
RAMAI dalam kalangan masyarakat kita masih keliru membezakan sakit saraf dan sakit sendi selain ada menganggapnya sekadar masalah biasa yang boleh pulih sendiri.
Hakikatnya, kelewatan mendapatkan rawatan bukan sahaja memburukkan keadaan malah dikhuatiri mendedahkan pesakit kepada risiko kerosakan organ atau penyakit lain akibat kebergantungan melampau kepada ubat tahan sakit.
Menurut Pakar Perunding Ortopedik Am dan Subkepakaran Bedah Tangan, Dr Mohd Hanifah Jusoh, sakit saraf berlaku akibat kecederaan atau dalam situasi saraf tersepit dengan pesakit biasanya mengadu rasa kebas, sakit mencucuk-cucuk atau seperti terkena kejutan elektrik pada anggota badan.
"Sakit sendi pula berpunca daripada masalah tulang sendi haus yang berlaku apabila tulang rawan di hujung sendi menipis dan haus seterusnya menyebabkan geseran antara permukaan tulang.
Disyorkan
- 'Sumpahan' Cobolli ancam England dan Norway di Wimbledon
- Mesir nyaris buat Messi ikut jejak langkah Ronaldo
- Pendakwa raya Paris siasat kenyataan senator Paraguay terhadap Mbappe
- Pochettino buat 'saham' Hugo Boss melonjak
"Kedua-dua masalah itu boleh saling berkait antara satu sama lain dan berlaku serentak atau secara berasingan," katanya ketika ditemui BH.
Dr Mohd Hanifah berkata, penyakit saraf dan sendi sering dikaitkan dengan faktor penuaan membabitkan individu berusia lebih 40 hingga 50 tahun ke atas dan berlaku akibat penggunaan sendi secara berlebihan membabitkan kerja berulang dengan postur badan yang salah dalam jangka masa panjang.
Katanya, selain itu, faktor obesiti, kurang bersenam, tidak mengamalkan gaya hidup sihat serta penyakit seperti osteoartritis, artritis reumatoid (RA) dan gout turut meningkatkan risiko penyakit itu.
Dalam sesetengah kes, trauma seperti patah tulang yang membabitkan sendi boleh merosakkan struktur sendi. Apabila permukaan sendi menjadi tidak rata, ia mempercepatkan kehausan tulang rawan dan menyebabkan sakit sendi.
Tambahnya, sakit saraf juga boleh berlaku apabila struktur di sekeliling saraf memberi tekanan menyebabkan saraf tersepit.
Pesakit mula meningkat
Trend semasa menyaksikan, semakin ramai golongan muda seawal usia 20-an atau 30-an mengalami masalah itu dengan contoh masalah lazim dihadapi ialah sindrom carpal tunnel atau sindrom terowong karpus.
"Penggunaan telefon pintar dan komputer yang lama menyumbang kepada masalah ini. Kedudukan sendi siku dan pergelangan tangan yang kerap membengkok ketika memegang telefon atau sentiasa membengkok ke hadapan ketika menaip memberi tekanan berterusan kepada saraf.
"Sindrom terowong karpus turut boleh berlaku pada wanita hamil akibat peningkatan hormon progesteron dan biasanya akan pulih sendiri selepas bersalin.
"Kadang-kadang tekanan saraf juga berlaku apabila terdapat ketumbuhan dalam terowong karpus seperti ganglion sista (ketulan atau benjolan berisi cecair) masalah gout dan sebagainya," jelasnya.
Menurut Dr Mohd Hanifah, ubat seperti paracetamol dan ubat antiradang bukan steroid (NSAID) lazimnya diberikan bagi mengurangkan kesakitan namun ubat-ubatan ini hanya bertindak meredakan simptom dan tidak merawat punca sebenar penyakit.
"Bagi tahap awal yang tidak terlalu teruk pesakit biasanya akan menjalani fisioterapi dan turut diberi suplemen selain dinasihatkan mengamalkan gaya hidup sihat yang mengambil masa tiga hingga enam bulan untuk pulih. Jika dalam tempoh enam bulan belum pulih, pesakit dicadangkan menjalani pembedahan.
"Ada pesakit yang hampir setahun atau dua tahun melakukan fisioterapi, makan ubat dan mengambil suntikan steroid setiap tiga bulan tetapi tidak pulih bagaimanapun, selepas pembedahan mereka bebas daripada simptom yang dialami sebelum ini," katanya.
Beliau menegaskan, rawatan awal memberikan prognosis atau jangkaan perkembangan sesuatu penyakit yang jauh lebih baik. Sebaliknya, jika dibiarkan terlalu lama, saraf yang tertekan akan menyebabkan otot menjadi kecut menyebabkan proses pemulihan menjadi lebih sukar dan memakan masa.
"Ramai pesakit takut dibedah, sedangkan prosedur seperti melepaskan saraf tersepit membabitkan sindorm terowong karpus hanya mengambil masa sekitar 15 ke 30 minit dan pesakit biasanya boleh dibenarkan pulang pada hari yang sama.
"Lebih 80 peratus pesakit yang menjalani pembedahan awal akan hilang sepenuhnya rasa sakit sebaliknya jika dirawat terlalu lewat, mungkin mengambil masa untuk pulih kerana kadar pertumbuhan semula saraf hanya sekitar 1 milimeter (mm) sehari," katanya.
Awas kesan sampingan
Beliau turut mengingatkan, pengambilan ubat penahan sakit secara berlebihan dalam tempoh berpanjangan tanpa pemantauan doktor boleh mendatangkan kesan sampingan serius, termasuk kegagalan buah pinggang, kerosakan hati selain risiko pendarahan atau luka dalam perut.
Dalam kes tertentu, penggunaan ubat jenis opioid juga boleh menyebabkan ketagihan selain kesan tolerans terhadap ubat, iaitu keperluan meningkatkan dos bagi mendapatkan kesan sama.
"Tanda-tanda seseorang terlalu bergantung kepada ubat ialah, pesakit tidak boleh melakukan kerja seharian jika tidak mengambil ubat, tidak boleh tidur malam tanpa mengambil ubat dan pengambilan dos yang sama tidak lagi mampu menghilangkan rasa sakit," katanya.
Katanya, salah satu aspek yang sering terlepas pandang ialah kepentingan postur ergonomik ketika bekerja atau ketika melakukan aktiviti seharian.
"Contohnya, ketika menggunakan komputer pastikan tangan tidak terlalu membengkok ke hadapan. Posisi terbaik adalah memastikan sendi pergelangan tangan berada pada sudut kira-kira 30 darjah bagi mengelakkan tekanan pada saraf.
"Pastikan posisi badan dalam keadaan tegak ketika duduk dan mengelakkan kedudukan membongkok yang boleh memberi tekanan melampau kepada tulang belakang.
"Ambil masa rehatkan sendi dan melakukan aktiviti lain misalnya selepas menggunakan telefon pintar atau komputer selama berjam-jam dan cuba mengubah kebiasaan di rumah atau tempat kerja yang tidak menyokong postur yang betul," katanya.

INFO:
Sakit saraf vs kebas pada anggota badan
Sakit saraf
- Rasa mencucuk-cucuk
- Seperti renjatan elektrik
- Berlaku akibat saraf tersepit/cedera
Sakit Sendi
- Sakit ketika bergerak
- Sendi terasa kaku
- Bunyi geseran tulang
- Berpunca daripada tulang rawan haus