Memahami Ovari Berpintal
Ovari berpintal adalah salah satu kecemasan pembedahan ginekologi yang paling kerap berlaku. Ia berlaku apabila ovari berpintal pada sokongan ligamennya, dan menyebabkan darah terhalang.
Keadaan ini boleh menjejaskan wanita pada sebarang umur, tetapi ia paling kerap menyerang wanita dalam lingkungan umur reproduktif. Apabila tiub fallopio berpintal sekali dengan ovari, ini dikenali sebagai pintalan adnexal.
Faktor-faktor risiko ovari berpintal
Faktor-faktor risiko ovari berpintal termasuk mempunyai gumpalan ovari dengan diameter 5 cm atau lebih besar. Bagaimanapun, pintalan boleh berlaku dalam sebarang saiz ovari. Risiko pintalan biasanya akan bertambah seiring dengan saiz ovari.
Dorongan ovulasi untuk merawat ketidaksuburan boleh menghasilkan sista folikel ovari yang besar, dan dalam sesetengah kes, ovari membesar dengan ketara akibat rangsangan berlebihan.
Wanita dengan sejarah ovari berpintal mempunyai risiko yang lebih tinggi.
Simptom-simptom ovari berpintal
Simptom-simptom ovari berpintal termasuk sakit pelvis yang sederhana atau teruk secara tiba-tiba, yang bersifat tajam, sakit, nyeri, kejang atau kolik, rasa loya dengan atau tanpa muntah, dan demam.
Diagnosis ovari berpintal
Doktor akan terlebih dahulu bertanya tentang kesihatan umum anda dan simptom sebelum menjalankan pemeriksaan fizikal yang menyeluruh. Diagnosis dibuat berdasarkan simptom yang anda laporkan, pemeriksaan fizikal dan penyiasatan.
Ujian-ujian yang digunakan untuk mendiagnosis ovari berpintal termasuk kajian pengimejan seperti ultrabunyi vagina dan pelvis dengan ujian Doppler, dan ujian darah.
Diagnosis muktamad boleh dibuat dengan meneliti sendiri ovari yang berpintal semasa pembedahan. Biasanya kaedah laparoskopik akan digunakan.
Pilihan rawatan bagi ovari berpintal
Ovari berpintal yang tidak dirawat boleh menyebabkan kehilangan bekalan darah kepada ovari yang terjejas dan tiub fallopio. Kekurangan aliran darah ini boleh menyebabkan kerosakan tisu, infarksi (tisu mati), dan kehilangan fungsi organ-organ ini.
Bagi pesakit pramenopaus dengan ovari berpintal bukan malignan (tidak berkanser), biasanya cadangan akan dibuat untuk cuba menguraikan ovari dan mengekalkannya(penguraian dan pengekalan ovari) daripada membuangnya (salpingo-ooforektomi). Jika ovari mengandungi sista benigna, pakar bedah mungkin membuang sista (sistektomi) itu semasa prosedur penguraian.
Bagi pesakit dengan ovari yang rosak teruk atau disyaki mengalami kanser ovari, jika ovari sudah mati (nekrotik) atau disyaki berkanser, kaedah yang lebih baik adalah membuang kedua-dua ovari dan tiub fallopio (salpingo-ooforektomi). Prosedur ini juga dicadangkan untuk pesakit pascamenopaus.
Bagi pesakit pramenarkal dengan ovari berpintal dan ovari normal, ooforopeksi mungkin dilakukan bersama dengan penguraian, untuk mengurangkan risiko pintalan pada masa akan datang. Jika sista atau gumpalan didapati, pakar bedah mungkin akan melakukan penguraian dan sistektomi tanpa ooforopeksi.
Aturkan janji temu di Hospital Gleneagles
Jika anda mengesyaki anda mengalami simptom ovari berpintal, hubungi kami untuk mengetahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Obstetrik & Ginekologi kami di Hospital Gleneagles berdekatan anda.
Anda juga boleh menghubungi Pusat Saringan Kesihatandi Hospital Gleneagles berdekatan anda untuk membuat janji temu saringan kesihatan