Endometriosis: Tanda Awal Cyst Ovari | Hospital Gleneagles Penang
Gleneagles Hospital Penang
Health Hub
Artikel
Endometriosis: Punca, Gejala dan Rawatan

Endometriosis: Punca, Gejala dan Rawatan

Endometriosis: Causes, Symptoms, Diagnosis and Treatment Options

Uterus seorang wanita dilapisi dengan tisu yang dipanggil endometrium. Kadang-kadang, tisu ini boleh terbentuk di luar uterus. Masalah ini dipanggil endometriosis.

Penyakit endometriosis boleh berlaku pada mana-mana wanita dalam usia reproduktif, termasuk remaja. Ia juga boleh berulang pada wanita yang pernah dirawat untuk endometriosis.

Punca endometriosis

Biasanya, tisu endometrium melapisi bahagian dalam uterus. Kehadiran tisu endometrium di luar uterus dikenali sebagai endometriosis. Semua tisu endometrium, sama ada di dalam atau
di luar uterus, boleh bertindak terhadap hormon seks wanita yang mengawal kitaran reproduktif. Lapisan tisu endometrium di dalam uterus akan membesar, menebal, dan kemudian pecah serta berdarah, membentuk tisu berdarah yang akan dikeluarkan melalui haid. Begitu juga dengan tisu endometrium di luar uterus.

Bagaimanapun, tisu endometrium dan darah di dalam uterus akan keluar secara normal iaitu melalui haid jika persenyawaan telur tidak berlaku. Namun, tisu endometrium di luar uterus tiada jalan keluar yang normal. Oleh itu, apabila ia pecah dan berdarah, tisu berdarah ini akan kekal di dalam badan.

Pembesaran dan pendarahan tisu endometrium yang tinggal di dalam badan boleh menyebabkan kesakitan, haid yang tidak normal dan pembentukan tisu parut. Endometriosis juga boleh menyebabkan ketidaksuburan.

Faktor risiko bagi endometriosis

Berikut adalah faktor risiko yang meningkatkan kemungkinan wanita untuk mengalami masalah ini:

  • Umur: Endometriosis boleh bermula dari akil baligh tetapi selalunya menjejaskan wanita dalam lingkungan umur 30-an dan 40-an.
  • Sejarah keluarga yang mengalami endometriosis.
  • Sejarah kehamilan: Wanita yang tidak pernah melahirkan berisiko lebih tinggi untuk mendapat endometriosis.
  • Sejarah haid: Wanita yang mempunyai kitaran haid pendek, haid yang banyak/lama dan mula mendapat haid pada umur yang muda berisiko lebih tinggi untuk mendapat masalah ini.

Gejala endometriosis

Gejala endometriosis boleh bersifat sederhana atau teruk. Sesetengah orang mengalami kesakitan yang amat teruk sementara ada yang hanya merasa tidak selesa atau tiada gejala langsung.

Berikut adalah tanda-tanda endometriosis atau simptom utama penyakit ini:

  • Sakit pelvis
  • Sakit semasa haid
  • Sakit di bahagian bawah abdomen sebelum atau selepas pendarahan haid
  • Pendarahan haid yang tidak teratur atau banyak, termasuk haid berketul dengan ketulan darah atau tisu berdarah
  • Sakit semasa melakukan hubungan seks
  • Ketidaksuburan
  • Tidak selesa semasa membuang air besar
  • Sakit pinggang

Bagaimana endometriosis boleh menyebabkan cyst ovari?

Dalam sesetengah kes, endometriosis boleh menyebabkan pembentukan endometriomas, sejenis cyst ovari yang berisi darah lama. Cyst ini terbentuk apabila tisu endometrium tumbuh di ovari, menyebabkan keradangan dan pembentukan tisu parut. Berbeza dengan cyst ovari biasa, endometriomas sering dikaitkan dengan sakit pelvis yang kronik, haid yang berat, dan masalah kesuburan.

Tanda awal cyst dalam endometriosis

Bagi kebanyakan wanita, tanda awal cyst mungkin tidak begitu ketara. Walau bagaimanapun, beberapa perubahan yang boleh menjadi petunjuk awal termasuk:

  • Kesakitan pelvis berulang, terutamanya sebelum atau semasa haid
  • Ketidakselesaan semasa hubungan intim, akibat tekanan pada ovari
  • Haid yang tidak teratur atau sangat menyakitkan, yang lebih berat daripada biasa
  • Rasa kembung atau penuh, terutama jika cyst semakin membesar
  • Kesukaran untuk hamil, kerana endometriomas boleh mengganggu ovulasi

Apabila endometriomas berkembang, ia boleh menyebabkan kesakitan yang lebih teruk dan dalam sesetengah kes, mengakibatkan kesan cyst seperti pembentukan tisu parut di kawasan pelvis, lekatan organ, dan gangguan kesuburan.

Tanda cyst pecah dan bila perlu berwaspada

Walaupun kebanyakan cyst ovari dalam endometriosis tidak berbahaya, terdapat risiko tanda cyst pecah, yang boleh menyebabkan kesakitan mendadak dan komplikasi serius. Antara tanda yang perlu diperhatikan termasuk:

  • Sakit yang tajam dan tiba-tiba di bahagian bawah abdomen
  • Kembung perut atau rasa lembut apabila disentuh
  • Pendarahan faraj yang tidak dijangka
  • Mual, muntah, atau pening, tanda kemungkinan pendarahan dalaman
  • Demam dan menggigil, yang mungkin menunjukkan jangkitan

Jika anda mengalami sakit yang teruk atau tanda-tanda kejutan seperti pening melampau atau pengsan, segera dapatkan rawatan kecemasan bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius.

