Apa Anda Perlu Tahu Tentang Meningitis | Hospital Gleneagles
Kepakaran & Pakej
Pengkhususan Perubatan
Neurologi
Apa Anda Perlu Tahu Tentang Meningitis

Apa Anda Perlu Tahu Tentang Meningitis

meningitis

Meningitis ialah keradangan meninges, lapisan pelindung yang melitupi otak dan saraf tunjang. Membran ini memainkan peranan penting dalam melindungi otak dan saraf tunjang daripada kecederaan. Meningitis boleh menjejaskan individu pada mana-mana umur, tetapi lebih kerap dialami oleh bayi, kanak-kanak, remaja dan dewasa.

Penting untuk memahami bahawa meningitis berbeza daripada ensefalitis, yang merujuk kepada keradangan otak itu sendiri. Meningitis adalah keadaan serius yang boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat dengan cepat.

Punca Meningitis

Meningitis boleh dikelaskan berdasarkan puncanya:

Meningitis viral

  • Bentuk meningitis yang paling biasa, selalunya kurang teruk daripada meningitis bakteria.
  • Biasanya disebabkan oleh virus yang bertanggungjawab menyebabkan cacar air, influenza, beguk dan campak.
  • Golongan yang mempunyai sistem imun yang sihat biasanya boleh pulih tanpa campur tangan perubatan. Namun, memandangkan potensi keterukan sebarang meningitis, penilaian perubatan adalah penting jika simptom timbul.

Meningitis bakteria

  • Keadaan yang mengancam nyawa yang memerlukan perhatian perubatan segera. Terdapat beberapa jenis bakteria yang diketahui menyebabkan jenis meningitis ini.
  • Simptom biasanya timbul dalam masa tiga hingga tujuh hari selepas pendedahan, walaupun meningitis tuberkulosis (TB) boleh mengambil masa yang lebih lama untuk nyata.
  • Boleh menyebabkan sepsis, iaitu reaksi serius dan berpotensi membawa maut apabila tindak balas badan terhadap jangkitan menyebabkan keradangan meluas. Tanpa rawatan yang tepat pada masanya, sepsis boleh menyebabkan kegagalan organ dan kematian.

Meningitis kulat

  • Jarang terjadi. Biasanya berlaku apabila spora kulat disedut dari persekitaran, akhirnya sampai ke sistem saraf pusat.
  • Lebih kerap dialami individu yang mempunyai sistem imun yang lemah.

Meningitis parasit

  • Jenis meningitis yang jarang berlaku disebabkan oleh parasit, biasanya parasit yang menjangkiti haiwan.
  • Boleh dijangkiti melalui pengambilan makanan yang tercemar dengan parasit ini.

Faktor risiko

Individu yang berisiko tinggi untuk meningitis termasuk bayi dan kanak-kanak kecil, remaja dan dewasa muda, warga tua, individu dengan sistem imun yang lemah (contohnya akibat HIV, kanser atau ubat penekan imun). Begitu juga golongan yang tidak melengkapkan jadual vaksinasi dan menyalahgunakan alkohol.

Walaupun meningitis itu sendiri tidak berjangkit, bakteria dan virus yang menyebabkannya boleh merebak antara individu, terutamanya melalui kontak rapat.

Simptom

Simptom meningitis mungkin berbeza-beza, tetapi tanda biasa termasuk demam, sakit kepala, loya dan muntah, leher kaku, kepekaan terhadap cahaya (fotofobia), kekeliruan, mengantuk, sakit sendi, sawan, dan ruam (petechiae).

Bagi bayi, simptom mungkin berbeza daripada orang dewasa dan lebih sukar untuk dikenal pasti. Tanda utama pada bayi termasuk ‘tulang lembut’ (fontanelle) yang menonjol di kepala, kesukaran menyusu, mengantuk yang luar biasa atau sukar untuk bangun, kelesuan dan tangisan bernada tinggi.

Komplikasi Meningitis

Meningitis boleh menyebabkan masalah kesihatan jangka panjang yang serius termasuk:

  • Kehilangan pendengaran (separa atau penuh)
  • Kehilangan penglihatan (separa atau penuh)
  • Isu ingatan dan tumpuan
  • Sawan berulang
  • Masalah koordinasi dan imbangan
  • Masalah pembelajaran dan tingkah laku pada kanak-kanak
  • Artritis (keradangan sendi)
  • Kehilangan anggota badan

Diagnosis

Mendiagnosis meningitis melibatkan penilaian sejarah perubatan pesakit, pemeriksaan fizikal dan menjalankan ujian diagnostik. Doktor akan menilai simptom seperti kekakuan leher, sensitiviti kepada cahaya dan perubahan dalam keadaan mental.

Kaedah diagnostik biasa termasuk:

  • Tusukan lumbar (spinal tap) : Menguji cecair serebrospinal untuk jangkitan.
  • Ujian darah: Untuk memeriksa penanda jangkitan.
  • Ujian pengimejan: Imbasan CT atau MRI untuk menilai pembengkakan atau kelainan dalam otak.

Pilihan Rawatan

Rawatan bergantung kepada punca meningitis. Pendekatan biasa termasuk:

  • Antibiotik untuk meningitis bakteria.
  • Ubat antivirus untuk meningitis virus.
  • Ubat antikulat untuk meningitis kulat.
  • Steroid untuk mengurangkan keradangan di sekeliling otak, jika perlu.
  • Ubat penahan sakit.
  • Cecair intravena (IV) untuk penghidratan.

Dalam kes meningitis virus, simptom boleh hilang tanpa rawatan dalam masa tujuh hingga 10 hari. Namun, meningitis bakteria dan kulat sering memerlukan rawatan yang berpanjangan. Pemulihan penuh boleh mengambil masa beberapa minggu atau bulan.

Mencegah Meningitis

Langkah-langkah pencegahan termasuk:

  • Memastikan vaksinasi terkini untuk bayi, kanak-kanak dan remaja.
  • Vaksinasi untuk individu berisiko tinggi (cth, golongan yang pergi ke kawasan yang mempunyai kadar meningitis bakteria yang tinggi).
  • Antibiotik profilaksis untuk individu yang berisiko tinggi jangkitan bakteria.
  • Amalan pengendalian makanan yang selamat.
  • Menjaga kebersihan diri.
  • Elakkan kontak rapat dengan individu yang tidak sihat.
  • Mengelakkan sumber air yang tercemar.
  • Memasak daging dan makanan laut sepenuhnya.

Atur Janji Temu di Hospital Gleneagles

Meningitis adalah keadaan serius yang memerlukan rawatan perubatan segera. Diagnosis dan rawatan awal boleh meningkatkan peluang pemulihan dengan ketara dan mengurangkan risiko komplikasi. Jika anda atau orang tersayang mengalami simptom meningitis, dapatkan nasihat perubatan segera.

Di Hospital Gleneagles, pasukan pakar neurologi kami yang sangat berpengalaman sedia untuk memberikan penjagaan dan sokongan pakar. Aturkan janji temu hari ini untuk membincangkan sebarang kebimbangan tentang meningitis atau masalah neurologi lain. Kami komited untuk menyediakan penjagaan peribadi standard tertinggi untuk anda dan keluarga anda.

Loading...

Wait a minute