Cara Turunkan Suhu Demam & Punca Demam Panas pada Kanak-Kanak | Gleneagles Hospital Penang
Gleneagles Hospital Penang
Health Hub
Artikel
Apa yang Perlu Anda Tahu Tentang Suhu & Punca Demam Anak

Apa yang Perlu Anda Tahu Tentang Suhu & Punca Demam Anak

Dealing With Fevers In Children

Mempunyai anak yang mengalami suhu demam tinggi boleh menjadi perkara yang membimbangkan ibu bapa, terutamanya ibu dan ayah yang tiada pengalaman.

Apakah suhu yang dianggap terlalu tinggi? Patutkah anda membawa si kecil anda berjumpa doktor dengan segera? Mari kita ketahui.

Cara membaca suhu demam untuk kanak-kanak

Demam berlaku apabila 'termostat' dalaman badan, iaitu hipotalamus di otak meningkatkan suhu badan melebihi paras yang biasa sebagai pertahanan semula jadi melawan jangkitan.

Kanak-kanak dianggap demam apabila suhu badan mereka mencapai 38°C (atau 100.4°F). Mengambil bacaan suhu badan demam dengan betul adalah penting untuk mengetahui tahap kesihatan anak anda.

Ibu bapa disyorkan untuk menggunakan termometer digital untuk mengambil bacaan suhu badan demam kerana ia adalah kaedah yang paling cepat dan tepat.

  • Bagi bayi baru lahir sehingga tiga bulan: Sebaiknya ambil suhu badan demam mereka secara rektal (dalam dubur).
  • Bagi bayi berumur tiga bulan hingga tiga tahun: Bacaan suhu badan demam boleh diambil secara rektal, dari telinga, atau bawah ketiak.
  • Bagi kanak-kanak berumur lima tahun ke atas: Suhu badan semasa demam boleh diukur secara oral, dari telinga atau bawah ketiak.

Punca biasa demam panas pada kanak-kanak

Demam dalam kalangan kanak-kanak adalah tindak balas semula jadi sistem imun terhadap pelbagai keadaan. Di Malaysia, beberapa punca demam dan punca demam panas yang paling biasa termasuk:

Jangkitan (Viral atau Bakteria)

Jangkitan adalah punca demam yang paling lazim, dengan jangkitan virus seperti selesema, influenza, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), dan demam denggi sering menjadi penyebab. Jarang berlaku, jangkitan bakteria seperti radang paru-paru, jangkitan saluran kencing, dan radang tekak streptokokus juga boleh menyebabkan demam panas.

Demam selepas imunisasi

Selepas menerima vaksin seperti DTaP atau MMR, kanak-kanak mungkin mengalami demam panas ringan. Ini adalah tindak balas normal badan semasa membina imuniti, dan demam ini biasanya hilang dalam satu hingga dua hari.

Pertumbuhan gigi

Bayi yang sedang tumbuh gigi mungkin mengalami sedikit peningkatan suhu badan demam, namun ia jarang melebihi 38°C. Jika suhu badan lebih tinggi, punca demam yang lain perlu dipertimbangkan.

Demam berkaitan ketumbuhan (Kanser)

Dalam beberapa kes kanser, demam panas mungkin disebabkan oleh jangkitan atau pembebasan bahan dari sel kanser. Walaupun jarang, jika demam panas berterusan tanpa tanda jangkitan, ia boleh menjadi tanda ketumbuhan dan perlu disiasat lebih lanjut.

Penyakit radang dan autoimun

  • Penyakit Kawasaki: Penyakit ini menjejaskan kanak-kanak di bawah umur lima tahun dan menyebabkan demam panas, ruam, mata merah, serta pembesaran kelenjar limfa. Rawatan segera adalah penting.
  • Penyakit Tisu Penghubung Campuran (MCTD): Lebih biasa di kalangan kanak-kanak yang lebih besar, ia menyebabkan demam, keradangan sendi, ruam, dan radang pelbagai organ.
  • Demam Mediterranean Keluarga (FMF): Penyakit genetik ini menyebabkan demam panas berulang akibat sistem imun yang terlalu aktif.

