Memahami Rambut Gugur Selepas Bersalin | Hospital Gleneagles
Click to know more!
Penjagaan Pencegahan
Kesihatan Wanita

Memahami Rambut Gugur Selepas Bersalin

12 Julai 2024 · 3 mins read

Topics





Keguguran rambut selepas bersalin atau alopecia selepas bersalin ialah keguguran rambut yang boleh berlaku pada bulan-bulan selepas bersalin. Ketahui cara menanganinya secara berkesan.

Menikmati pengalaman menjadi ibu adalah sesuatu yang menggembirakan, namun ia sering kali membawa perubahan fizikal, seperti keguguran rambut selepas bersalin. Menyedari rambut menipis beberapa minggu selepas kelahiran bayi anda boleh menjadi perkembangan yang tidak dijangka dan tidak menyenangkan bagi sesetengah ibu.

Marilah kita memahami punca di sebalik keguguran rambut selepas bersalin dan ketahui apa yang boleh anda lakukan untuk menangani keadaan ini secara berkesan.

Permulaan dan tempoh keguguran rambut selepas bersalin

Keguguran rambut selepas bersalin, juga dikenali sebagai alopecia selepas bersalin, melibatkan keguguran rambut yang ketara dalam beberapa bulan selepas bersalin. Keadaan ini, secara perubatan dipanggil Postpartum Telogen Effluvium (PPTE), biasanya bermula sekitar tiga hingga empat bulan selepas bersalin. Ia merupakan kejadian biasa dan sementara bagi kebanyakan wanita.

Biasanya, rambut gugur selepas bersalin berlangsung antara enam hingga 12 bulan selepas kelahiran. Namun, tempohnya boleh berbeza-beza, dengan sesetengah wanita mengalaminya untuk tempoh yang lebih singkat dan yang lain lebih lama. Tahap dan panjang keguguran rambut berbeza pada setiap orang.

Akan tetapi, penting untuk memahami bahawa keguguran ini ialah tindak balas normal akibat perubahan hormon semasa selepas bersalin. Rambut biasanya tumbuh semula apabila tahap hormon stabil, biasanya dalam tempoh setahun.

Gejala dan punca rambut gugur selepas bersalin

Anda mungkin melihat helaian rambut pada bantal, pakaian atau perasan saliran mandi anda tersumbat dengan rambut. Peningkatan keguguran rambut ini adalah semula jadi dan berlaku akibat perubahan hormon selepas kehamilan.

Semasa kehamilan, tahap estrogen yang lebih tinggi memanjangkan fasa pertumbuhan rambut, menyebabkan rambut yang lebih tebal dan bersinar. Walau bagaimanapun, tahap estrogen berkurangan selepas bersalin, menyebabkan kitaran rambut kembali normal. Perubahan ini boleh mengakibatkan keguguran rambut bertambah.

Walaupun keguguran rambut juga berpunca kerana penyusuan, penting untuk anda tahu bahawa penyusuan itu sendiri bukan secara langsung menyebabkan keguguran rambut. Keguguran rambut selepas bersalin lebih dipengaruhi oleh perubahan hormon dan bukannya akibat penyusuan susu ibu. Namun begitu, tekanan dan tuntutan pemakanan yang berkaitan dengan penyusuan susu ibu secara tidak langsung boleh menyumbang kepada keguguran rambut jika tidak diuruskan dengan secukupnya.

Langkah-langkah menguruskan rambut gugur selepas bersalin

Berikut adalah beberapa langkah yang boleh anda ambil untuk menguruskan keguguran rambut selepas bersalin.

Memastikan nutrisi yang optimum

  • Nutrisi boleh memberi kesan kepada kesihatan rambut dengan ketara.
  • Pastikan diet anda mengandungi vitamin, mineral, protein, biotin, Vitamin E, zink dan zat besi yang mencukupi kerana kesemuanya menyokong pertumbuhan rambut.
  • Dapatkan nasihat pemakanan peribadi daripada pembekal penjagaan kesihatan anda.

Pengurusan tekanan

  • Mempelajari teknik relaksasi, mencari cara untuk mendapatkan tidur yang mencukupi dan mengamalkan penjagaan diri boleh membantu anda menguruskan tekanan. Kemudian, akan memberi kesan positif kepada kesihatan rambut.

Penjagaan rambut yang baik

  • Urut kulit kepala anda dengan kerap untuk melancarkan peredaran darah, sekali gus menggalakkan pertumbuhan rambut.
  • Pilih perapi yang ringan dan melembapkan untuk mengelak daripada memberatkan rambut anda.
  • Elakkan menyikat atau penggayaan yang berlebihan yang boleh menyebabkan rambut rapuh selepas bersalin. Gunakan sikat gigi lebar untuk meleraikan kusut dan berhati-hati semasa mengeringkan rambut menggunakan tuala.
  • Cuba-cuba gaya rambut berbeza boleh menyamarkan bahagian rambut yang menipis atau olah penampilan rambut agar lebih penuh. Contohnya, gaya rambut lebih pendek atau potongan berlapis untuk nampak tebal.
  • Kurangkan penggunaan alat penggayaan yang dipanaskan seperti pelurus dan pengeriting rambut untuk mengelakkan kerosakan pada rambut halus selepas bersalin. Sapukan produk pelindung haba jika perlu.

Rawatan perubatan

  • Walaupun keguguran rambut selepas bersalin tidak berbahaya, jika anda mendapati rambut gugur secara berlebihan atau berpanjangan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar dermatologi untuk rawatan yang disesuaikan dan untuk menolak kemungkinan masalah lain seperti gangguan tiroid yang boleh menyumbang kepada keguguran rambut.

Baca lebih lanjut: Penjagaan Selepas Bersalin

Atur janji temu di Hospital Gleneagles

Mengalami keguguran rambut selepas bersalin boleh menjadi cabaran buat ibu muda. Amat penting untuk memahami bahawa fenomena ini adalah normal dan sementara disebabkan oleh perubahan hormon semasa kehamilan dan selepas bersalin.

Mengambil langkah proaktif seperti mengekalkan diet seimbang, mengurus tahap tekanan dan berunding dengan profesional penjagaan kesihatan jika kebimbangan berterusan boleh membantu menempuh fasa ini dengan lebih berkesan.

Jika anda bimbang tentang keguguran rambut selepas bersalin, hubungi kami untuk atur janji temu dan berunding dengan pakar Obstetrik dan Ginekologi kami, atau mengetahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Gleneagles yang terdekat dengan anda.


Suggested Artikel