Topics
Bersalin adalah perjalanan yang penting bagi wanita, dan memilih kaedah bersalin adalah keputusan yang lebih penting.
Bagi ramai wanita yang pernah menjalani Pembedahan Caesarean (C-section) sebelum ini, pilihan kelahiran semula jadi selepas itu, yang dikenali sebagai Kelahiran Faraj Selepas C-Section (VBAC) sebenarnya sangat menarik dan membimbangkan.
VBAC melibatkan proses melahirkan bayi melalui faraj selepas prosedur C-section untuk kelahiran sebelum ini. Ramai wanita mempertimbangkan pilihan ini apabila merancang kehamilan masa depan.
Melakukan perbualan terbuka dan jujur dengan pakar obstetrik anda sambil berkongsi keinginan dan kebimbangan anda adalah satu proses yang penting. Mereka akan membimbing dan menyokong anda sepanjang masa serta memastikan pengalaman bersalin anda selari dengan wawasan anda sambil mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan anda dan bayi anda.
Peluang VBAC
Menentukan sama ada VBAC adalah pilihan yang sesuai untuk anda memerlukan pertimbangan dan penilaian yang teliti oleh pakar obstetrik anda yang akan menilai dengan teliti, membincangkan risiko dan manfaat serta memberikan panduan kepada anda dengan sewajarnya.
Terdapat beberapa faktor yang boleh mempengaruhi kelayakan anda untuk VBAC.
Pertimbangan kesihatan si ibu
Kesihatan keseluruhan wanita dan sebarang keadaan perubatan yang sedia ada adalah penting apabila membuat keputusan mengenai VBAC. Wanita yang mempunyai masalah seperti kencing manis atau masalah jantung biasanya tidak sesuai untuk VBAC.
Sebab C-section dijalankan sebelum ini
Sebab C-section anda dilakukan sebelum ini sangat mempengaruhi kelayakan anda untuk VBAC. Faktor yang memerlukan C-section dalam kehamilan pertama anda seperti kehamilan kembar atau songsang, mungkin tidak berulang dalam kehamilan kedua anda. Jika isu ini tiada, kemungkinan VBAC berjaya akan meningkat.
Jenis hirisan C-section sebelumnya
Jenis hirisan yang dibuat semasa C-section anda sebelum ini memberikan kesan untuk kelayakan VBAC anda. Hirisan melintang rendah biasanya dianggap lebih selamat untuk VBAC berbanding hirisan menegak.
Risiko Pembedahan Caesarean
Berbanding dengan kelahiran faraj, C-section membawa risiko yang lebih tinggi untuk mendapat jangkitan di bahagian hirisan atau pada lapisan rahim (endometritis).
Pemulihan selepas C-section biasanya lebih lama dan mungkin melibatkan lebih banyak kesakitan dan ketidakselesaan.
Selain itu, beberapa C-section boleh menyebabkan peningkatan parut dan boleh meningkatkan risiko masalah plasenta dalam kehamilan akan datang yang juga dikenali sebagai plasenta praevia atau plasenta akreta (plasenta menjadi melekat pada dinding rahim).
Kelebihan dan Risiko VBAC
Memilih antara VBAC dan C-section ulangan adalah keputusan yang kritikal. Walaupun VBAC menawarkan kelebihan tertentu, menimbang risiko dan manfaat dengan teliti adalah sangat penting. Bincangkan perkara ini secara menyeluruh dengan pakar obstetrik anda untuk membuat pilihan termaklum.
Kelebihan VBAC | Risiko VBAC |
Pemulihan kelahiran melalui faraj secara amnya lebih cepat dan kurang menyakitkan berbanding pulih daripada C-section, prosedur pembedahan hirisan di perut ibu. Kelahiran faraj juga dikaitkan dengan pengurangan risiko jangkitan berbanding c-section. Kelahiran faraj boleh memudahkan sentuhan kulit-ke-kulit awal dan penyusuan susu ibu yang menggalakkan ikatan antara ibu dan bayi. Risiko komplikasi seperti jangkitan di lokasi pembedahan, pendarahan dan isu berkaitan anestesia dikurangkan dengan kelahiran faraj. | Salah satu kebimbangan yang paling ketara ialah pecah rahim. Pecah rahim adalah kecemasan perubatan yang jarang berlaku dengan implikasi yang mengancam nyawa. Ia mengakibatkan pecah atau koyak pada dinding rahim dan perut serta menimbulkan risiko besar kehilangan darah yang teruk dan berpotensi membahayakan ibu dan anak dalam kandungan. |
Meningkatkan Peluang Anda untuk VBAC
Bagi wanita yang mempertimbangkan VBAC, mula suarakan keinginan anda untuk VBAC dengan pakar obstetrik anda. Mereka boleh menilai situasi khusus anda dan memberikan bimbingan.
Sementara itu, kekalkan gaya hidup sihat semasa hamil, termasuk pemakanan seimbang, senaman yang kerap dan penjagaan pranatal yang betul. Didik diri anda tentang proses, risiko dan manfaat VBAC. Mandapat maklumat yang betul akan membantu anda membuat keputusan yang yakin.
Atur Janji Temu di Hospital Gleneagles
Jika anda baru hamil, sebaiknya berbincang dengan profesional penjagaan kesihatan tentang pilihan bersalin anda.
Hubungi kami untuk mengatur janji temu dengan pasukan pakar kami hari ini atau ketahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Gleneagles yang terdekat dengan anda.