Yakinlah | Berhenti meraih pengiktirafan daripada media sosial | Hospital Gleneagles
  • Ambulans / Kecemasan
    +607 560 1111
  • Talian am
    +607 560 1000

Masa untuk Berhenti Meraih Pengiktirafan daripada Media Sosial. Yakinlah dengan Diri Sendiri



Disediakan oleh: Ms. R.R. Manjari

Perunding Psikologi Klinikal

Hospital Gleneagles Medini Johor

Apa itu pengiktirafan media sosial?

Kemahuan untuk disukai oleh orang lain adalah perkara normal dan mempunyai ramai kawan adalah bagus. Bagaimanapun, media sosial telah merubah cara kita berinteraksi dan membina persahabatan.

Sekarang, persahabatan dan kepopularan diukur dari segi "ikon hati", "tanda suka", "komen", "tontonan", "perkongsian" dan "pengikut". Maklum balas sosial seperti ini digunakan untuk mengukur kejayaan sesuatu hantaran, yang turut menggambarkan kehidupan seseorang. Lebih ramai pengikut anda, lebih popularlah anda. Lebih banyak "tanda suka" yang anda dapat untuk hantaran anda, semakin poular status anda.

Tujuan kita menyiarkan kandungan ("content") adalah sekadar untuk disukai orang. Malahan, kita akan menyiarkan gambar dan menunggu respons daripada orang lain. Kadang-kadang, kita akan menyemak hantaran kita berkali-kali untuk melihat jika ada orang yang menyukai atau memberi komen. Secara tidak langsung, kita akan mula membenarkan media sosial untuk menjadi suatu bentuk pengiktirafan. Lagi banyak "tanda suka" yang kita dapat, lagi senang kita rasa.

Bagaimanapun, harus diingati bahawa hantaran media sosial selalunya telah digubah untuk menunjukkan perkara yang terbaik. Contohnya, gambar seorang yang sedang tersenyum di pantai seolah-olah sedang bercuti, sebenarnya adalah sekadar gambaran sekilas dan bukanlah percutian yang sebenar. Dengan itu, pengesahan dan pengiktirafan daripada media sosial boleh mengimpak kesihatan mental kita secara negatif.

Berikut adalah beberapa soalan lazim mengenai pengiktirafan media sosial serta langkah-langkah praktikal yang boleh diambil untuk mengatasinya.

  1. Pada masa kini, rasa iri hati, schadenfreude (gembira atas penderitaan orang lain), takut ketinggalan ("Fear of Missing Out" atau FOMO menurut generasi milenium) semakin berleluasa kerana terlalu banyak masa yang dibazirkan di media sosial. Bagaimanakah seseorang boleh menghalang perasaan ini daripada menguasai kehidupan mereka? Bolehkah ia dilakukan?

    Ya, memang benar perasaan ini sangat berleluasa dan berbahaya dalam kehidupan kita. Pertama sekali, masyarakat harus menerima hakikat bahawa mereka sememangnya memiliki perasaan sedemikian. Ini adalah langkah pertama untuk berhenti menafikan dan mula menyelesaikan masalah tersebut. Mereka hendaklah memastikan harapan, matlamat peribadi, tujuan hidup serta tanggungjawab mereka kekal realistik. Sebaik sahaja perkara ini disedari, mudah sahaja untuk mereka meneruskan kehidupan.

  2. Semasa melancong pun, kebanyakan masa akan dihabiskan untuk menangkap gambar yang paling sempurna bagi meraih sebanyak mungkin "tanda suka", dan bukannya benar-benar bercuti. Apakah istilah untuk kelakuan seperti ini? Dari sudut psikologi, mengapakah sesetengah individu begitu terdesak untuk mendapatkan pengiktirafan yang mereka peroleh dalam talian?

    Ya, pengiktirafan ini boleh diperoleh dalam pelbagai cara. Bagi sesetengah orang, adalah penting untuk mereka diiktiraf oleh sesetengah individu atau kelompok. Pengiktirafan ini boleh diperoleh terutamanya melalui media sosial, di mana jumlah "tanda suka" atau komen adalah amat bermakna.

    Penggunaan media sosial boleh dilihat sebagai cara untuk berhubung dengan orang yang tersayang, sama ada secara peribadi, atau yang dikongsikan dengan orang ramai atas motif yang berbeza. Situasi yang kedua boleh meninggalkan impak negatif pada individu yang mempunyai harga diri dan keyakinan diri yang rendah. Golongan yang berkeyakinan tinggi kurang terkesan oleh media sosial berbanding mereka yang kurang keyakinan diri. Dengan asyik membandingkan diri mereka dengan "kehidupan" di media sosial yang kononnya sempurna, pengguna media sosial yang rendah keyakinan dirinya akan bertambah resah atau murung kerana tidak memiliki apa yang dimiliki oleh orang lain. Perasaan rendah diri kerana tidak setanding dengan orang lain hanya akan mengurangkan lagi keyakinan diri dan harga diri. Setiap log masuk hanya akan mengikis lagi sebarang perasaan positif yang masih ada dalam diri seseorang.

    Jika anda terkesan oleh media sosial sehingga perlu bertanya “Mengapa hidup SAYA tidak seperti hidup mereka?”, mungkin sudah tiba masanya untuk anda nilaikan semula erti media sosial dan cara menggunakannya. Anda tidak perlu terus berhenti menggunakan media sosial, tetapi cukup sekadar mengawal penggunaannya. Jika anda tidak terkesan oleh gambaran hidup sempurna yang ditunjukkan oleh orang lain, bagus untuk anda! Cuma ingat, sama seperti gambar dalam majalah, ia hanyalah gambaran sekilas tentang kehidupan seseorang.

