Topics
Ketidakseimbangan antara kolesterol baik (HDL) dan jahat (LDL) boleh meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular. Ketahui petua penting untuk mengurus tahap kolesterol anda dengan berkesan.
Kolesterol ialah bahan berlemak yang diperlukan oleh badan untuk membina sel, menghasilkan hormon dan vitamin D, serta membantu penghadaman. Namun, paras kolesterol jahat (LDL) yang tinggi boleh menjejaskan kesihatan jantung. Dalam panduan ini, Hospital Gleneagles menerangkan beza kolesterol baik dan kolesterol jahat (HDL dan LDL), cara membaca keputusan ujian dan langkah untuk mengawal paras kolesterol anda.
Apakah beza kolesterol baik (HDL) dan kolesterol jahat (LDL)?
LDL (low-density lipoprotein) dikenali sebagai kolesterol jahat kerana paras yang tinggi boleh menyebabkan kolesterol terkumpul dalam saluran darah dan meningkatkan risiko penyakit jantung serta strok. HDL (high-density lipoprotein) pula ialah kolesterol baik yang membantu membawa lebihan kolesterol kembali ke hati untuk diproses dan disingkirkan daripada badan. Mengekalkan keseimbangan kolesterol baik dan kolesterol jahat, iaitu LDL yang rendah dan HDL yang sihat, penting untuk kesihatan jantung.
Dari manakah datangnya kolesterol dalam badan?
Kolesterol dalam darah datang daripada dua sumber, iaitu hati dan makanan. Hati menghasilkan semua kolesterol yang diperlukan oleh badan, manakala selebihnya datang daripada produk haiwan seperti daging, ayam, telur, makanan laut dan tenusu. Walaupun makanan yang mengandungi kolesterol menyumbang kepada paras kolesterol dalam darah, lemak tepu dan lemak trans mempunyai kesan yang lebih besar dalam meningkatkan paras LDL.
Apakah risiko kolesterol jahat yang tinggi?
Apabila paras LDL terlalu tinggi, kolesterol boleh terkumpul pada dinding saluran darah. Lama-kelamaan, pengumpulan ini menyebabkan saluran darah menjadi semakin sempit dan mengurangkan aliran darah ke organ penting seperti jantung dan otak. Keadaan ini meningkatkan risiko serangan jantung dan strok. Kolesterol tinggi lazimnya tidak menyebabkan simptom sehingga komplikasi seperti serangan jantung atau strok berlaku, jadi ramai yang hanya mengetahuinya melalui ujian darah.
Bagaimanakah cara membaca keputusan ujian kolesterol anda?
Ujian profil lipid mengukur jumlah kolesterol, kolesterol baik dan kolesterol jahat (HDL dan LDL) serta trigliserida. Secara umum, paras LDL yang lebih rendah dan paras HDL yang lebih tinggi adalah lebih baik. Mengikut CPG Malaysia, LDL ialah sasaran utama rawatan.
Jadual 1: Bacaan lipid yang diingini dan tidak normal
Ujian | Normal/diingini | Tidak normal |
TC (Jumlah kolesterol) | 5.2 mmol/L (≈ 200 mg/dL) atau kurang | Melebihi 5.2 mmol/L (≈ 200 mg/dL) |
HDL (Kolesterol baik) | 1.0 mmol/L ( 40 mg/dL) atau lebih bagi lelaki 1.2 mmol/L (≥ 46 mg/dL) atau lebih bagi wanita | Kurang daripada 1.0 mmol/L (40 mg/dL) bagi lelaki Kurang daripada 1.2 mmol/L (46 mg/dL) bagi wanita |
LDL (Kolesterol jahat) | Bergantung pada tahap risiko (lihat Jadual 2) | - |
TG (Trigliserida) | 1.7 mmol/L (≈ 150 mg/dL) atau kurang | Melebihi 1.7 mmol/L (≈ 150 mg/dL) |
Jadual 2: Sasaran LDL-C mengikut Tahap Risiko Kardiovaskular
Tahap Risiko Kardiovaskular | Sasaran LDL |
Sangat tinggi (penyakit jantung/strok, atau diabetes dengan faktor risiko lain) | Kurang daripada 1.8 mmol/L (70 mg/dL) |
Tinggi | 2.6 mmol/L (100 mg/dL) atau kurang |
Sederhana dan rendah | Kurang daripada 3.0 mmol/L (116 mg/dL) |
Sasaran LDL yang sesuai tidak sama bagi setiap individu. Mereka yang mempunyai penyakit jantung, strok, diabetes atau faktor risiko kardiovaskular lain mungkin memerlukan sasaran LDL yang lebih rendah. Doktor akan menentukan sasaran yang sesuai berdasarkan profil risiko anda. Anda juga boleh menggunakan Kalkulator Risiko Jantung Gleneagles untuk memahami risiko penyakit jantung anda dengan lebih baik.
