Memahami Hiperplasia Prostat Benigna (BPH)
Mengenai Prosta
Prostat merupakan kelenjar kecil yang terdapat pada orang lelaki dan memainkan peranan dalam pengeluaran air mani. Ia terletak di bawah pundi kencing dan di depan rektum, dan mengelilingi uretra yang mengeluarkan air kencing dan air mani daripada badan.
Mengenai Hiperplasia Prostat Benigna (BPH)
Hiperplasia Prostat Benigna (BPH) adalah pembesaran kelenjar prostat bukan kanser. Gangguan ini lebih sering dilihat pada lelaki yang berusia lebih dari 50 tahun.
Pembesaran ini menyekat saluran air kencing pada bahagian yang berhampiran dengan pundi kencing. Keadaan ini menyebabkan tekanan yang tinggi diperlukan untuk mengeluarkan air kencing.
Lama-kelamaan pundi kencing akan menjadi sukar dikawal dan dikosongkan sepenuhnya. Apabila uretra terjepit, pundi terpaksa bekerja lebih kuat dan lama-kelamaan, otot-otot pundi akan menjadi lemah.
Orang lelaki yang mengalami BPH juga mungkin mengalami kegagalan ereksi dan masalah ejakulasi. Walaupun secara sendirinya, BPH tidak menimbulkan masalah-masalah ini, beberapa kaedah rawatan BPH boleh menyebabkan kegagalan ereksi.
Simptom-simptom Hiperplasia Prostat Benigna (BPH)
Tanda-tanda dan simptom biasa BPH mungkin termasuk:
- Tekanan dan peneranan yang lebih tinggi diperlukan untuk membuang air kecil.
- Air kencing yang tidak lancar dan terganggu.
- Pundi yang terasa tidak kosong selepas membuang air kecil.
- Ketidakupayaan untuk membuang air kecil secara tiba-tiba (pengekalan kencing akut).
- Keperluan membuang air kecil secara tiba-tiba.
- Membuang air kecil lebih kerap, terutamanya pada waktu malam.
- Kebocoran urin.
Hematuria (darah dalam air kencing) boleh menjadi tanda BPH, tetapi kebanyakan lelaki dengan BPH tidak mempunyai hematuria.
Punca dan Faktor Risiko Hiperplasia Prostat Benigna
Masih belum ada punca jelas bagi BPH. Lama-kelamaan keadaan ini boleh bertambah teruk disebabkan oleh pengumpulan hormon lelaki yang dikenali sebagai dihidrotestosteron (DHT). Hormon ini memainkan peranan dalam proses pembesaran prostat. Punca tahap DHT yang tinggi masih belum dicatatkan. Terdapat teori bahawa keadaan ini berpunca daripada ketidakseimbangan hormon yang berlaku pada usia tua.
Faktor risiko BPH termasuk:
- Penuaan: Kelenjar prostat yang besar jarang menyebabkan gejala pada individu di bawah umur 40 tahun. Kemungkinan untuk mengalami pembesaran prostat dan gejala yang berkaitan dengannya akan meningkat apabila anda mencapai usia 40-an.
- Sejarah keluarga: Jika anda mempunyai saudara sedarah yang mengalami masalah prostat, kemungkinan anda untuk menghadapi masalah dengan prostat adalah lebih tinggi.
- Diabetes dan penyakit jantung: Kajian menunjukkan bahawa diabetes dan penyakit jantung dapat meningkatkan risiko mengalami BPH.
- Gaya Hidup: Obesiti meningkatkan risiko BPH, tetapi risiko boleh dikurangkan melalui senaman.
Komplikasi dan Penyakit yang Berkaitan dengan Hiperplasia Prostat Benigna
Jika BPH tidak dirawat, ia boleh menyebabkan penyumbatan uretra menjadi lebih teruk, dan gejala anda mungkin merosot. BPH yang tidak dirawat juga boleh menyebabkan:
Inkontinens urinari
Inkontinens urinari (UI) ialah keadaan yang mana anda hilang kawalan pundi kencing atau anda tidak dapat mengawal pengaliran air kencing. Keadaan ini boleh sembuh dengan rawatan dan penjagaan yang betul.
Kerosakan pundi kencing dan uretra
Pundi kencing yang tidak kosong sepenuhnya akan mengembang dan menjadi lemah, dan ini menyebabkan dinding otot pundi tidak dapat memaksa air kencing keluar, sekali gus menjadikannya lebih sukar untuk mengosongkan pundi kencing sepenuhnya. Lama-kelamaan ini boleh menyebabkan pundi kencing rosak.
Penyempitan uretra adalah apabila uretra menjadi sempit - iaitu tiub yang membawa air kencing daripada pundi kencing, melalui zakar dan keluar daripada meatus uretra (bukaan di hujung zakar) semasa membuang air kecil. Ramai lelaki dengan penyempitan uretra akan mengalami pengaliran air kencing yang semakin perlahan dan ketidakselesaan yang semakin meningkat ketika membuang air kecil. Ini boleh berlaku perlahan-lahan dan menyebabkan keperluan untuk meneran dengan lebih kuat untuk mengeluarkan air kencing.
Batu karang pundi kencing
Batu karang pundi kencing merupakan mendapan mineral pepejal yang terbentuk di dalam pundi kencing anda. Ia terbentuk apabila air kencing berada terlalu lama di dalam pundi kencing anda. Jika anda mempunyai batu karang pundi kencing, gejala paling biasa yang anda akan alami ialah sakit di bahagian perut, dan juga masalah semasa membuang air kecil.
