Gleneagles Hospital Penang
Health Hub
Artikel
Ketumbuhan Kepala dan Leher: Gambaran Keseluruhan

Ketumbuhan Kepala dan Leher: Gambaran Keseluruhan

Head and Neck Tumour : An Overview

Mengenai Ketumbuhan (Tumor) Kepala dan Leher

Tumor kepala dan leher adalah kategori ketumbuhan luas yang berlaku di kawasan kepala dan leher. Istilah ini digunakan untuk menggambarkan beberapa tumor yang berbeza yang berkembang di dalam atau di sekeliling:

  • Rongga mulut: Ini termasuk bibir, lidah, gusi, lapisan pipi dan bibir, bawah dan atas mulut dan di belakang gigi geraham. Barah kepala dan leher merupakan sejenis barah yang lazim ditemukan.
  • Kelenjar air liur: Kelenjar liur menghasilkan air liur yang melembabkan mulut dan tekak anda. Kelenjar utama terletak di bawah mulut dan berhampiran dengan tulang rahang.
  • Sinus: Sinus merujuk kepada ruang berongga di dalam tulang yang mengelilingi hidung. 
  • Rongga hidung: Rongga hidung merujuk kepada ruang berongga di dalam hidung.
  • Tonsil.
  • Tekak (farinks).
  • Pita suara (larinks): Pita suara atau larinks merujuk kepada laluan pendek yang terbentuk oleh rawan di bawah tekak (farinks). Ia mengandungi pita suara dan sekeping tisu kecil yang dinamakan epiglotis yang berfungsi untuk menghalang makanan daripada memasuki saluran udara. 
  • Telinga.
  • Nodus limfa di bahagian atas leher.

Tumor boleh jadi barah atau tidak merbahaya. Tumor barah adalah malignan yang bermaksud sel-sel tubuh membesar di luar kawalan dan merebak ke bahagian tubuh yang lain. Tumor benigna bermakna tumor boleh membesar tetapi tidak akan merebak ke bahagian tubuh yang lain.

Barah atau barah yang menjangkiti bahagian kepala dan leher boleh dirawat sekiranya dikesan dengan awal.

Apakah gejala-gejala barah Kepala dan Leher?

Barah kepala dan leher sukar untuk didiagnosis kerana gejala-gejala yang kebiasaannya ringan dan menggambarkan keadaan yang kurang serius. Gejala barah kepala dan leher adalah termasuk tetapi tidak terhad kepada:

  • Ketulan pada leher
  • Sakit di dalam mulut yang tidak sembuh
  • Suara serak atau tekak gatal yang tidak sembuh
  • Sakit yang berterusan di leher, rahang, atau telinga
  • Muka berasa kebas atau kaku
  • Sukar bernafas, bercakap, mengunyah atau menelan makanan
  • Hidung berdarah
  • Hidung tersumbat yang tidak sembuh
  • Kesakitan dan bengkak di sekitar mata
  • Masalah deria bau
  • Kerap sakit kepala

Sekiranya anda mengalami mana-mana gejala ini, anda perlu mendapatkan nasihat profesional perubatan dengan segera.

 

Apakah yang menyebabkan Barah Kepala dan Leher?

Penggunaan alkohol dan tembakau merupakan dua faktor risiko paling utama bagi barah kepala dan leher lebih-lebih lagi barah rongga mulut, hipofarinks dan pita suara. Individu yang menggunakan tembakau dan alkohol mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap barah-barah jenis ini. Kebanyakan karsinoma sel skuamus kepala dan leher di mulut dan pita suara berpunca daripada penggunaan tembakau dan alkohol. 

Papilomavirus manusia(HPV) merupakan faktor risiko bagi barah orofarinks yang melibatkan tonsil atau pangkal lidah. Walaupun HPV boleh dikesan pada jenis barah kepala dan leher yang lain, ia adalah satu-satunya punca pembentukan barah pada orofarinks. Punca ia berlaku tidak dapat difahami sepenuhnya.

Dedahan pekerjaan. Dedahan pekerjaan terhadap bahan-bahan tertentu seperti habuk kayu adalah faktor risiko untuk barah nasofarinks. Dedahan industri tertentu termasuk dedahan terhadap asbestos dan fiber sintetik telah dikaitkan dengan barah pita suara namun peningkatan risiko masih menjadi kontroversi.

Pendedahan radiasi. Radiasi terhadap kepala dan leher, untuk keadaan bukan barah atau barah, merupakan faktor risiko bagi barah kelenjar air liur.

Jangkitan virus Epstein-Barr. Meningkatkan risiko seseorang untuk menghidap tumor.

Keturunan. Keturunan Asia, khususnya orang Cina, adalah faktor risiko bagi barah nasofarinks.  

