Peripheral Artery Disease | Gleneagles Hospital Penang

Penyakit Arteri Periferi

Peripheral Artery Disease

 

Apakah itu Penyakit Arteri Periferi?

Penyakit arteri periferi (PAD) anggota bawah ialah sekatan arteri pada anggota bawah. Penyakit ini boleh berlaku secara tidak disangka dan biasanya disebabkan oleh darah beku. Penyakit ini juga boleh berlaku perlahan-lahan dalam suatu jangka masa yang panjang apabila sekatan itu terjadi disebabkan oleh pembentukan plak aterosklerotik.

Patologi PAD adalah sama seperti penyakit arteri koronari. Prevalens PAD dalam kalangan penduduk Malaysia yang berisiko tinggi adalah sebanyak 30-40%. Pada masa lalu, PAD yang serius boleh menyebabkan gangren pada anggota bawah jika tidak rawat dan memerlukan amputasi. Kajian menunjukkan bahawa 70% daripada pesakit yang telah diamputasi mati dalam masa 5 tahun. Oleh itu, matlamat kami adalah untuk mengelak amputasi dengan melakukan diagnosis dan perawatan awal bagi PAD dengan prosedur revaskulirasi yang sesuai.

 

Apakah faktor risiko Penyakit Arteri Periferi?

Faktor risiko PAD ialah:

  • Diabetes
  • Merokok
  • Kegagalan buah pinggang
  • Hipertensi
  • Hiperkolesterolemia (kolesterol tinggi)

 

 Simptom

  • Sakit teruk secara tiba-tiba dan kesejukan di kedua-dua kaki (iskemia anggota kritikal akut)
  • Ulser yang tidak sembuh atau gangren dan jangkitan kaki
  • Klaudikasi atau sakit kaki atau betis semasa berjalan

Iskemia anggota kritikal akut ialah kecemasan vaskular atau perubatan. Ia berlaku disebabkan oleh oklusi arteri akibat darah beku. Kalau tidak dirawat, seluruh kaki pesakit akan mengalami gangren dan mungkin memerlukan amputasi untuk menyelamatkan pesakit.

 

Diagnosis

  • Ujian saringan Indeks Brakial Buku Lali (ABI)
  • Ultrabunyi Doppler arteri anggota bawah
  • Angiogram CT arteri anggota bawah
  • Angiogram periferi arteri anggota bawah

Ujian saringan Indeks Brakial Buku Lali (ABI) ialah pengukuran tekanan darah kaki, iaitu dengan membahagikan bacaan tekanan darah kaki dengan tekanan darah lengan. ABI kurang daripada 0.9 bermaksud PAD yang serius.

 

Rawatan

  • Angioplasti pada sekatan arteri anggota bawah yang dilakukan oleh ahli kardiologi intervensi
  • Pengurusan luka oleh pakar bedah ortopedik
  • Antibiotik

Rawatan PAD merangkumi pendekatan pelbagai disiplin yang melibatkan pakar kardiologi atau vaskular, ahli radiologi, pakar bedah ortopedik dan staf sokongan, termasuklah kumpulan jururawat vaskular dah ahli-ahli fisioterapi.

Matlamat utama kami adalah untuk mengelakkan amputasi kaki. Dalam sesetengah kes, amputasi minimum pada jejari kaki tidak boleh dielakkan, terutamanya apabila seorang pesakit tidak merawat sekatan arterinya dengan secepat mungkin, iaitu apabila kakinya telah menjadi hitam.


 

Bagaimanakah Angiogram Periferi dilaksanakan?

Prosedur invasif minimum ini dilaksanakan dengan memasukkan kateter atau tiub ke dalam arteri anggota bawah menerusi selangkang atau betis. Kemudian, angiogram dilaksanakan dengan menyuntik medium kontras agar kawasan stenosis atau oklusi dapat dilihat dengan jelas. Prosedur ini dilakukan di bawah anestetik setempat dan biasanya mengambil masa selama 15-30 minit.

Jika ada stenosis atau sekatan yang serius, angioplasti kemudiannya akan dilaksanakan dengan kateter belon sama ada bersama dengan sten vaskular ataupun tidak.

 

Bagaimanakah Angioplasti dilaksanakan?

Angioplasti ialah prosedur invasif minumum yang dilakukan di bawah anestetik setempat. Kateter atau tiub akan dimasukkan ke dalam arteri anggota bawah menerusi betis dan perlahan-lahan digerakkan ke arah kaki. Angiogram kemudiannya dilakukan untuk melihat dan menentukan kawasan yang tersumbat. Kawasan tersumbat itu akan dibuka dengan menggunakan belon sama ada bersama dengan sten atau tidak. Kami juga mungkin menggunakan kateter belon yang disalut dengan ubat untuk memanjangkan patensi arteri revaskulirasi.

Dalam kes Iskemia anggota kritikal akut yang mana sekatan terjadi disebabkan oleh darah beku, doktor akan menyuntik ubat trombolitik untuk mencairkan darah beku.

Selepas prosedur angioplasti berjaya dilaksanakan, pesakit akan diberikan ubat cair darah bersama-sama antibiotik untuk mengelakkan jangkitan bakteria. Pesakit diabetes pula perlu mengawal gula darah dengan optimum. Pakar bedah ortopedik dan kumpulan jururawat vaskular perlu debrid luka. Namun, jika luka atau gangren terlalu besar, amputasi mungkin perlu dilaksanakan. Prosedur angioplasti boleh mengelakkan amputasi besar atau mengehadkan sesuatu amputasi itu kalau tidak dapat dielakkan. Kumpulan fisioterapi kemudiannya akan membantu dalam proses rehabilitasi pesakit dan memasangkan kaki palsu jika perlu.

Secara kesimpulan, hasil rawatan yang berjaya bagi pesakit PAD yang mempunyai gangren atau ulser yang tidak sembuh bergantung kepada kerjasama kumpulan perubatan pelbagai disiplin untuk mencapai keputusan yang terbaik bagi pesakit itu.

 

Loading...

Wait a minute

Loading...

Wait a minute