  3. Ramai orang lebih suka menulis kapsyen yang panjang berjela untuk Hari Ibu/sambutan lain (walaupun orang yang diraikan itu tidak menggunakan media sosial) daripada menyatakan perasaan itu terus kepada orang tersebut. Adakah ini juga suatu cara untuk meraih pengiktirafan? Bagaimana kita boleh mendalami tujuan mereka untuk meraih pengiktirafan itu?

    Ya, ini juga adalah suatu cara untuk meraih pengiktirafan. Keyakinan dan harga diri yang disebut di atas adalah penting dalam memastikan seseorang individu itu berkembang dengan baik. Untuk mencapainya, seseorang hendaklah menghormati diri sendiri. Meragui dan mengkitrik diri sendiri hanya akan melemahkan semangat seseorang.

    Faktor-faktor lain yang boleh direnungkan termasuk pengaruh rakan sebaya, harapan rakan sebaya, trend, hendak meniru idola, dan kehilangan identiti diri.

  4. Adakah rasa iri hati dan schadenfreude sesuatu yang tertanam dalam diri individu? Adakah ia sukar untuk diatasi/diubah dalam pemikiran seseorang? Atau adakah perasaan ini telah dipelajari lama-kelamaan kerana ia tidak dibetulkan dari awal?

    Perasaan sedemikian memang tertanam dalam diri sesetengah orang, tetapi bukan semuanya begitu. Ia mungkin telah dipelajari daripada kegagalan yang berulang kali, kekecewaan atau meletakkan harapan yang terlalu tinggi.

    Hanya individu itu yang boleh menyedari jika mereka ada mempunyai perasaan tersebut dan jika mereka mahu berbuat sesuatu tentangnya. Ini akan bergantung pada personaliti dan mekanisme kendalian seseorang, yang boleh dipengaruhi oleh pengalaman lepas atau trauma zaman kanak-kanak yang tersimpan dalam minda separa sedar. Jika individu itu menyedari hakikat personalitinya, pandangan hidupnya, peranannya, kehendak serta keperluannya, beliau akan dapat mengatasinya.

  5. Apakah kesan sampingan negatif media sosial?

    Media sosial sudah tentu mempunyai beberapa kebaikan. Ia membantu kita berhubung dan berkomunikasi dengan rakan-rakan dan keluarga di seluruh dunia, kita boleh menggalakkan dan meningkatkan kesedaran untuk tujuan yang berfaedah, dan ia juga adalah sumber maklumat yang berharga (walaupun kita perlu berwaspada terhadap maklumat yang salah).

    Bagaimanapun, media sosial ada keburukannya juga, dan kesan negatif ini boleh bertambah teruk dengan adanya keperluan untuk meraih pengiktirafan daripada media sosial. Berikut adalah beberapa aspek negatif media sosial yang perlu disedari:
    • Imej dan hantaran di media sosial boleh menyebabkan rasa kekurangan dalam hidup dan penampilan seseorang.
    • Ia boleh menyebabkan perasaan takut ketinggalan (FOMO). Kita lebih cenderung untuk memikirkan yang orang lain sedang berseronok sementara kita pula ketinggalan dalam perkara tertentu.
    • Ini boleh menyebabkan perasaan kesunyian dan terasing.
    • Ini juga boleh mencetuskan kecelaruan perasaan seperti kemurungan dan keresahan.
    • Pengguna media sosial juga boleh terdedah kepada buli siber.
    • Ini boleh menggalakkan absorpsi diri yang tidak sihat dan terpisah daripada interaksi di bumi nyata.

    Sebab itulah penting untuk membataskan dan menggunakan media sosial dengan berhati-hati, terutamanya jika anda mudah terkesan dengan aspek yang disebut di atas.

  6. Bagaimana untuk berhenti meraih pengiktirafan daripada media sosial?

    Disebabkan sikap suka membanding, FOMO dan harapan yang tidak realistik boleh menyebabkan rasa tidak berguna, kesunyian dan kemurungan, lebih baik kita hadkan masa untuk skrol akaun media sosial kita. Bagaimanapun, ini lebih mudah diucapkan daripada dilakukan. Berikut adalah beberapa petua praktikal untuk membantu anda berhenti meraih pengiktirafan daripada media sosial:

    • Tetapkan batasan dan berjaga-jaga dengan apa yang kita kongsikan atau sertai dalam media sosial. Keseimbangan adalah kunci segalanya.
    • Jangan mulakan hari anda dengan media sosial.
    • Teguhkan diri anda sendiri, bukannya menunggu pengiktirafan daripada media sosial
    • Berhubung, luangkan masa dan bina hubungan dengan orang sebenar dalam kehidupan kita.
    • Amalkan tempoh tanpa digital. Berehat daripada media sosial dan elakkan menggunakan telefon atau komputer anda selama beberapa jam setiap hari.
    • Selalu ingatkan diri sendiri tentang masa yang telah dibazirkan untuk skrol maklumat di media sosial.
    • Ingat bahawa diri anda sendiri sudah cukup sempurna, walaupun tanpa sebarang siaran di media sosial.


Hubungan kecemasan
Gleneagles Hospital Medini Johor
Ambulans / Kecemasan
+607 560 1111
Pilih Hospital
Click to know more!