Penyakit Berjangkit: Punca, Gejala, Rawatan & Pencegahan | Gleneagles Hospitals Malaysia
Kepakaran & Pakej
Pengkhususan Perubatan
Jenis Penyakit Berjangkit, Tanda-Tanda & Cara Mengelakkannya

Jenis Penyakit Berjangkit, Tanda-Tanda & Cara Mengelakkannya

Penyakit berjangkit ialah penyakit yang disebabkan oleh mikroorganisma patogenik (patogen) seperti bakteria, virus, kulat, dan parasit. Penyakit ini boleh merebak daripada seorang individu kepada individu lain, sama ada melalui kontak langsung seperti sentuhan dan titisan pernafasan, atau secara tidak langsung melalui permukaan tercemar, makanan, air, dan gigitan serangga.

Orang awam memakai pelitup muka di kawasan awam sebagai langkah pencegahan penyakit berjangkit

Cara penyakit berjangkit tersebar

Penyakit berjangkit boleh merebak melalui beberapa cara:

1. Melalui udara

  • Titisan atau partikel aerosol yang keluar ketika seseorang batuk, bersin atau bercakap.
  • Menyentuh mulut, hidung atau mata dengan tangan yang tercemar titisan juga boleh menyebabkan jangkitan.

2. Kontak rapat dengan orang yang dijangkiti

  • Sentuhan kulit atau membran mukus (hidung, mulut, tekak, alat kelamin).
  • Kontak dengan darah atau cecair badan seperti air liur, semen dan rembesan vagina, termasuk melalui ciuman atau hubungan seksual.
  • Perkongsian barangan peribadi seperti berus gigi, tuala, atau perkakas makan.

3. Sentuhan tidak langsung dengan permukaan tercemar

  • Kuman boleh bertahan pada objek seperti tombol pintu, meja dan peralatan. 
  • Menyentuh permukaan ini dan kemudian menyentuh muka tanpa membasuh tangan boleh menyebabkan jangkitan.

4. Makanan dan air tercemar

  • Kuman boleh masuk ke dalam badan melalui makanan atau air yang tercemar akibat penyediaan yang tidak bersih, makanan tidak dimasak sempurna, pencemaran silang atau pendedahan kepada air yang tidak selamat.

5. Gigitan serangga

  • Sesetengah penyakit disebarkan oleh serangga seperti nyamuk yang membawa patogen malaria, denggi atau Zika.

Penyakit berjangkit biasa

Penyakit berjangkit boleh disebabkan oleh virus atau bakteria. Setiap jenis mempunyai cara penularan, gejala dan rawatan yang berbeza. Berikut ialah antara penyakit berjangkit biasa yang sering ditemui:

Penyakit berjangkit disebabkan oleh virus

  • Selesema
  • COVID-19
  • Influenza (flu)
  • Cacar air dan Kayap
  • Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD)
  • Virus kurang daya tahan manusia (HIV/AIDS)
  • Papilomavirus Manusia (HPV)
  • Beguk, demam campak, rubela
  • Virus Sinsitium Pernafasan (RSV)
  • Gastroenteritis viral
  • Hepatitis viral
  • Meningitis viral

Penyakit berjangkit disebabkan oleh bakteria

  • Meningitis bakteria
  • Kolera
  • Difteria
  • Jangkitan E.Coli
  • Leptospirosis
  • Jangkitan resistan-methicillin staphylococcus aureus (MRSA)
  • Pertusis (Batuk Kokol)
  • Pneumonia
  • Jangkitan pseudomonas
  • Jangkitan salmonela
  • Penyakit hubungan jenis (STD) seperti Gonorea dan Sifilis
  • Sakit tekak akibat jangkitan bakteria
  • Tetanus
  • Tuberkulosis

Faktor risiko penyakit berjangkit

Terdapat beberapa faktor risiko yang akan meningkatkan risiko seseorang terhadap penyakit berjangkit:

  • Sistem imun yang lemah akibat ubat-ubatan: Orang yang mengambil ubat penahan imun atau steroid jangka panjang, yang boleh melemahkan pertahanan semula jadi badan.
  • Keadaan kesihatan tertentu: Penghidap HIV/AIDS atau mereka yang mempunyai sistem imun yang terkompromi.
  • Tidak menerima vaksin: Orang yang tidak mendapatkan vaksin untuk penyakit yang berpunca daripada jangkitan virus.
  • Golongan berisiko tinggi: Kanak-kanak kecil, ibu mengandung, dan warga emas (umur melebihi 60 tahun) lebih mudah terdedah kepada jangkitan.

