Disediakan oleh,
Dr Ang Chin Yong
Pakar Perunding Intervensi Kardiologi
Gleneagles Hospital Johor
Apakah penyakit arteri koronari?
Arteri koronari berjalan di bahagian luar jantung dan berfungsi membekalkan darah beroksigen ke otot jantung supaya ia dapat mengepam darah dengan baik.
Penyakit arteri koronari (CAD) berlaku apabila plak lemak (kolesterol) terbentuk di dinding arteri, mengakibatkan saluran darah menjadi sempit dan aliran darah berkurangan.
Keadaan ini berkembang secara perlahan dalam tempoh bertahun-tahun, dan boleh membawa kepada serangan jantung atau kegagalan jantung. Diagnosis awal amat penting bagi memperlahankan perkembangannya dan mencegah komplikasi yang lebih serius.
Apakah faktor risiko penyakit jantung tersumbat?
Faktor risiko CAD selalunya termasuk:
- Merokok
- Kolesterol tinggi (LDL-kolesterol, jumlah kolesterol, trigliserida)
- Tekanan darah tinggi
- Kencing manis
- Ketidakaktifan fizikal
- Obesiti
- Diet tinggi lemak tepu
Mengawal faktor risiko ini amat penting untuk mencegah CAD.
Apakah tanda-tanda penyakit arteri koronari?
Tanda-tanda atau gejala Penyakit Arteri Koronari berbeza mengikut tahap keterukan penyakit.
Sesetengah individu yang mempunyai CAD ringan mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala.
Apabila penyempitan arteri menjadi lebih teruk, gejala yang mungkin dialami termasuk:
- Rasa berat, ketat atau sakit di dada (boleh menjalar ke lengan, rahang, leher atau belakang)
- Sesak nafas
- Badan terasa lemah atau cepat letih
Bagaimanakah penyakit jantung tersumbat didiagnosis?
Selain sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal yang menyeluruh, diagnosis penyakit arteri koronari boleh dilakukan melalui satu atau beberapa ujian berikut:
Ujian tekanan (senaman ECG)
Pesakit akan berjalan di atas treadmill sambil aktiviti elektrik jantung dipantau. Ujian ini membantu mengesan tanda-tanda aliran darah yang berkurangan atau penyempitan arteri yang mungkin tidak kelihatan ketika jantung berada dalam keadaan rehat.
Ekokardiogram (ultrasound jantung)
Ujian ini menggunakan gelombang bunyi untuk menghasilkan imej jantung. Ia membantu doktor menilai struktur jantung, fungsi injap, serta keupayaan otot jantung mengepam darah dengan baik.
Angiogram koronari CT (CT jantung)
403e3657-220f-45bf-9e5b-ac105118fdbe.png?Status=Master&sfvrsn=da0927a6_1)
Prosedur tidak invasif ini menggunakan mesin X-ray berkuasa tinggi untuk menghasilkan imej terperinci jantung dan saluran darah. Pewarna kontras akan disuntik ke dalam salur darah bagi menunjukkan sebarang penyempitan atau penyumbatan. Prosedur ini tidak memerlukan masa pemulihan.
Imbasan MRI jantung

Ujian MRI jantung memberikan imej terperinci tentang struktur dan fungsi otot jantung. Apabila dilakukan dengan protokol tekanan menggunakan ubat, ia boleh membantu mengesan kawasan otot jantung yang kurang mendapat aliran darah akibat CAD.
Kateterisasi jantung (angiografi koronari)
Ini merupakan ujian piawai emas untuk mendiagnosis CAD. Dalam prosedur ini, pewarna kontras disuntik terus ke dalam arteri koronari melalui kateter. Imej X-ray kemudian diambil untuk mengenal pasti kawasan arteri yang sempit, tersumbat atau mengalami kelainan lain.
Rawatan CAD mungkin termasuk
Cara merawat jantung tersumbat bergantung pada tahap keterukan simptom dan keadaan kesihatan lain.
Pengubahsuaian faktor risiko
Termasuk berhenti merokok, rawatan paras kolesterol yang tinggi, kawalan tekanan darah dan glukosa, senaman aerobik yang kerap, tabiat pemakanan sihat, serta pengurangan berat badan bagi pesakit yang berlebihan berat badan.
Makanan untuk pesakit jantung tersumbat
Pemakanan yang sihat boleh membantu mengurangkan radang, mencegah pengerasan salur darah, dan menurunkan paras kolesterol jahat (LDL). Antara makanan yang disyorkan:
- Buah beri seperti strawberi dan blueberry – kaya antioksidan untuk melindungi jantung.
- Ikan berlemak seperti salmon – mengandungi omega-3 yang dapat menurunkan risiko jantung tersumbat.
- Tomato – kaya dengan likopen, kompaun yang mesra jantung.
- Bawang putih – meskipun berbau, membantu kesihatan jantung.
- Oat – mengandungi antioksidan untuk mengurangkan radang.
- Sayuran hijau seperti bayam, sawi, dan kangkung – kaya dengan kalium.
- Kacang-kacangan seperti kacang pis, kacang hitam, kacang kuda, dan soya.
- Minyak sihat seperti minyak zaitun asli dan minyak canola.
- Produk tenusu rendah lemak dan bijirin penuh seperti beras perang dan oat.
Makanan yang perlu dielakkan:
- Lemak tepu dan trans (contoh: daging merah berlemak, makanan bergoreng, produk haiwan tinggi lemak tepu)
- Gula ringkas (contoh: minuman manis, kek, pastri)
Ubat sakit jantung tersumbat
Rawatan ubat-ubatan mungkin melibatkan:
- Ubat antiplatelet (pencair darah) untuk mencegah pembentukan bekuan darah.
- Ubat kolesterol dan tekanan darah untuk mengawal faktor risiko utama.
- Ubat antiangina bagi mengurangkan sakit dada dan meningkatkan aliran darah ke otot jantung.
Angioplasti koronari (belon dan stenting)
Prosedur ini menggunakan belon untuk membuka saluran arteri yang sempit dan memasang stent bagi memastikan aliran darah kekal lancar.
Imej angiogram biasanya menunjukkan penyumbatan teruk (A) dan pemulihan aliran darah selepas angioplasti (B):

Pembedahan pintasan arteri koronari (CABG)
Pembedahan ini membantu mewujudkan laluan darah baharu dengan mencantumkan salur darah di atas dan di bawah kawasan arteri koronari yang tersumbat. Salur darah biasanya diambil daripada kaki, dada, atau lengan pesakit.
Tempah janji temu di Gleneagles Hospital Johor
Jika anda mengalami simptom jantung tersumbat seperti sakit dada, sesak nafas, atau mudah letih, hubungi kami di sini untuk mengetahui lebih lanjut tentang perkhidmatan Kardiologi kami di Gleneagles Hospital Johor terdekat.
Gleneagles Hospital Johor bekerjasama dengan pakar kardiologi berpengalaman untuk membantu mendiagnosis dan merawat penyakit arteri koronari (CAD) dengan pendekatan yang selamat dan berkesan.