PULAU TIKUS – Sempena sambutan bulan Ramadan yang mulia, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow
menyertai Hospital Gleaneagles Pulau Pinang mengedar pek bubur lambuk kepada pelawat, pesakit serta barisan hadapan.

KETUA Menteri semasa mengedar bubur lambuk sebentar tadi.
Bercakap kepada Buletin Mutiara, beliau berkata bahawa penganjuran program berkaitan membawa mesej jelas dalam
mengeratkan kebersamaan sebagai lambang perpaduan.
“Bulan Ramadan merupakan kesempatan dan kelaziman bagi seorang wakil rakyat mendampingi masyarakat, selain
menyertai program mengedar bubur lambuk seperti ini, pejabat saya juga turut mengatur program majlis berbuka puasa
ke setiap daerah bersama-sama umat Islam.
“(Dan) hendaklah kita keluar dari zon selesa bagi merasai keperluan serta kesusahan orang lain,”
katanya sambil memuji inisiatif murni yang dilaksanakan oleh pihak Hospital Gleaneagles Pulau Pinang.

ANTARA yang turut memeriahkan sesi pengagihan pek bubur lambuk.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying; Ketua Pegawai Eksekutif
Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Ivan Loh dan Pengarah Perubatan Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Datuk Dr. Lai
Yoon Kee.
Tambah Kon Yeow, program mengedar bubur lambuk merupakan tradisi tahunan yang dianjurkan oleh pihak hospital
berkaitan sempena sambutan bulan Ramadan.

KAKITANGAN Hospital Gleaneagles yang turut mengedar pek bubur lambuk secara pandu terus.
Difahamkan, sebanyak 1,000 pek bubur lambuk yang dimasak khas oleh beberapa barisan pegawai perubatan Hospital
Gleaneagles Pulau Pinang diedarkan melalui program tersebut serta penghantaran secara terus ke beberapa pusat
jagaan, rumah anak yatim dan surau berdekatan.
Source: https://www.buletinmutiara.com/edar-1000-bubur-lambuk-kongsi-nikmat-ramada