Topics
Serangan jantung sering dikaitkan sebagai risiko kesihatan yang lebih kerap menjejaskan golongan dewasa yang lebih berusia. Namun, trend terkini menunjukkan peningkatan yang ketara dalam kalangan individu muda mengalami masalah jantung, khususnya mereka berumur antara 18 hingga 44 tahun. Peningkatan ini dilihat lebih ketara dalam kalangan wanita muda.
Perubahan trend ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan profesional kesihatan. Terdapat banyak faktor gaya hidup moden seperti diet tidak sihat, kekurangan aktiviti fizikal, merokok, vape, tekanan kronik dan perubahan hormon yang dianggap memainkan peranan besar. Peningkatan kadar obesiti dan diabetes turut menyumbang kepada trend yang membimbangkan ini.
Memahami Punca Serangan Jantung
Serangan jantung atau infarksi miokardium berlaku apabila aliran darah yang membekalkan oksigen ke otot jantung tersekat. Keadaan ini biasanya disebabkan oleh pengumpulan lemak kolesterol dan bahan lain pada dinding arteri yang menyebabkan aterosklerosis.
Faktor penyumbang:
- Aterosklerosis: Penyempitan arteri akibat pembentukan plak yang menghalang aliran darah.
- Darah Tinggi: Tekanan darah yang tinggi meningkatkan beban pada jantung dan boleh merosakkan dinding arteri.
- Pilihan Gaya Hidup Tidak Sihat: Pemakanan yang tidak seimbang, merokok, pengambilan alkohol berlebihan dan ketiadaan aktiviti fizikal.
- Faktor Genetik: Sejarah keluarga yang pernah mengalami penyakit jantung meningkatkan risiko.
- Tekanan Emosi atau Fizikal Akut: Situasi yang sangat tertekan secara tiba-tiba boleh mencetuskan serangan jantung, walaupun pada individu tanpa sejarah penyakit jantung.
Mengapa Individu Muda Lebih Terjejas Ketika Ini?
Beberapa perubahan gaya hidup dan trend tingkah laku masa kini, telah meningkatkan risiko penyakit jantung dalam kalangan golongan muda:
- Sedentari: Masa skrin yang panjang dan kurang bergerak menyumbang kepada peningkatan berat badan serta penurunan kecergasan kardiovaskular.
- Perubahan Pemakanan: Pengambilan makanan diproses yang tinggi gula, lemak dan garam meningkatkan tahap kolesterol serta tekanan darah.
- Kesihatan Mental dan Tekanan: Tekanan kebimbangan dan kemurungan yang berterusan—sering dipengaruhi oleh tekanan digital dan sosial—memberikan kesan negatif kepada kesihatan jantung.
- Penggunaan Bahan: Merokok, penggunaan dadah dan pengambilan alkohol berlebihan dikaitkan dengan kerosakan jantung secara langsung.
- Obesiti dan Diabetes: Keadaan ini semakin meningkat dalam kalangan belia muda dan merupakan penyumbang terkenal kepada penyakit kardiovaskular.
- Penangguhan Mendapatkan Rawatan: Ramai individu muda cenderung mengabaikan tanda amaran awal, menyebabkan diagnosis tertangguh dan risiko kesihatan yang lebih tinggi.
Mengenali Simptom Serangan Jantung
Mengenal pasti simptom serangan jantung seawal mungkin boleh menyelamatkan nyawa. Petunjuk utama termasuk:
- Sakit Dada atau Terhimpit: Sering digambarkan sebagai rasa sesak atau menekan yang boleh merebak ke lengan rahang leher atau belakang.
- Sesak Nafas: Boleh berlaku walaupun tanpa sakit dada.
- Kelesuan Tidak Dapat Dijelaskan: Terutama biasa pada wanita.
- Peluh Sejuk: Terjadi tanpa usaha fizikal.
- Loya atau Senak: Simptom gastrousus ini mungkin menyamarkan serangan jantung.
- Pening atau Rasa Ringan Kepala: Boleh menjadi tanda berkurangnya aliran darah ke otak.
Langkah-langkah Pencegahan untuk Kesihatan Jantung
Mengambil pendekatan proaktif amat penting untuk mengurangkan risiko serangan jantung, terutamanya dalam kalangan generasi yang lebih muda.
Strategi Gaya Hidup Sihat:
- Diet Seimbang: Gabungkan bijirin penuh, buah-buahan, sayur-sayuran, protein tanpa lemak dan sumber lemak sihat. Kurangkan makanan berlemak tepu makanan yang diproses dan gula tambahan.
- Senaman yang kerap: Sasarkan sekurang-kurangnya 150 minit aktiviti aerobik sederhana setiap minggu disertakan dengan latihan kekuatan.
- Elakkan Merokok dan Alkohol Berlebihan: Hapuskan penggunaan tembakau dan hadkan pengambilan alkohol mengikut tahap yang disarankan.
- Saringan Kesihatan Rutin: Pantau tekanan darah, gula darah dan paras kolesterol, terutama bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga penyakit jantung.
- Pengurusan Berat Badan: Mengekalkan berat badan yang sihat melalui aktiviti fizikal yang konsisten dan pemakanan yang teliti.
- Kurangkan Masa Skrin: Mengurangkan tingkah laku sedenteri dengan menambah aktiviti fizikal dalam rutin harian.
Dapatkan Nasihat Perubatan Awal
Jumlah kes serangan jantung yang semakin meningkat dalam kalangan belia muda membimbangkan, tetapi keadaan ini masih boleh diatasi. Melalui pendidikan, intervensi awal dan perubahan gaya hidup, risiko serangan jantung dapat dikurangkan dengan ketara.
Jika anda atau orang tersayang mengalami simptom yang merisaukan, atau bimbang tentang kesihatan kardiovaskular anda, penting untuk mendapatkan nasihat perubatan segera. Hospital Gleneagles menawarkan pemeriksaan kardiovaskular menyeluruh serta penjagaan jantung yang dipimpin oleh pakar kardiologi berpengalaman.