斋月减肥:不是那么简单
Tidur Selepas Sahur
Sementara itu, Pakar Pembedahan Am dan Pembedahan Saluran Gasto-Usus Atas, Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Yeap Chee Loong mempunyai perspektifnya sendiri.
Ketika diwawancara SinarPlus, beliau menyentuh tentang tabiat tidur selepas bersahur.
“Tidur selepas sahur sangat tidak digalakkan kerana akan memberi kesan dan membahayakan kesihatan.
“Ini kerana makanan memerlukan masa selama dua hingga empat jam untuk proses pencernaan. Jika seseorang memilih untuk tidur dalam tempoh masa itu, proses pencernaan akan terganggu, begitu juga dengan penyerapan nutrien.
“Maka Makanan yang telah dimakan Ketika sahur juga tidak mampu menghasilkan tenaga yang diperlukan tubuh.
Selain itu, terdapat beberapa kesan sampingan lain. Antaranya adalah:
Risiko kegemukan
Tidur selepas makan akan mendorong kepada peningkatan berat badan.
“Lebih-lebih lagi jika makan makanan bergoreng, berlemak dan manis lebih pada hari biasa. Makanan itu semua akan menyebabkan tubuh badan tidak dapat mencerna dengan baik dan nutrisi makan yang dimakan akan berkumpul menjadi lemak pada tubuh,“ jelas beliau.
Cepat lapar
Bukan itu sahaja, amalan tidur semula selepas sahur akan menjadikan makanan yang dimakan itu tidak dapat diproses dengan sempurna.
“Sebahagian besar nutrien akan bertukar ke simpanan lemak dengan amat cepat. Ini akan membuatkan seseorang itu merasa lapar dengan cepat seawal jam 10 pagi,“ beritahunya.
Gangguan kepada saluran pencernaan
Posisi berbaring sewaktu tidur juga boleh menyebabkan gangguan kepada proses pencernaan makanan.
“Masalah refluks esophagitis boleh berlaku dan ini amat merisaukan yang mana bahagian bawah esophagus boleh terdedah kepada pengaliran asid perut.
“Keadaan itu secara tidak langsung akan mengganggu proses pencernaan makanan tidak dapat dilakukan dengan sempurna ketika tidur,“ katanya.
Sebagai seorang doktor prihatin, pakar pembedahan itu berpesan kepada semua umat Islam agar jangan sesekali meninggalkan sahur.
“Kesannya, Ia akan merangsang kepada tahap metabolisme rendah sehingga waktu berbuka tiba.” Ujar beliau
Misi Mohd Ikbar turunkan berat badan gagal. Hanya dua minggu sahaja, berat badan Mohd Ikbar Muhaimin Ahmad, 28, bertambah sebanyak 3 kilogram. Kata Mohd Ikbar, beliau sangat terkejut melihat transisi itu kerana dirinya memang memasang matlamat mahu menurunkan berat badan sempena Ramadan yang mulia ini.
Kalau diikutkan berat asalnya adalah 77 kilogram dan misinya mahu turun kepada 70kg.
“Saya memang berhajat mahu kurus sedikit pada bulan puasa ini, tetapi sebaliknya yang berlaku,“ katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.
Pun demikian, Mohd Ikbar mengakui tentang kesilapan tabiat pemilihan makanannya ketika berbuka dan bersahur.
“Saya makan umpama tiada hari esok. Saya akan membeli kuih-muih, roti, aneka nasi dan air di bazar pada setiap hari. Saya seboleh-bolehnya akan menghabiskan makanan tersebut. Bimbang membazir,“ ujar lelaki yang berasal dari Ipoh, Perak itu.
Apabila bersahur pula, beliau akan mula makan pada pukul 4 pagi.
“Seusai itu, saya akan tidur seketika sementara menunggu masa untuk menunaikan solat Subuh dan bersiap ke tempat kerja,“ tambahnya. Melihat kepada rutin itu, Mohd Ikbar mengakui, pendekatan yang dilakukannya bukan sahaja tidak betul, malah memudaratkan kesihatan dan misinya untuk kurus pasti tidak akan tercapai.
“Selepas mendapat nasihat daripada rakan sekeliling, pada minggu-minggu terakhir ini, saya cuba untuk mengubah corak pemakanan dan gaya hidup Ramadan saya.
“Pertama sekali, saya akan elak minum air manis. Selain itu, saya cuba terapkan dalam diri agar bersederhana dalam apa sahaja dilakukan terutama ketika menikmati makanan,“ katanya.
Doktor dipaparkan
Dr Yeap Chee Loong
Pakar Pembedahan Am & Pembedahan Saluran Gasto-Usus Atas
Hospital Gleneagles Kuala Lumpur
*Artikel ini pada asalnya ditulis oleh Farah Eliani pada 2 Mac 2021 dan boleh didapati di Sinar Harian