Topics
Penyakit kronik berkaitan diet yang tersebar luas seperti obesiti, diabetes melitus dan penyakit kardiovaskular adalah sangat tinggi sejak beberapa dekad yang lalu. Punca utama penyakit berkaitan gaya hidup ini berkait dengan tabiat pemakanan kurang sihat dan gaya hidup sedentari semakin diterima ramai.
Makan secara sihat membantu anda dan keluarga mendapatkan nutrisi yang betul untuk badan sambil mencegah kekurangan nutrisi dan penyakit kronik berkaitan diet.
Ketahui lebih lanjut tentang garis panduan pemakanan untuk makan secara sihat dan penyakit berkaitan diet seperti diabetes, kolesterol tinggi dan hipertensi dalam artikel ini.
Garis panduan pemakanan untuk diabetes melitus
Pertubuhan Kesihatan Sedunia mentakrifkan diabetes sebagai penyakit metabolik kronik yang dicirikan oleh peningkatan tahap glukosa darah atau gula darah. Lama-kelamaan, tabiat ini merosakkan jantung, salur darah, mata, buah pinggang dan saraf.
Diabetes jenis 2 adalah jenis diabetes yang biasanya dihidapi oleh orang dewasa. Ia berlaku apabila badan mempunyai rintangan terhadap insulin atau insulin yang dihasilkan oleh badan tidak mencukupi.
Berikut ialah garis panduan pemakanan yang disyorkan untuk mengawal diabetes:
- Mengawal waktu makan
- Bahagikan pengambilan karbohidrat sepanjang hari dengan mengutamakan karbohidrat kompleks
- Elakkan gula yang ditapis seperti gula halus, madu, susu pekat, minuman ringan dan sebagainya
- Elakkan jus buah-buahan dan minuman manis
- Banyakkan pengambilan serat dengan memilih makanan bijirin penuh dan sayur-sayuran
- Pilih produk makanan rendah lemak
Garis panduan pemakanan untuk menurunkan lipid
Apabila individu mempunyai tahap lipid atau lemak yang tak normal dalam darah, termasuk peningkatan tahap kolesterol lipoprotein berketumpatan rendah (LDL), asid lemak (trigliserida) atau kedua-duanya, keadaan ini dipanggil sebagai hiperlipidemia atau hiperkoleterolemia.
Keadaan ini juga dipanggil sebagai kolesterol tinggi. Peningkatan LDL dan trigliserida dikaitkan dengan peningkatan risiko aterosklerosis, iaitu pengumpulan plak dalam arteri. Lama-kelamaan, keadaan ini menyebabkan masalah kesihatan yang serius seperti sakit jantung dan strok.
Berikut ialah garis panduan pemakanan yang disyorkan untuk penurunan lipid:
- Elakkan makanan berkolesterol tinggi seperti daging organ dalaman (buah pinggang, hati, paru-paru)
- Hadkan pengambilan daging merah seperti lembu, kambing dan biri-biri
- Kurangkan makanan laut seperti ketam, sotong dan kerang
- Buang bahagian lemak daging dan kulit ayam
- Kaut lapisan atas lemak dalam sup dengan menyejukkan sup terlebih dahulu
- Gantikan santan dengan susu rendah lemak
- Banyakkan serat, terutamanya serat larut seperti oat, beras perang, roti mil penuh, kekacang, buah-buahan dan sayur-sayuran
- Hadkan penggunaan alkohol
- Pilih kaedah masakan yang lebih sihat iaitu menumis-reneh, menggril, mereneh, mengukus, memanggang, merendidih, membakar dan menggoreng kilas dengan minyak yang minimum
Garis panduan pemakanan untuk hipertensi
Garis panduan pemakanan untuk hipertensi Natrium secara semula jadi terdapat dalam makanan. Natrium juga ditambah semasa pemprosesan atau memasak, biasanya dalam bentuk garam meja atau monosodium glutamat, kedua-duanya adalah natrium yang tinggi. Garam atau natrium klorida adalah hampir separuh natrium (40%).
Pengambilan natrium yang berlebihan dikaitkan dengan kejadian tekanan darah tinggi atau hipertensi.
Di bawah adalah garis panduan pemakanan yang disyorkan untuk mengurangkan pengambilan natrium untuk kawalan hipertensi:
- Pilih buah-buahan segar, sayur-sayuran, daging, dan bijirin yang tidak diproses kerana ia biasanya rendah natrium
- Eksperimen dengan rempah dan herba untuk perasa dan bukannya garam
- Gunakan sedikit garam dalam masakan
- Elakkan tabur garam tambahan dalam makanan
- Hadkan penggunaan makanan dan perasa yang sangat masin seperti sos soya dan sos tiram
Kepentingan peranan keluarga dalam penyediaan makanan sihat
Ibu bapa dan penjaga memainkan peranan penting dalam memastikan orang yang dijaga mendapat makanan yang sihat dan berkhasiat.
Berikut ialah petua pemakanan semasa penyediaan makanan:
- Pilih hidangan kegemaran keluarga dan ubah resipi
- Hidangkan makanan yang mudah disediakan namun menarik dan menyelerakan
- Sediakan hidangan yang menggabungkan pelbagai jenis makanan
- Guna kaedah masakan yang mengekalkan warna dan perisa semula jadi makanan
- Sentiasa hidangkan makanan yang disediakan secara segar
- Utamakan kepentingan makan sarapan pagi, tengah hari dan malam
- Kawal bahagian makanan untuk mengelakkan makan terlalu banyak
- Hidangkan makanan dan minuman yang bersih dan selamat
Buat janji temu untuk saringan kesihatan di Hospital Gleneagles
Saringan kesihatan yang kerap membantu pengesanan awal supaya anda boleh mengurus gejala-gejala penyakit berkaitan diet secara berkesan seperti diabetes, kolesterol tinggi dan hipertensi untuk mengelakkan komplikasi yang lebih teruk.
Jika anda mahu membuat janji temu saringan kesihatan, sila hubungi pusat pemeriksaan kesihatan di Hospital Gleneagles yang berdekatan.