Gleneagles Hospital Penang
Health Hub
Artikel
Menangani Demam Kanak-kanak

Menangani Demam Kanak-kanak

Mempunyai anak yang mengalami demam boleh menjadi perkara yang membimbangkan ibu bapa, terutamanya ibu dan ayah yang tiada pengalaman.

Apakah suhu yang dianggap terlalu tinggi? Patutkah anda membawa si kecil anda berjumpa doktor dengan segera? Mari kita ketahui.

gleneagles-fever-children

Cara mengambil bacaan suhu untuk kanak-kanak

Demam berlaku apabila 'termostat' dalaman badan atau hipotalamus di otak meningkatkan suhu badan melebihi paras normal – biasanya sebagai tindakan pertahanan semula jadi untuk melawan jangkitan.

Kanak-kanak dianggap demam apabila suhu mereka mencecah 38°C (atau 100.4°F).

Ibu bapa disyorkan untuk menggunakan termometer digital untuk mengambil bacaan, kerana ini adalah kaedah yang paling cepat dan paling tepat.

  • Bagi bayi baru lahir sehingga tiga bulan, sebaiknya ambil suhu secara rektal (dalam dubur).
  • Bagi bayi berumur antara tiga bulan hingga tiga tahun disyorkan untuk mendapatkan bacaan secara rektal, dari telinga atau ketiak.
  • Bagi kanak-kanak berumur lima tahun ke atas, bacaan boleh dilakukan secara oral, telinga atau ketiak.

Punca biasa demam pada kanak-kanak

Antara punca demam yang paling biasa dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia:

  • Jangkitan virus atau bakteria
  • Kesan imunisasi
  • Tumbuh gigi
  • Malignan atau masalah keradangan seperti Penyakit Kawasaki atau penyakit tisu penghubung

Bilakah patut berjumpa dengan doktor

Memandangkan demam adalah perkara semula jadi dalam pembesaran, amat penting untuk ibu bapa mengetahui bila demam boleh ditangani di rumah dan bila perlu mendapatkan nasihat perubatan dengan segera.

Amat penting untuk berunding dengan doktor anda jika:

  • Suhu mencecah 38°C atau lebih tinggi untuk bayi bawah umur tiga bulan.
  • Suhu mencecah 39°C untuk kanak-kanak yang lebih berusia.

Simptom yang perlu diberi perhatian adalah tanda-tanda yang tidak pernah dialami oleh anak anda sebelum ini seperti:

  • Enggan minum makan minum
  • Tidak aktif
  • Cirit-birit berpanjangan
  • Muntah
  • Menunjukkan tanda-tanda dehidrasi - lesu, tidak bermaya, mulut kering, kurang kencing atau kurang air mata semasa menangis
  • Tidak selesa
  • Kesukaran bernafas
  • Sawan
  • Warna kulit yang lebih pucat berbanding biasa
  • Mengalami sakit telinga, sakit tekak, ruam
  • Sakit semasa kencing

Sekiranya masalah di atas berterusan dan demam tidak kebah selepas 48 jam atau jika anak anda mengalami masalah perubatan kronik, anda harus segera berjumpa dengan doktor.

Kanak-kanak boleh mengalami sawan yang teruk jika demam yang dialami adalah tinggi dan tidak dirawat. Dua jangkitan yang paling serius ialah meningitis dan septisemia (jangkitan darah) – dan walaupun jarang berlaku, simptom boleh bertambah teruk dengan cepat, dan rawatan perubatan segera diperlukan.

Tetapi kadangkala, demam boleh disebabkan oleh sesuatu yang mudah seperti berpakaian berlebihan (terutamanya pada bayi kecil) atau kanak-kanak berada dalam persekitaran yang panas.

Pengurusan demam di rumah

Demam mungkin tidak serius jika kanak-kanak itu masih melakukan aktiviti dan bermain seperti biasa, berjaga-jaga, makan dan minum dengan baik dan kelihatan sihat apabila suhu reda.

Jika anak anda yang demam tidak selesa, ubat paracetamol boleh diberi bersama-sama cecair seperti air, sup, jus, ais loli atau jeli untuk mengelakkan dehidrasi. Jangan paksa mereka makan jika tidak suka dan biarkan mereka makan apa yang mereka mahu secara sederhana.

Pastikan mereka mendapat rehat yang mencukupi, maka langkah yang terbaik adalah tidak menghantar mereka ke sekolah, taska atau pusat jagaan harian. Pastikan mereka berada dalam persekitaran yang sejuk dan elakkan daripada memakai pakaian yang berlebihan.

Atur janji temu di Hospital Gleneagles

Kanak-kanak pasti akan mengalami demam semasa kecil dan kebanyakannya akan pulih dan kembali kepada keadaan normal dalam masa beberapa hari. Namun, bagi bayi kurang tiga bulan atau kanak-kanak yang mengalami cirit-birit atau muntah yang berterusan, adalah lebih baik untuk selamat dan berunding dengan doktor.

Hubungi kami untuk mengetahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Pediatrik kami di Hospital Gleneagles yang terdekat dengan anda. Pasukan pakar pediatrik yang berdedikasi bersedia untuk memberikan bantuan perubatan jika anak anda mengalami demam dan masalah yang berkaitan.