Fibroid rahim (leiomioma) adalah ketumbuhan bukan berkanser di dalam atau pada rahim wanita. Fibroid biasanya terbentuk semasa tahun-tahun reproduktif wanita, dari umur kira-kira 16 hingga 50 tahun, apabila paras estrogen (hormon reproduktif wanita) sedang memuncak.
Fibroid boleh muncul di mana-mana sahaja dalam rahim dalam pelbagai saiz berlainan, iaitu daripada saiz yang amat kecil (saiz kacang pea) kepada saiz limau gedang.
Fibroid boleh dikategorikan kepada tiga jenis utama. Fibroid intramural adalah jenis fibroid rahim yang paling biasa dialami, dan tumbuh di dalam dinding otot rahim. Fibroid subserosal tumbuh di dinding luar rahim, dan meliputi kawasan pelvis. Kadang-kadang, ia boleh menjadi agak besar. Fibroid submukosa tumbuh di dalam lapisan otot di bawah lapisan dalam rahim, dan boleh meliputi rongga rahim.
Selain itu, sesetengah fibroid subserosal dan submukosa boleh disambungkan kepada rahim oleh setangkai tisu yang kecil, dan ini dirujuk sebagai fibroid bertangkai.
Punca yang tepat bagi fibroid rahim tidak diketahui sepenuhnya. Namun, beberapa faktor risiko boleh meningkatkan risiko mendapat fibroid rahim: haid pertama dialami sebelum umur 10 tahun, terdedah kepada dietilstilbestrol semasa hamil, dan mempunyai berat badan yang berlebihan atau obesiti.
Memakan daging lembu atau daging lain dan meminum bir ada dikaitkan dengan kemungkinan lebih tinggi untuk mendapat fibroid.
Ada bukti yang mencadangkan bahawa kewujudan gen-gen rentan spesifik boleh menyumbang kepada pembentukan fibroid.
Ramai wanita yang mengalami fibroid rahim tidak bersimptom (tidak mempunyai simptom), meskipun simptom-simptom tertentu mungkin dialami, seperti pendarahan haid yang banyak atau berpanjangan, haid yang sakit, sakit semasa melakukan hubungan seksual, kerap kencing, dan sembelit.
Fibroid lebih cenderung untuk menunjukkan simptom jika ia bersaiz besar, jika terdapat berbilang fibroid, atau jika ia terletak di kawasan spesifik dalam rahim.
Fibroid biasanya akan mengecut apabila paras estrogen menurun dan simptom-simptom fibroid akan bertambah baik apabila seseorang itu mencapai menopaus, iaitu apabila kitaran haid wanita berakhir.
Meskipun kebanyakan fibroid rahim tidak menyebabkan masalah kesihatan yang teruk, penting untuk anda dapatkan rawatan perubatan jika anda mengesyaki anda mengalami masalah fibroid rahim atau mengalami simptom-simptom.
Kemungkinan komplikasi berlaku bergantung pada pelbagai faktor, termasuk lokasi dan saiz fibroid. Fibroid yang besar boleh menyebabkan ketidaksuburan. Fibroid boleh menyebabkan komplikasi semasa hamil, seperti bersalin awal, kelahiran awal, dan kedudukan fetus tidak normal. Ia juga boleh meningkatkan risiko keguguran.
Doktor akan terlebih dahulu bertanya tentang kesihatan umum anda dan simptom sebelum menjalankan pemeriksaan fizikal yang menyeluruh. Diagnosis dibuat berdasarkan simptom yang anda laporkan, pemeriksaan fizikal dan penyiasatan.
Ultrabunyi adalah ujian yang paling biasa digunakan untuk mendiagnosis fibroid rahim. Prosedur pengimejan bukan invasif ini menggunakan jarum yang mengeluarkan gelombang bunyi berfrekuensi tinggi untuk menggambarkan dalaman badan secara visual.
Prosedur histeroskopi dijalankan dengan memasukkan kamera kecil ke dalam rahim melalui serviks untuk mencari fibroid.
Pengimejan resonans magnetik (MRI) adalah teknik pengimejan yang paling berkesan untuk menggambarkan saiz dan lokasi semua mioma rahim dengan tepat. Ia juga boleh membezakan antara pelbagai masalah rahim seperti leiomioma, adenomiosis, dan adenomioma, untuk memberikan maklumat diagnostik yang penting.
Fibroid tidak perlu dirawat jika anda tidak bersimptom (tidak mengalami sebarang simptom) atau jika anda hanya mengalami simptom ringan yang tidak mengganggu aktiviti harian anda dengan ketara.
Ubat antifibrinolitik seperti tablet asid Tranexamic
Ubat antiradang bukan steroid (NSAID)
Kawalan kelahiran hormon (pil kawalan kelahiran, tampalan kulit, gelang faraj, suntikan kontraseptif, alat dalam rahim (IUD), implan)
Sistem evonorgestrel dalam rahim (LNG-IUS)
Analog hormon pelepas Gonadotropin
Jika simptom-simptom anda adalah teruk dan ubat tidak berkesan, pembedahan mungkin dicadangkan. Prosedur pembedahan histerektomi untuk membuang rahim mungkin dicadangkan jika saiz fibroid anda besar atau anda mengalami pendarahan yang teruk dan tidak mahu hamil lagi.
Satu lagi pilihan adalah prosedur pembedahan miomektomi, untuk membuang fibroid daripada dinding rahim. Ia biasanya dianggap sebagai alternatif untuk histerektomi, khususnya jika anda ingin mengekalkan kesuburan anda supaya boleh hamil pada masa akan datang.
Prosedur bukan pembedahan yang disediakan untuk merawat fibroid termasuk embolisasi arteri rahim (UAE), iaitu prosedur untuk menyekat bekalan darah ke fibroid. Prosedur ablasi endometrium boleh menghapuskan lapisan rahim, tetapi ia tidak akan mengecutkan fibroid. Ia boleh membantu mengurangkan pendarahan haid yang banyak disebabkan fibroid.
Ketahui lanjut: Fibroid vs Sista (Cyst)
Jika anda mengesyaki anda mengalami simptom fibroid rahim, hubungi kami untuk mengetahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Obstetrik & Ginekologi kami di Hospital Gleneagles berdekatan anda.
Anda juga boleh menghubungi Pusat Saringan Kesihatan di Hospital Gleneagles berdekatan anda untuk membuat janji temu saringan kesihatan
Wait a minute