Kathrine (tiga dari kiri) bersama tetamu kehormat yang menghadiri tayangan perdana 'Ocean of Star' di Auditorium Hospital Gleneagles Pulau Pinang baru-baru ini.
GEORGE TOWN - Sebuah monodrama bertajuk 'Ocean of Star' berkisarkan perjuangan seorang ibu dalam membesarkan anak autisme telah ditayangkan dalam tayangan perdana yang diadakan di Auditorium Hospital Gleneagles Pulau Pinang baru-baru ini.
Pengerusi Pertubuhan Penang Shine Like Stars, Kathrine Koo berkata, monodrama itu memaparkan penerimaan, perjuangan dan ketabahan yang ditempuhi oleh keluarga yang mempunyai anak autisme.
Menurutnya, tayangan itu adalah sebahagian daripada Kempen Penerimaan Autisme tahunan badan bukan kerajaan dengan sokongan dan kerjasama rakan kongsi, Senses at Work, Clover Make-up Academy dan Triple I Production House
"Tujuan monodrama ini dianjurkan sempena dengan sambutan Hari Kesedaran Autisme bagi memupuk rasa prihatin dalam kalangan masyarakat serta menerima kekurangan golongan kanak-kanak yang mengalami masalah autisme.
"Penerbitan ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran dan memupuk komuniti yang lebih memahami serta empati terhadap golongan autism.
"Monodrama ini serta Kempen Jualan Amal di Pasaraya Prangin baru-baru ini merupakan kempen amal untuk membantu mengutip dana Persatuan Autisme yang disasarkan sebanyak RM80,000," katanya.
Tambah beliau, tayangan monodrama itu juga ditaja dan dianjurkan bersama oleh Hospital Gleneagles Pulau Pinang.
"Diarahkan pelakon berbakat tempatan, Lim Chia Chia dan Studio JL7, 'Ocean of Star' ini menyentuh emosi penonton dengan kisah perjuangan dan kejayaan seorang ibu ketika membesarkan anak lelakinya yang autisme.