Memahami tanda awal cyst, kesan cyst, dan tanda cyst pecah dalam endometriosis dapat membantu wanita mengambil langkah awal dalam menguruskan simptom mereka serta mendapatkan rawatan yang tepat pada masanya.

Diagnosis endometriosis

Endometriosis tidak bergejala mungkin akan ditemui semasa pemeriksaan rutin pelvis atau pembedahan untuk masalah lain. Ataupun, doktor anda mungkin akan mengesyaki endometriosis jika anda mengalami gejala yang disebut di atas, di mana beliau akan melakukan pemeriksaan fizikal.

Selalunya, endometriosis akan didiagnosis melalui:

  • Pemeriksaan pelvis
  • Ultrabunyi
  • Laparoskopi

Laparoskopi boleh dijalankan untuk mengesahkan diagnosis. Prosedur ini selalunya dilakukan sebagai pesakit luar dan dijalankan di bawah anestesia umum atau setempat.

Instrumen nipis untuk melihat dipanggil laparoskop akan dimasukkan melalui insisi kecil di bawah pusat. Laparoskop akan membolehkan doktor melihat abdomen dan kaviti pelvis untuk mengenal pasti sebarang kecacatan tisu endometrium.

Insisi kecil yang kedua boleh dibuat untuk memasukkan instrumen lain untuk mendalami pemeriksaan atau digunakan untuk mengeluarkan sedikit sampel tisu. Sampel ini boleh diperiksa untuk mengesahkan diagnosis endometriosis.

Tahap endometriosis

Endometriosis boleh dikategorikan kepada 4 tahap:

  • Minimal: Bagi endometriosis minimal, lesi kecil dan implan endometrium nipis akan terdapat pada ovari. Kaviti pelvis dan kawasan sekelilingnya mungkin juga kerengsaan.
  • Ringan: Orang yang mengalami endometriosis ringan selalunya akan mempunyai sedikit lesi dan implan endometrium nipis pada ovari serta lapisan pelvis.
  • Sederhana: Endometriosis sederhana selalunya akan mempunyai banyak implan pada ovari dan lapisan pelvis. Pesakit mungkin juga akan mengalami lebih banyak lesi.
  • Teruk: Bagi endometriosis teruk, terdapat banyak implan yang dalam pada ovari dan lapisan pelvis. Lesi mungkin terdapat pada tiub Fallopio dan usus. Pesakit juga mungkin
    akan mendapat sista dalam satu atau kedua-dua ovari.

Pilihan rawatan bagi endometriosis

Dua kejadian semula jadi yang selalunya akan memperbaiki tanda dan gejala endometriosis adalah kehamilan dan menopaus.

Semasa kehamilan, ovulasi dan haid akan berhenti dan gejala endometriosis mungkin akan mereda buat sementara.

Selepas menopaus, ovari akan berhenti mengeluarkan hormon seks perempuan secara kekal dan semua tisu endometrium akan menjadi layu secara semula jadi. Menopaus selalunya terjadi apabila wanita berada dalam lingkungan umur 40-an atau 50-an.

Endometriosis selalunya dirawat dengan:

  • Ubat hormon: mengambil ubat hormon boleh mengecutkan tisu endometrium, malahan boleh menyebabkannya hilang lama-kelamaan.
  • Pencegah hamil hormon: pil kawalan kelahiran dan tampalan untuk mencegah pertumbuhan tisu endometrium supaya implan persenyawaan telur tidak boleh berlaku. Dengan itu, ia boleh membantu meredakan gejala endometriosis.
  • Pembedahan konservatif: tisu parut dan tisu endometrium dikeluarkan, sementara organ reproduktif dikekalkan.
  • Pembedahan radikal (histerektomi): membuang uterus dan ovari untuk menghapuskan sumber hormon yang menyebabkan tisu endometrium membesar dan berdarah.
  • Rawatan gabungan: pelan rawatan menggabungkan pengambilan ubat hormon dan pembedahan konservatif selalunya akan disyorkan.

Perubahan gaya hidup bagi membantu endometriosis

Meskipun intervensi perubatan adalah rawatan terbaik untuk menguruskan masalah ini, petua gaya hidup di bawah boleh membantu meredakan kesakitan:

  • Makan secara sihat: Amalkan diet yang mengandungi buah-buahan segar dan sayur- sayuran, dan makanan yang kaya dengan asid lemak omega-3 (ikan salmon, kacang walnut). Kurangkan mengambil lemak trans, alkohol dan kafeina.
  • Bersenam secara tetap: Bersenam akan meningkatkan aliran darah, mengurangkan stres dan boleh meredakan gejala endometriosis. Jika anda tidak biasa aktif, cuba mulakan dengan berjalan beberapa kali dalam seminggu.
  • Hilangkan stres: Stres boleh memburukkan lagi masalah anda. Oleh itu, carilah cara untuk menguruskannya. Anda boleh mencuba meditasi atau pertimbangkan untuk berjumpa ahli terapi.

Buat tempahan janji temu di Hospital Gleneagles Penang

Endometriosis adalah penyakit kronik yang masih belum ada penyembuhnya. Bagaimanapun, ada rawatan yang boleh membantu anda menguruskan kesakitan dan komplikasi masalah tersebut. Buat tempahan janji temu dengan Pakar Ginekologi di Hospital Gleneagles Penang hari ini jika anda sedang menghadapi mana-mana gejala yang disebut di atas.

Loading...

Wait a minute

Image Popup
Loading...

Wait a minute

Image Popup