Mengapakah gula tidak baik untuk kesihatan anda | Gleneagles Hospitals Malaysia
why-sugar-bad-your-health-1-banner why-sugar-bad-your-health-1-banner
Pemakanan & Nutrisi
Diet Seimbang

Mengapakah gula tidak baik untuk kesihatan anda

19 Ogos 2022 · 10 mins read

Topics





Ketahui cara pengambilan gula tambahan atau gula tersembunyi yang menyebabkan komplikasi kesihatan kronik seperti sakit jantung dan diabetes.

Kita menggemari sajian manis dan di Malaysia sajian manis tersebut hadir dalam pelbagai bentuk. Ini termasuk pencuci mulut, kek, kuih-muih, ais kacang, cendol dan banyak lagi. Semua makanan ini mengandungi banyak gula. Malah minuman kita juga sarat dengan gula.

Mari kita lebih memahami tentang gula.

Dari manakah asal gula yang anda ambil?

Gula wujud secara semula jadi dalam buah-buahan dan sayur-sayuran, bijirin dan tenusu. Apabila anda mengambil makanan ini, anda sentiasa mengambil gula.

Namun, pengambilan gula semula jadi ini dibolehkan kerana gula adalah sejenis karbohidrat yang digunakan oleh badan untuk tenaga.

Malah, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tiada bukti yang dilaporkan tentang kesan buruk pengambilan gula secara semula jadi dalam buah-buahan dan sayur-sayuran.

Makanan berasaskan tumbuhan ini juga mempunyai jumlah serat yang tinggi, mineral penting dan antioksidan manakala makanan tenusu mengandungi protein dan kalsium. Makanan ini dihadam dengan perlahan dan gula di dalamnya menawarkan bekalan tenaga yang stabil kepada sel-sel kita.

Bahaya gula tambahan

Orang lama sering berpesan supaya kita bersederhana dalam setiap urusan, begitu juga dengan pengambilan gula. Namun, bahayanya terletak pada pengambilan gula tambahan yang berlebihan. Pengambilan gula tambahan atau tersembunyi yang menyebabkan komplikasi kesihatan yang kronik.

Malangnya, banyak produk makanan yang diproses mempunyai gula tambahan yang termasuk roti, bijirin, sos dan minuman ringan.

Walaupun gula ditambah terutamanya untuk meningkatkan rasa dan tahap kemanisan, gula juga digunakan untuk memanjangkan jangka hayat produk. Anda mungkin terkejut kerana kebanyakan masakan kegemaran rakyat Malaysia mengandungi gula tambahan.

Kesan pengambilan gula yang tinggi

Berikut ialah kesan buruk diet yang tinggi gula:

  1. Menyebabkan peningkatan paras trigliserida, gula dalam darah (diabetes) dan tekanan darah tinggi (hipertensi) yang seterusnya meningkatkan risiko penyakit kronik seperti sakit jantung dan diabetes.
  2. Menyebabkan penambahan berat badan dan obesiti.
  3. Meningkatkan daya tahan terhadap insulin, hormon yang dihasilkan oleh pankreas yang mengawal paras gula dalam darah.
  4. Meningkatkan keradangan kronik dalam badan anda. Ditambah dengan obesiti dan rintangan insulin, risiko kanser turut meningkat.
  5. Mempercepatkan proses penuaan. Apabila gula bertindak balas dengan protein dalam badan , ia membentuk sebatian yang dikenali sebagai Produk Akhir Glikasi Lanjutan (AGEs). Ini boleh merosakkan kolagen dan elastin – protein yang mengekalkan keanjalan dan keremajaan kulit anda.
  6. Gula tambahan meningkatkan gula dalam darah dan paras insulin yang menjurus kepada tenaga segera. Tenaga segera ini diikuti dengan penurunan gula darah yang sebenarnya tidak produktif. Perubahan berterusan gula dalam darah ini boleh membawa kepada turun naik yang ketara dalam tahap tenaga dan membuatkan anda berasa letih dan lesu. Turun naik tenaga ini juga dianggap ada kaitan dengan risiko kemurungan yang lebih tinggi.
  7. Jangan lupa tentang kesihatan gigi kita juga. Gula telah diketahui meningkatkan risiko kaviti. Bakteria dalam mulut anda memakan gula dan mengeluarkan produk sampingan berasid yang mengurangkan kandungan mineral dalam gigi anda.

Buat tempahan janji temu di Hospital Gleneagles

Gula boleh didapati dalam kebanyakan hidangan dan anda mungkin tidak menyedari kuantiti gula yang anda makan. Baca label untuk memeriksa kandungan gula yang mungkin merupakan salah satu cara untuk mengelakkan gula atau mengurangkan pengambilan gula anda. Amalkan pemakanan yang seimbang dan berhati-hati dengan diet anda.

Hubungi pasukan pakar diet di Hospital Gleneagles terdekat anda jika anda mempunyai soalan lanjut tentang cara mengawal pengambilan gula dan untuk mendapatkan nasihat pemakanan dan diet profesional dalam usaha anda ke arah mencapai kesihatan yang lebih baik.

Jika anda mahu membuat janji temu untuk saringan kesihatan, sila hubungi pusat saringan kesihatan di Hospital Gleneagles yang berdekatan dengan anda.

SuggestedArticles