Bila perlu berjumpa doktor untuk demam

Memandangkan demam dan peningkatan suhu badan perkara semula jadi dalam proses pembesaran, amat penting untuk ibu bapa mengetahui bila demam boleh ditangani di rumah dan bila perlu mendapatkan nasihat perubatan dengan segera.

Amat penting untuk berunding dengan doktor anda jika:

  • Suhu badan demam bayi yang berumur bawah tiga bulan mencecah 38°C atau lebih tinggi untuk bayi bawah umur tiga bulan.
  • Jika suhu demam anak yang lebih berusia mencecah 39°C, pertimbangkan untuk berjumpa doktor.

Simptom yang perlu diberi perhatian adalah tanda-tanda yang tidak pernah dialami oleh anak anda sebelum ini seperti:

  • Enggan minum makan minum
  • Tidak aktif
  • Cirit-birit berpanjangan
  • Muntah
  • Menunjukkan tanda-tanda dehidrasi - lesu, tidak bermaya, mulut kering, kurang kencing atau kurang air mata semasa menangis
  • Tidak selesa
  • Kesukaran bernafas
  • Sawan
  • Warna kulit yang lebih pucat berbanding biasa
  • Mengalami sakit telinga, sakit tekak, ruam
  • Sakit semasa kencing

Sekiranya masalah di atas berterusan dan demam tidak kebah selepas 48 jam atau jika anak anda mengalami masalah perubatan kronik, anda harus segera berjumpa dengan doktor.

Kanak-kanak boleh mengalami sawan yang teruk jika demam yang dialami adalah tinggi dan tidak dirawat. Dua jangkitan yang paling serius ialah meningitis dan septisemia (jangkitan darah) – dan walaupun jarang berlaku, simptom boleh bertambah teruk dengan cepat, dan rawatan perubatan segera diperlukan.

Tetapi kadangkala, demam boleh disebabkan oleh sesuatu yang mudah seperti berpakaian berlebihan (terutamanya pada bayi kecil) atau kanak-kanak berada dalam persekitaran yang panas.

Cara turunkan suhu demam anak di rumah

Jika anak anda mengalami demam, tetapi masih aktif, bermain seperti biasa, berjaga-jaga, makan dan minum dengan baik, serta kelihatan sihat ketika suhu reda, demam tersebut mungkin tidak serius. Berikut adalah beberapa langkah pengurusan demam yang boleh dilakukan di rumah:

  • Berikan ubat paracetamol: Ini membantu menurunkan suhu badan dan melegakan ketidakselesaan.
  • Pastikan pengambilan cecair yang mencukupi: Galakkan anak untuk minum air, sup, jus, ais loli, atau jeli untuk mengelakkan dehidrasi.
  • Biarkan anak berehat secukupnya: Pastikan mereka mendapat rehat yang mencukupi dan elakkan menghantar mereka ke sekolah, taska, atau pusat jagaan harian.
  • Pakaikan pakaian yang ringan: Elakkan pakaian berlebihan yang boleh menyebabkan badan menjadi panas.
  • Pastikan persekitaran yang sejuk dan selesa: Pastikan mereka berada dalam persekitaran yang sejuk dengan pengaliran udara yang baik.

Jika suhu demam tidak turun selepas pengurusan di rumah, atau anak menunjukkan tanda-tanda masalah serius seperti kurang responsif atau sawan, segera dapatkan rawatan perubatan.

Atur janji temu di Hospital Gleneagles Penang

Kanak-kanak pasti akan mengalami demam semasa kecil dan kebanyakannya akan pulih dan kembali kepada keadaan normal dalam masa beberapa hari. Namun, bagi bayi kurang tiga bulan atau kanak-kanak yang mengalami cirit-birit atau muntah yang berterusan, adalah lebih baik untuk selamat dan berunding dengan doktor.

Hubungi kami untuk mengetahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Pediatrik kami di Hospital Gleneagles Penang. Pasukan pakar pediatrik yang berdedikasi bersedia untuk memberikan bantuan perubatan jika anak anda mengalami demam dan masalah yang berkaitan.

Loading...

Wait a minute

Image Popup
Loading...

Wait a minute

Image Popup