Tanda dan Punca Mengandung Luar Rahim | Hospital Gleneagles

Mengandung Luar Rahim

Kehamilan berlaku apabila telur yang disenyawakan terhasil daripada penyatuan telur dan sperma berjaya menanam dirinya ke dalam rahim. Bagaimanapun, pelbagai komplikasi boleh berlaku semasa kehamilan dan salah satunya adalah mengandung luar rahim atau kehamilan ektopik.

Perempuan yang berfikir tentang mengandung luar rahim

Istilah “kehamilan ektopik” berasal daripada perkataan Greek “ektopas,” yang bermaksud “tidak pada tempatnya.”

Semasa mengandung, telur yang disenyawakan bergerak dari tiub falopio ke rahim untuk menanamkan diri dan membesar. Jika proses ini terganggu, telur yang disenyawakan boleh ditanam dan mula berkembang di luar rahim yang mengakibatkan kandungan luar rahim.

Kebanyakan kandungan luar rahim berkembang dalam tiub falopio yang dirujuk sebagai kehamilan tiub. Kehamilan ektopik biasanya disebabkan oleh kerosakan tiub Fallopio, yang akan menghalang telur yang disenyawakan daripada bergerak kepada uterus.

Faktor risiko dan punca kandungan luar rahim

Berikut ialah faktor risiko yang boleh menyebabkan kandungan luar rahim:

Faktor lain yang boleh menambah risiko seorang wanita untuk mengalami kandungan luar rahim termasuk:

  • Menghisap rokok
  • Umur lebih dari 35 tahun
  • Sejarah ketidaksuburan
  • Penggunaan teknologi reproduktif berbantu seperti persenyawaan in vitro (IVF)

Lebih kurang separuh daripada wanita yang telah mengalami kehamilan ektopik tidak mempunyai faktor risiko yang diketahui. Wanita yang aktif secara seksual sepatutnya menyedari akan perubahan dalam badan, terutamanya jika mereka mengalami gejala kandungan luar rahim. Oleh itu, adalah penting untuk mengenali punca-punca ini dan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya.

Gejala dan tanda mengandung luar rahim

Kebanyakan wanita akan mengalami gejala fizikal dalam minggu keenam kehamilan (kira-kira 2 minggu sesudah terlepas haid). Anda mungkin sedar atau tidak sedar yang anda hamil jika haid anda tidak teratur, atau jika alat pencegah hamil anda gagal berfungsi.

Mengenalpasti wanita yang mengandung luar rahim bukanlah sesuatu yang jelas dan mudah dibuat kerana ia mempunyai pelbagai gejala. Kandungan luar rahim akan memberikan kesan yang berbeza pada setiap wanita. Ada wanita yang tidak akan mengalami gejala, dan ada yang mungkin mengalami sedikit gejala, sementara yang lain mungkin akan mengalami banyak gejala.

Tanda-tanda kandungan luar rahim termasuk:

  1. Sakit di bahagian bawah abdomen: Ini mungkin terjadi secara tiba-tiba tanpa sebab yang jelas atau mungkin terjadi secara perlahan-lahan sepanjang beberapa hari. Sakit ini mungkin dirasai pada satu sisi sahaja.
  2. Pendarahan faraj: Anda mungkin mengalami tompokan atau pendarahan yang berbeza daripada darah haid normal. Pendarahan mungkin lebih ringan atau lebih banyak atau lebih gelap daripada biasa.
  3. Sakit di hujung bahu: Sakit ini disebabkan oleh darah yang meleleh masuk ke dalam abdomen dan menandakan keadaan telah bertambah teruk. Sakit ini akan sentiasa dirasai dan mungkin bertambah teruk apabila anda baring. Sakit akan bertambah teruk apabila bergerak dan tidak boleh diredakan dengan ubat penghilang kesakitan. Segera dapatkan nasihat perubatan jika anda mengalami gejala ini.
  4. Sakit perut: Anda mungkin ada cirit-birit atau rasa sakit ketika membuang air.
  5. Sakit abdomen yang teruk: Jika tiub Falopio meletus atau pecah dan menyebabkan pendarahan dalaman, anda mungkin mengalami kesakitan abdomen yang teruk atau anda mungkin pengsan. Dalam keadaan yang jarang berlaku, pengsan mungkin petanda pertama untuk wanita yang mengandung luar rahim. Ini adalah kecemasan dan anda harus mendapatkan rawatan perubatan segera.

Diagnosis kehamilan ektopik

Diagnosis bagi kehamilan ektopik akan dilakukan berdasarkan perkara berikut:

  1. Pemeriksaan fizikal dan perundingan: Doktor anda akan bertanyakan sejarah perubatan anda serta gejala dan memeriksa abdomen anda.
  2. Ujian kehamilan air kencing: Ujian ini akan dilakukan untuk mengetahui jika anda hamil.
  3. Ultrabunyi transvaginal: Imbasan ultrabunyi transvaginal ini dilakukan untuk memeriksa uterus, ovari dan tiub Falopio untuk menilai keadaan anda.
  4. Ujian darah: Ujian paras hormon kehamilan βhCG (beta gonadotrofin korion manusia) atau satu ujian selang beberapa hari untuk melihat perubahan dalam paras hormon ini mungkin akan dapat membantu memberikan diagnosis. Pemeriksaan ini selalunya dilakukan setiap 48 jam. Bagi kehamilan dalam uterus, paras hormon akan naik sebanyak 63% setiap 48 jam (dikenali sebagai “masa berganda”), manakala bagi kehamilan ektopik, paras ini selalunya lebih rendah dan naik dengan lebih perlahan atau kekal sama.

Ketahui lebih lagi: 7 Ujian Saringan Kesihatan untuk Wanita

Atur janji temu dan dapatkan rawatan di Hospital Gleneagles

Menghadiri lawatan pranatal dan mengekalkan komunikasi terbuka dengan doktor adalah penting untuk memantau kesihatan anda dan menangani sebarang soalan atau kebimbangan yang mungkin timbul semasa kehamilan.

Jika anda mengalami mana-mana simptom kehamilan ektopik, sila hubungi kami untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Perkhidmatan Obstetrik & Ginekologi kami di Hospital Gleneagles terdekat anda.

Loading...

Wait a minute