Topics
Melioidosis ialah jangkitan bakteria yang berpotensi mengancam nyawa, disebabkan oleh Burkholderia pseudomallei, sejenis bakteria yang secara semula jadi terdapat dalam tanah basah dan air permukaan di kawasan beriklim tropika dan subtropika. Penyakit ini kebiasaannya menjejaskan individu yang tinggal atau bekerja di kawasan seperti Asia Tenggara dan Australia Utara, dengan Malaysia, Singapura dan Thailand sebagai antara kawasan panas utama. Bakteria ini boleh memasuki tubuh manusia melalui luka dan lelasan, penyedutan habuk tercemar atau pengambilan air tercemar. Pekerjaan yang melibatkan sentuhan rapaat dengan tanah atau air bertakung— seperti pertanian, pembinaan dan landskap—membawa risiko pendedahan yang lebih tinggi.
Perjalanan global dan perubahan corak iklim juga menyumbang kepada peningkatan pengesanan melioidosis di kawasan di luar lingkungan geografi tradisionalnya.
Mengenal Pasti Simptom Melioidosis
Mengenal Pasti Simptom Melioidosis
Melioidosis boleh menjejaskan pelbagai sistem organ dan simptomnya mungkin berbeza-beza bergantung pada laluan jangkitan serta tahap kesihatan individu. Pengenalpastian awal dan rawatan perubatan segera amat penting untuk mencegah komplikasi teruk.
Simptom Umum
Penyakit ini sering bermula dengan tanda yang tidak spesifik dan menyerupai influenza. Demam selalunya ialah simptom pertama dan paling berterusan, biasanya disertai menggigil, sakit otot, sakit kepala dan penurunan berat badan tanpa disengajakan. Simptom umum ini mencerminkan tindak balas sistem imun badan dan boleh mendahului komplikasi yang lebih setempat atau lebih serius.
Penglibatan Sistem Pernafasan
Melioidosis pulmonari boleh menyebabkan pelbagai simptom pernafasan, daripada batuk berterusan, sama ada kering atau berkahak atau berdarah, hingga sesak nafas dan sakit dada. Dalam kes yang lebih serius, keadaan ini boleh menyebabkan pneumonia atau kegagalan pernafasan akut, terutamanya dalam kalangan individu yang mempunyai penyakit paru-paru kronik atau sistem imun yang lemah.
Jangkitan Kulit dan Tisu Lembut
Kemasukan bakteria melalui kulit yang luka boleh menyebabkan jangkitan kulit setempat. Keadaan ini boleh muncul sebagai ulser atau abses yang mengeluarkan nanah. Walaupun simptom ini kelihatan luaran, ia mungkin menandakan penglibatan dalaman yang lebih mendalam. Abses subkutaneus kerap diperhatikan dalam kalangan individu yang berulang kali terdedah kepada tanah atau air tercemar.
Kesan Neurologi
Dalam kes lanjut, jangkitan boleh merebak ke sistem saraf pusat. Keadaan ini boleh menyebabkan simptom seperti kekeliruan arah, kekeliruan mental atau sawan. Tanda neurologi ini sering menunjukkan jangkitan dalam aliran darah atau penyebaran bakteria yang meluas dan memerlukan rawatan hospital segera.
Penyebaran Sistemik dan Manifestasi Lain
Melioidosis mampu menjejaskan pelbagai sistem dalam tubuh. Sakit sendi dan bengkak sendi boleh berlaku jika jangkitan merebak ke tulang atau sendi. Sesetengah lelaki mungkin mengalami kesukaran membuang air kecil, yang menandakan kemungkinan penglibatan saluran urogenital. Abses dalaman juga boleh menyebabkan sakit abdomen atau sakit dada. Apabila jangkitan menjadi tersebar, pelbagai organ boleh terjejas dan memerlukan rawatan yang lebih panjang serta pemantauan klinikal rapi.
Pilihan Rawatan untuk Melioidosis
Pengurusan melioidosis melibatkan rejimen antibiotik intensif dalam dua fasa. Kelewatan rawatan boleh mengakibatkan penyakit yang teruk atau kematian, menjadikan diagnosis awal dan rawatan segera amat penting.
Ceftazidime:
biasanya merupakan antibiotik intravena barisan pertama untuk kes akut.
Carbapenem:
Ubat seperti meropenem atau imipenem digunakan bagi jangkitan yang lebih teruk atau rintang.
Trimethoprim Sulfamethoxazole (TMP-SMX):
Digunakan dalam fasa kedua rawatan secara oral selepas jangkitan akut stabil.
Doxycycline:
Alternatif untuk pesakit yang tidak dapat bertoleransi dengan TMP-SMX.
Amoxicillin Clavulanic Acid (Co-Amoxiclav):
Lebih sesuai digunakan pada kanak-kanak dan wanita hamil kerana profil keselamatannya yang baik.
Soalan Lazim Tentang Melioidosis
1. Adakah melioidosis berjangkit?
Tidak. Jangkitan ini biasanya tidak merebak antara individu. Penyakit ini diperoleh melalui pendedahan persekitaran.
2. Bagaimanakah penyakit ini didiagnosis?
Diagnosis memerlukan ujian makmal seperti kultur darah atau biopsi tisu. Disebabkan simptomnya yang meluas, pengecaman yang tepat amat penting untuk rawatan yang berkesan.
3. Bolehkah penyakit ini membawa maut?
Ya. Tanpa rawatan perubatan yang sesuai, melioidosis boleh menyebabkan komplikasi teruk dan kematian. Rawatan awal sangat meningkatkan prognosis.
4. Siapakah yang paling berisiko?
Individu yang menghidap diabetes, penyakit buah pinggang kronik atau mempunyai sistem imun yang lemah amat berisiko. Individu yang kerap terdedah kepada tanah atau air tercemar di kawasan endemik juga berisiko tinggi.
5. Bagaimanakah melioidosis boleh dicegah?
Langkah pencegahan termasuk memakai pakaian pelindung semasa aktiviti luar, mengelakkan sentuhan dengan air berlumpur serta memastikan akses kepada air minuman yang selamat di kawasan terjejas.
Aturkan Janji Temu di Hospital Gleneagles
Melioidosis ialah jangkitan bakteria serius yang sering kurang dikenali dan boleh menjadi lebih teruk dengan cepat jika tidak dirawat. Dengan simptom yang menyerupai penyakit lain serta potensi penglibatan pelbagai organ, penilaian perubatan amat penting untuk diagnosis yang tepat dan rawatan tepat pada masanya.
Jika anda berisiko atau mengalami sebarang simptom berkaitan, segera dapatkan nasihat profesional kesihatan. Anda boleh atur janji temu di Hospital Gleneagles melalui laman web kami atau aplikasi mudah alih MyHealth360 yang tersedia di Google Play Store dan Apple App Store.
Kesihatan dan ketenangan anda adalah keutamaan kami. Biarkan pasukan perubatan berpengalaman kami membantu anda ke arah pemulihan yang selamat dan menyeluruh.