Tanda dan gejala penyakit berjangkit

Tanda dan gejala bagi penyakit berjangkit bergantung pada organisma yang menyebabkan jangkitan tersebut, tetapi demam dan lesu adalah tanda dan gejala yang paling biasa bagi penyakit berjangkit. Selain itu, tanda dan gejala umum termasuk cirit-birit, sakit otot dan batuk.

Anda harus segera dapatkan rawatan perubatan jika anda mengalami:

  • Demam berpanjangan (melebihi 5 hari) atau tanpa sebab, dengan atau tanpa pening
  • Batuk berpanjangan (melebihi 7 hari)
  • Sakit otot yang berterusan
  • Cirit-birit yang berterusan
  • Kesukaran bernafas
  • Masalah penglihatan secara tiba-tiba
  • Ruam atau bengkak
  • Gigitan oleh haiwan liar, atau serangga

Komplikasi penyakit berjangkit

Penyakit berjangkit selalunya akan sembuh tanpa komplikasi yang serius jika rawatan segera diperoleh.

Bagaimanapun, jangkitan tertentu seperti AIDS, meningitis dan pneumonia boleh mengancam nyawa.

Ada juga jangkitan tertentu yang dikaitkan dengan komplikasi jangka panjang dan penyakit serius:

  • Papilomavirus manusia - boleh menyebabkan kanser servikal
  • Helicobacter pylori - boleh menyebabkan kanser perut
  • Hepatitis B dan C - boleh menyebabkan kanser hati

Rawatan penyakit berjangkit

Rawatan penyakit berjangkit bergantung pada mikroorganisma yang menyebabkan jangkitan itu. Antara rawatan penyakit berjangkit yang ada termasuk:

  • Jangkitan bakteria dirawat dengan antibiotik
  • Jangkitan virus selalunya dirawat dengan jagaan sokongan seperti berehat, mengambil cecair dan rawatan untuk demam
  • Jangkitan kulat dan parasit dirawat dengan ubat-ubatan antikulat dan antiparasit seperti Fluconazole, Mebendazole

Doktor anda akan menilaikan gejala yang anda alami dan membuat keputusan untuk rawatan seterusnya.

Pencegahan penyakit berjangkit

Untuk mengurangkan risiko jangkitan: 

  • Jaga kebersihan diri seperti membasuh tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas.
  • Elakkan berkongsi item peribadi seperti berus gigi, sikat, pisau cukur, tuala, gelas minuman dan perkakas makan.
  • Pastikan makanan dimasak dengan sempurna, minum hanya air bersih, dan amalkan penyimpanan serta penyediaan makanan yang selamat.
  • Dapatkan vaksinasi mengikut jadual yang disyorkan.
  • Amalkan seks yang selamat untuk mengurangkan risiko penyakit berjangkit tertentu.

Buat janji temu di Gleneagles Hospital

Jika anda mengalami sebarang simptom penyakit berjangkit, hubungi kami untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Perkhidmatan Penyakit Berjangkit di Gleneagles Hospital terdekat anda. Gleneagles Hospital bekerjasama dengan pakar penyakit berjangkit untuk membantu pesakit melalui proses diagnosis, rawatan dan pengurusan berterusan. Pasukan penjagaan kesihatan pelbagai disiplin yang prihatin sentiasa sedia untuk memberikan konsultasi dan penjagaan terbaik.

Pengkhususan Kami

loading-icon
Muat lagi
Loading...

Wait a minute

Image Popup