Berapa kerap anda perlu menjalani ujian kolesterol?
Orang dewasa disarankan menjalani pemeriksaan kolesterol secara berkala. Individu yang mempunyai faktor risiko seperti diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung atau sejarah keluarga kolesterol tinggi mungkin memerlukan pemeriksaan yang lebih kerap. Dapatkan nasihat doktor untuk menentukan kekerapan ujian yang sesuai dengan umur, tahap risiko dan keadaan kesihatan anda.
Soalan lazim (FAQ)
1. Perlukah saya berpuasa sebelum ujian kolesterol?
Tidak semestinya. Kebanyakan ujian profil lipid kini boleh dilakukan tanpa berpuasa. Namun, doktor mungkin meminta anda berpuasa selama 8 hingga 12 jam dalam keadaan tertentu.
2. Mengapakah kolesterol saya tinggi walaupun saya jarang makan makanan berlemak?
Genetik memainkan peranan besar. Badan sesetengah individu kurang berkesan membuang kolesterol jahat (LDL) daripada darah, dan keadaan ini boleh diwarisi dalam keluarga. Masalah kesihatan lain seperti diabetes, masalah tiroid atau penyakit buah pinggang juga boleh meningkatkan paras kolesterol.
3. Apakah tanda-tanda kolesterol tinggi?
Kebanyakan orang tiada simptom langsung. Sebab itu pemeriksaan berkala sangat penting untuk mengesan risiko lebih awal. Namun, bagi individu yang mempunyai kolesterol sangat tinggi akibat faktor keturunan, mungkin terdapat ketulan lemak kekuningan di sekitar mata, tangan atau tumit.
4. Bolehkah kolesterol diturunkan tanpa ubat?
Bagi ramai orang, ya. Diet sihat, senaman dan berhenti merokok boleh membantu menurunkan LDL. Namun, individu yang berisiko tinggi mendapat penyakit jantung mungkin masih memerlukan ubat, jadi bincang dengan doktor anda tentang pilihan yang sesuai.
5. Bolehkah orang kurus mempunyai kolesterol tinggi?
Ya. Faktor genetik memainkan peranan penting, jadi berat badan yang ideal tidak semestinya bermaksud paras kolesterol anda normal. Ujian darah ialah satu-satunya cara untuk mengetahuinya.
Buat Temu Janji di Hospital Gleneagles
Untuk temu janji saringan kesihatan, sila hubungi pusat saringan kesihatan di Hospital Gleneagles terdekat anda. Kami menawarkan pelbagai program saringan dan pakej yang boleh disesuaikan berdasarkan keperluan setiap individu.
Anda juga boleh membuat perundingan atau mengetahui lebih lanjut mengenai Perkhidmatan Kardiologi kami di Hospital Gleneagles terdekat anda.
Anda juga boleh membuat temu janji melalui laman web kami atau memuat turun aplikasi My Health 360 yang boleh didapati di Google Play Store dan Apple App Store.
Penafian: Artikel ini adalah untuk maklumat am sahaja dan bukan pengganti nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan profesional. Sila berjumpa doktor jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang kesihatan anda.