Memahami Tuberkulosis (TB) | Hospital Gleneagles

Memahami Tuberkulosis

Tuberkulosis (TB) ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis. TB yang menjejaskan paru-paru terutamanya dipanggil Tuberkulosis Pulmonari. Walau bagaimanapun, TB juga boleh menjangkiti organ badan yang lain.

TB ialah penyakit bawaan udara, dan individu yang terdedah boleh dijangkiti penyakit ini melalui penyedutan titisan yang tersebar apabila individu lain yang telah dijangkiti (dengan Tuberkulosis Aktif) bersin, batuk atau ketawa.

Jika tidak dirawat dengan segera dan betul, TB aktif boleh menyebabkan komplikasi kesihatan yang serius. Tidak semua orang yang dijangkiti TB jatuh sakit dan mengalami gejala. Sesetengah orang tidak menunjukkan sebarang gejala kerana bakteria tidak aktif di dalam badan mereka.

Orang yang lama meluangkan masa berhampiran penghidap TB Aktif yang tidak dirawat, mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk dijangkiti TB jika mereka menyedut titisan pernafasan yang disebarkan oleh penghidap tersebut.

Orang yang mempunyai sistem imun yang terjejas atau lemah, yang disebabkan oleh keadaan perubatan seperti AIDS dan kanser, atau mereka yang mempunyai penyakit tersirat seperti diabetes juga lebih berisiko mendapat TB Aktif.

TB merupakan salah satu penyakit utama yang dikaitkan dengan kemiskinan, kekurangan zat makanan dan kesesakan kerana bakteria TB mudah merebak di tempat yang padat penduduk dan tidak bersih.

Simptom-simptom Tuberkulosis

Orang yang menghidap jangkitan Tuberkulosis Pulmonari Aktif boleh menunjukkan simptom-simptom berikut:

  • Batuk berdarah
  • Sesak nafas dan berdehit
  • Kelesuan
  • Demam dan seram sejuk
  • Hilang selera makan
  • Batuk yang berterusan
  • Peluh berlebihan, terutamanya pada waktu malam
  • Hilang berat badan

Pilihan Rawatan untuk Tuberkulosis

TB aktif boleh dirawat dengan membantu pesakit melawan bakteria yang menyebabkan Tuberkulosis. Pilihan rawatan termasuk:

  1. Menjauhi orang lain, dengan tidak keluar rumah atau dimasukkan ke hospital, untuk mengelakkan jangkitan merebak.
  2. Gabungan ubat anti-Tuberkulosis, diambil selama enam hingga sembilan bulan. Ubat yang paling lazim termasuk:
    • Isoniazid
    • Rifampcin
    • Pyrazinamide
    • Ethambutol
    • Streptomycin
  3. Ubat yang dipreskripsikan mesti diambil secara tetap sehingga semua bakteria dibunuh, walaupun gejala telah hilang, untuk menghalang bakteria TB daripada membina daya tahan terhadap ubat yang digunakan. Jika pesakit patuh, kadar kesembuhan adalah lebih daripada 95%.
  4. Jika bakteria TB mampu bertahan terhadap ubat yang digunakan, set ubat yang lain akan diberi, yang mempunyai kesan sampingan yang lebih serius dan perlu diambil untuk tempoh yang lebih lama.
  5. Pertubuhan Kesihatan Sedunia mempunyai program yang dipanggil Rawatan Pemerhatian Langsung (DOT) yang membantu menyelia pesakit TB untuk mengambil dos dan gabungan ubat anti-Tuberkulosis yang betul.

Jika TB mampu bertahan terhadap berbilang ubat, ia boleh menjadi berbahaya dan menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa. Kerosakan paru-paru secara kekal boleh berlaku, dan jangkitan boleh merebak ke organ lain di dalam badan termasuk tetapi tidak terhad kepada sistem gastrousus, otak, tulang dan sistem saraf pusat, dan ini memburukkan lagi keadaan.

Atur Janji Temu di Hospital Gleneagles

Jika anda mengesyaki bahawa anda mengalami gejala TB, hubungi kami untuk mengetahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Penyakit Berjangkit di Hospital Gleneagles berdekatan anda.

Hubungan kecemasan
Gleneagles Hospital Kota Kinabalu
Ambulans / Kecemasan
+6088 518 911
Gleneagles Hospital Kuala Lumpur
Ambulans / Kecemasan
+603 4141 3018
Gleneagles Hospital Penang
Ambulans / Kecemasan
+604 222 9199
Gleneagles Hospital Medini Johor
Ambulans / Kecemasan
+607 560 1111
Pilih Hospital