Jangkitan buah pinggang (pielonefritis)
Jangkitan buah pinggang ialah sejenis jangkitan saluran kencing yang lazimnya beralih daripada pundi kencing ke buah pinggang anda. Biasanya, jangkitan buah pinggang adalah disebabkan oleh bakteria. Antara gejala jangkitan buah pinggang yang biasa berlaku ialah demam, masalah mengeluarkan air kencing, sakit pinggang dan rasa sakit apabila membuang air kecil.
Kerosakan buah pinggang
Air kencing yang tersumbat akan menyebabkan tekanan naik di dalam pundi kencing, dan ini akan merosakkan buah pinggang atau meningkatkan kemungkinan jangkitan pundi kencing merebak ke buah pinggang.
Diagnosis Hiperplasia Prostat Benigna
Doktor anda akan meneliti sejarah perubatan anda, bertanya soalan yang berkaitan dan menjalankan pemeriksaan fizikal. Antara pemeriksaan fizikal yang kerap dilakukan ialah pemeriksaan dubur digital.
Semasa pemeriksaan dubur digital, doktor anda akan memakai sarung tangan dan memasukkan jari mereka ke dalam lubang dubur anda dengan cermat. Mereka akan merasa-rasa bahagian tepi dan permukaan prostat anda, menganggarkan saiznya dan mengenal pasti mana-mana bintik keras yang boleh menjadi kanser.
Doktor anda juga boleh menjalankan:
- Tinjauan untuk menilai keparahan gejala anda.
- Ujian aliran air kencing untuk mengukur kelajuan aliran air kencing anda.
- Kajian untuk menyiasat baki air kencing di dalam pundi kencing anda selepas anda selesai membuang air kecil.
- Sistoskopi untuk melihat bahagian dalam pundi kencing anda.
Menurut kajian, BPH tidak meningkatkan risiko anda untuk menghidap kanser prostat. Walau bagaimanapun, BPH dan kanser prostat mempunyai gejala yang sama. Jika anda mengalami BPH, anda juga mungkin menghidap kanser prostat yang belum dikesan, sila dapatkan nasihat doktor secepat mungkin.
Rawatan Hiperplasia Prostat Benigna
Terdapat beberapa rawatan yang tersedia untuk merawat BPH. Doktor anda akan menilai keadaan anda dan mencadangkan rawatan yang terbaik berdasarkan umur, tahap keterukan BPH dan kesihatan umum anda.
Pilihan rawatan termasuk:
- Terapi Wap Air (Rezūm)
- Rawatan ubat
- Ubat yang mengendurkan prostat untuk mengurangkan penyumbatan bukaan pundi kencing.
- Ubat yang menyekat pengeluaran hormon lelaki (DHT) yang diketahui merupakan punca kepada pembesaran prostat.
- Pengewapan laser
- Rawatan pembedahan
- Pembedahan terbuka adalah untuk prostat yang sudah menjadi terlalu besar.
- Potongan transuretral prostat.
- Reseksi transuretral prostat.
- Tunggu-dan-pantau jika gejala anda ringan.
Terapi Wap Air (Rezūm) ialah prosedur yang tidak begitu invasif bagi pesakit lelaki yang ingin merawat BPH tanpa ubat atau pembedahan.
Rawatan yang selamat dan efektif ini menggunakan wap air untuk mengecutkan tisu prostat yang dikaitkan dengan BPH, dan memberikan kelegaan yang berkekalan kepada gejala yang berkaitan dengannya.
Semasa prosedur Rezūm, wap air akan dilepaskan ke tisu prostat yang disasarkan menggunakan peranti khas. Apabila wap menyentuh tisu dan bertukar kembali menjadi air, semua tenaga yang tersimpan akan dibebaskan. Ini membunuh sel prostat yang berlebihan dan menyebabkan prostat mengecut, sekali gus membesarkan bukaan uretra supaya air kencing dapat mengalir dengan lancar. Jumlah wap air disesuaikan mengikut saiz prostat.
Kebanyakan pesakit boleh kembali melakukan aktiviti biasa dalam masa beberapa hari.
Terdapat dua kategori ubat untuk penyakit ini:
Rawatan ini adalah untuk pesakit yang mempunyai kelenjar prostat yang lebih kecil. Tenaga laser dihantar melalui uretra, ke kelenjar prostat untuk memusnahkan tisu yang menyebabkan pembesaran prostat.
Rawatan ini membuang bahagian prostat yang besar, yang menekan uretra. Terdapat beberapa kaedah pembedahan yang boleh dijalankan:
Pencegahan Hiperplasia Prostat Benigna
Mengubah gaya hidup untuk meningkatkan kesihatan prostat dan jantung anda merupakan kaedah yang paling berkesan untuk mengurangkan risiko anda mendapat BPH.
Bersenam sekurang-kurangnya setengah jam setiap hari dapat membantu mencegah BPH atau melambatkan pertumbuhan prostat. Adalah penting untuk mengekalkan paras kolesterol, tekanan darah dan paras gula darah yang normal.
Baca lagi: Penyakit Utama yang Setiap Lelaki Perlu Tahu
Atur Janji Temu di Hospital Gleneagles
Jika anda mengesyaki bahawa anda mengalami gejala Hiperplasia Prostat Benigna (BPH), hubungi kami untuk mengetahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Urologi kami di Hospital Gleneagles berdekatan anda.
Anda juga boleh menghubungi Pusat Saringan Kesihatan di Hospital Gleneagles berdekatan anda untuk membuat janji temu saringan kesihatan.