  • Makanan Berlemak dan Bergoreng

    Makanan yang tinggi lemak lebih sukar dihadam dan boleh memburukkan lagi loya dan cirit-birit. Makanan bergoreng khususnya, boleh memburukkan simptom kerana kandungan minyaknya.

  • Makanan Pedas

    Bahan pedas seperti cili, boleh merengsakan saluran penghadaman yang membawa kepada peningkatan keradangan dan ketidakselesaan.

Mengekalkan Penghidratan Semasa Gastroenteritis

Menambah semula cecair yang hilang adalah aspek kritikal dalam pengurusan gastroenteritis, kerana dehidrasi boleh berlaku dengan cepat akibat muntah dan cirit-birit yang berterusan. Strategi penghidratan termasuk:

  • Oral Rehydration Solutions (ORS)

    ORS dirumus untuk menggantikan cecair dan elektrolit yang hilang dengan berkesan. Larutan ini mengandungi gabungan garam dan gula dalam nisbah seimbang yang membantu penyerapan cecair dengan lebih efisien serta mencegah dehidrasi.

  • Air dan Minuman Kaya Elektrolit

    Pengambilan air yang kerap adalah penting, di samping minuman yang kaya dengan elektrolit untuk memulihkan paras natrium dan kalium. Mengambil sedikit air dengan kerap boleh membantu mengurangkan iritasi pada sistem penghadaman.

Soalan Lazim

  • Berapa lama tempoh pemulihan diambil dengan diet yang betul?

    Kebanyakan individu pulih dalam masa tiga hingga lima hari dengan pemakanan yang sesuai serta hidrasi yang mencukupi. Namun, tempoh pemulihan boleh berbeza-beza bergantung pada keparahan simptom dan keadaan kesihatan keseluruhan seseorang.

  • Bolehkah produk tenusu diambil selepas gastroenteritis?

    Sebaiknya perkenalkan semula produk tenusu secara beransur-ansur kerana sesetengah individu mungkin mengalami intoleransi laktosa sementara selepas sembuh.

  • Perlukah makanan pejal dielakkan pada peringkat awal?

    Pada peringkat awal, adalah lebih baik untuk mengambil cecair jernih dan makanan yang lembut seperti nasi putih dan pisang bagi mengelakkan tekanan tambahan pada sistem penghadaman.

  • Adakah antibiotik diperlukan untuk rawatan?

    Untuk kebanyakan kes gastroenteritis yang disebabkan oleh virus, antibiotik tidak diperlukan. Namun, jika jangkitan berpunca daripada bakteria, pemeriksaan perubatan dan rawatan khusus mungkin diperlukan.

Aturkan Janji Temu di Hospital Gleneagles

Jika anda mengalami simptom gastroenteritis atau memerlukan nasihat perubatan pakar, rujuk pakar di Hospital Gleneagles. Janji temu boleh dijadualkan melalui laman web kami atau melalui aplikasi MyHealth360, tersedia di Google Play Store dan Apple App Store. Pasukan pakar gastroenterologi kami komited untuk memberikan penjagaan menyeluruh dan menyokong proses pemulihan anda.

SuggestedArticles