Pengimejan
Tomografi Berkomputer (CT)
Imbasan tomografi berkomputer, atau imbasan CT, berfungsi dengan mengumpulkan satu siri imej-imej X-ray badan yang diambil dari berbagai sudut, dan menggunakan proses komputer untuk menghasilkan imej-imej keratan melintang (hirisan) bagi tulang, salur darah dan tisu lembut di dalam badan anda. Pemeriksaan tidak invasif ini akan menyediakan maklumat anatomi dengan cepat dan tepat, untuk membantu doktor anda mendiagnosis dan membuat cadangan rawatan dengan tepat.
Jabatan Pengimejan kami menggunakan Pengimbas CT Toshiba Aquilion One 640-hirisan yang terkini, iaitu salah satu pengimbas CT tercanggih dengan volum dinamik pertama di dunia. Selain daripada pemeriksaan rutin, pengimbas ini juga menjalankan angiografi CT (CTA) untuk membantu doktor memeriksa arteri dan menilaikan fungsi-fungsinya.
Densitometri Mineral Tulang
Ujian Densitometri mineral tulang menggunakan X-ray untuk mengukur ketumpatan mineral dalam tulang. Melalui ujian ini, doktor akan dapat mendiagnosis penyakit tulang biasa seperti osteoporosis, dan boleh mengelakkan fraktur tulang yang berpotensi, jika dirawat awal.
Fluoroskopi Digital
Ujian fluoroskopi digital menggunakan X-ray untuk mengimbas badan dalam masa nyata bagi membantu prosedur diagnostik dan intervensi.
X-ray Biasa Digital
X-ray Biasa Digital menggunakan X-ray untuk mengimbas badan. Berbanding X-ray biasa, X-ray biasa digital mengeluarkan dos radiasi yang lebih rendah, untuk mengurangkan kerosakan pada sel-sel dalam badan pesakit.
Pengimejan Resonans Magnetik (MRI)
Pengimejan resonans magnetik, atau singkatnya MRI, adalah prosedur pengimejan perubatan yang menggunakan medan magnetik kuat dan gelombang radio untuk menghasilkan imej terperinci tisu-tisu dan organ-organ di dalam badan. Imbasan MRI berbeza daripada imbasan CT dan imbasan X-ray kerana ia tidak menggunakan radiasi pengionan yang mungkin membahayakan.
Jabatan Pengimejan kami menggunakan pengimbas Siemens Aera 1.5T dan pengimbas MRI Siemens Skyra 3T yang terkini. Dengan pengimbas MRI 3T yang terkini ini, kami akan dapat mengatasi kekurangan dalam imbasan MRI abdomen menggunakan teknologi FREEZEit, yang membolehkan pesakit yang sukar menahan nafas menjalani pemeriksaan sambil bebas bernafas.
Mamografi Tomosintesis
Mamogram adalah pemeriksaan pengimejan perubatan khusus yang menggunakan sistem X-ray dengan radiasi dos rendah untuk menjanakan imej payudara anda yang akan digunakan oleh pakar radiologi untuk mengesan dan menganalisis luka-luka seperti tumor, sista dan kalsifikasi.
Jabatan Pengimejan kami menggunakan Sistem Mamografi Senographe Pristina yang canggih dan bakal mengubah pengalaman menjalani mamografi. Sistem mamografi 3D kami memastikan pemeriksaan yang lebih senang dan selesa dengan mampatan dipandu pesakit, untuk menambahkan keselesaan pengalaman pemeriksaan payudara.
Tahukah anda bahawa 1 dalam 8 wanita akan mendapat kanser payudara sepanjang tempoh hayat mereka? Mamografi 3D, juga dikenali sebagai pemeriksaan tomosintesis payudara digital, membantu pakar radiologi mengesan keabnormalan dalam payudara pada peringkat awal supaya pelan rawatan yang lebih baik dapat disediakan.
Prosedur Intervensi
Radiologi intervensi (juga dikenali sebagai IR) adalah rawatan invasif minimum yang berpandukan imej untuk merawat masalah perubatan yang memerlukan pembedahan terbuka. Prosedur-prosedur ini termasuk angioplasti, sten, akses vena tengah, gelungan aneurisme serebrum dan sten, kemoembolisasi bagi kanser, embolisasi bagi pendarahan, penyaliran perkutaneus dan ablasi perkutaneus berpandukan imej.
Ultrasonografi
Pengimejan ultrabunyi, atau juga dipanggil ultrasonografi, menggunakan gelombang bunyi untuk menangkap gambar dalam badan anda. Apabila gelombang bunyi menyentuh sesuatu objek, ia akan melantun kembali dan menghasilkan gema. Dengan mengukur gelombang gema ini, jarak objek, saiz, bentuk dan ketekalan (sama ada objek adalah pejal, berisi cecair atau kedua-duanya) akan dapat ditentukan. Disebabkan imej-imej ultrabunyi akan dirakam dalam masa nyata, ia akan dapat menunjukkan struktur dan pergerakan organ dalaman badan, selain pengaliran darah yang mengalir melalui salur-salur darah, mahupun pergerakan sendi atau tendon dalam sistem rangka otot.