 

Jenis-jenis Barah Kepala dan Leher

Secara amnya terdapat 6 jenis barah kepala dan leher yang utama. Setiap jenis barah dinamakan mengikut bahagian tubuh di mana ia terbentuk.

  • Barah Mulut

Barah jenis ini menjejaskan bibir dan gusi, dua pertiga bahagian hadapan lidah, pelapisan pipi dan bibir serta di lelangit mulut anda.

  • Barah Farinks

Farinks atau tekak bermula dari belakang hidung hingga ke bahagian atas esofagus (salur yang membawa makanan ke perut anda. Ia terpecah kepada tiga bahagian:   

Nasofarinks (belakang hidung), orofarinks (belakang mulut, pangkal lidah dan tonsil) dan hipofarinks (bahagian bawah).

Barah nasofarinks sering ditemukan di Asia, Afrika dan Mediterranean.

Barah nasofarinks merupakan jenis barah yang kelima tertinggi dilaporkan di Malaysia berdasarkan Daftar Barah Malaysia 2012-2016.

  • Barah Larinks

Larinks atau pita suara terletak di bahagian atas trakea (saluran udara).

  • Barah Rongga Hidung dan Sinus Paranasal 

Sel-sel barah boleh tumbuh pada tisu di dalam dan belakang hidung anda (rongga hidung) dan ruang berongga dalam tulang berdekatan dengannya yang dinamakan sinus paranasal.

  • Barah Kelenjar Air Liur

Ditemukan pada dasar mulut (barah submandibel) dan berhampiran tulang rahang anda (barah parotid), kelenjar-kelenjar ini menghasilkan air liur untuk mulut.

  • Barah Tiroid

Barah yang terbentuk daripada kelenjar tiroid di hadapan pita suara. 


Bagaimana Barah Kepala dan Leher Dikesan?

Pengesanan awal adalah kunci kepada kejayaan rawatan barah kepala dan leher.

Sekiranya doktor merasakan anda mungkin menghadapi masalah, mereka akan melakukan pemeriksaan terperinci terhadap kepala dan leher anda dan langkah seterusnya adalah melakukan endoskopi, laringoskopi atau endoskopi hidung. Doktor akan menggunakan salur yang panjang dan nipis berserta lampu dan lensa untuk melihat rongga hidung, mulut, tekak sehingga ke pita suara anda secara dekat dan dengan lebih jelas.

Bergantung kepada lokasi dan jenis barah kepala dan mulut, doktor mungkin akan melakukan sitologi penyedutan jarum halus (FNAC) untuk mengambil sedikit cecair atau tisu yang akan diperiksa di bawah mikroskop. Dari semasa ke semasa, doktor mungkin mengeluarkan keseluruhan ketumbuhan dan memeriksanya untuk menentukan patologinya. Imbasan CT dan MRI dilakukan bagi melihat bahagian tersebut dengan lebih dekat dan untuk menilai tahap penyakit dan peringkat barah. Selalunya, imbasan PET juga perlu dilakukan.

 

Rawatan Barah Kepala dan Leher

Bagi memastikan pilihan rawatan terbaik, adalah penting untuk menentukan jenis barah yang dihidapi pesakit. Rawatan ini bergantung kepada tahap, lokasi dan saiz barah. Walaupun banyak prinsip rawatan barah kepala dan leher bertindih, rawatan secara amnya adalah spesifik khusus tapak dan spesifik histologi.

Rawatan mungkin melibatkan:

  • Pembedahan untuk mengeluarkan barah dan sebarang tisu abnormal yang mungkin merebak ke bahagian lain termasuk nodus limfa di leher anda. Jenis pembedahan yang diperlukan bergantung kepada kes anda secara khusus.
  • Rawatan radioterapi dan/atau kemoterapi boleh menjadi tambahan untuk pembedahan di mana ia membunuh sel-sel barah yang masih ada atau menghentikan pertumbuhannya.

Rawatan barah kepala dan leher agak mencabar serta memerlukan pendekatan pelbagai disiplin dengan pembedahan, radioterapi dan terapi sistemik menjadi komponen-komponen utama rawatan.

Ia memerlukan pakar otorhinolaringologi serta pakar bedah kepala dan leher bekerjasama dengan pakar onkologi perubatan dan pakar onkologi radiasi untuk menghasilkan pelan rawatan optimum bagi pesakit.

Proses pemulihan barah kepala dan leher mungkin melibatkan bantuan pakar rehabilitasi dan pakar-pakar lain untuk menangani kesan sampingan seperti kehilangan pendengaran, kurang selera makan, masalah pergigian, sukar bernafas atau sukar bertutur.