KANSER kolorektal adalah kanser kedua paling kerap berlaku membabitkan pesakit kanser yang didaftarkan di Malaysia iaitu meliputi 13.5 peratus selepas kanser payudara (19 peratus), menurut laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia (MNCR) 2012-2016.
Kanser kolorektal juga diibaratkan pembunuh senyap kerana menduduki tangga kedua dalam kategori kanser yang boleh menyebabkan kematian.
Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi, Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Dr Lee Wai Kin, berkata senario penyakit itu menjadi lebih memudaratkan apabila lebih 70 peratus kanser kolorektal lewat dikesan iaitu ketika pesakit sudah berada pada tahap tiga atau empat.
Menurutnya, kanser kolon, juga dikenali kanser kolorektal apabila membabitkan rektum, sejenis kanser yang bermula pada usus besar.
"Ia biasanya bermula sebagai ketumbuhan kecil tidak berbahaya dipanggil polip, tetapi boleh berubah menjadi kanser dari semasa ke semasa," katanya kepada BH.
Dalam hal ini, kolon adalah istilah perubatan untuk usus besar manakala rektum, bahagian akhir usus besar yang menyambung usus besar dan dubur.
Secara ringkas, kolon dan rektum adalah sebahagian saluran gastrousus yang berperanan dalam sistem pencernaan dan penyahtinjaan dan jika digabungkan, panjang kedua-dua bahagian itu kira-kira 150 sentimeter.
Dr Wai Kin berkata, kanser kolon berkembang apabila sel normal yang terdapat pada lapisan kolon mengalami mutasi asid deoksiribonukleik (DNA) sehingga menyebabkan pertumbuhan sel tidak terkawal.
"Sel yang tidak normal itu kemudiannya membentuk tumor yang boleh menyerang tisu berdekatan dan merebak (metastasis) ke organ lain seperti hati atau paru-paru.
Gaya hidup beri pengaruh besar meningkatnya kes kanser kolon
"Proses perubahan dari polip ke kanser boleh mengambil masa bertahun-tahun, sebab itulah saringan berkala penting untuk pengesanan awal," katanya.
Beliau berkata, biasanya risiko kanser kolorektal meningkat selepas individu berusia 50 tahun namun trend ketika ini mendapati penyakit itu turut menyerang golongan muda berusia seawal 30-an.
Individu mempunyai ahli keluarga terdekat yang menghidap kanser kolon berisiko lebih tinggi untuk mendapat penyakit itu.
"Pengambilan daging merah dan makanan diproses dalam jumlah tinggi serta kekurangan serat dalam pemakanan juga menyumbang kepada peningkatan risiko kanser kolon.
"Selain itu, gaya hidup tidak aktif seperti kurang bersenam, obesiti, tabiat merokok dan pengambilan alkohol berlebihan juga dikaitkan dengan penyakit ini," katanya.
Gemar ambil makanan proses
Selain itu, mutasi genetik misalnya sindrom Lynch turut boleh meningkatkan risiko bukan sahaja kanser kolon malah boleh meningkatkan risiko kanser rahim, ovari, perut, otak, usus, buah pinggang, saluran hempedu dan kulit.
Ini kerana mutasi gen yang mengganggu mekanisme pembaikan DNA menyebabkan pertumbuhan sel tidak terkawal.
Dalam hal ini, individu yang menghidap sindrom Lynch turut cenderung mendapat kanser pada usia lebih muda berbanding orang biasa.
Dr Wai Kin bagaimanapun, menegaskan faktor gaya hidup dilihat memberi pengaruh besar kepada peningkatan kes kanser kolon di Malaysia.
"Menjadi kebimbangan apabila melihat generasi hari ini lebih gemar mengambil makanan proses dan kurang serat seperti sayur-sayuran dan buahbuahan. Mereka juga kurang bergerak atau melakukan aktiviti fizikal.
"Pengambilan makanan seperti daging merah dan makanan proses seperti sosej, daging deli dan sebagainya yang mengandungi karsinogen juga harus dikawal," katanya.
Tambahnya, makanan tinggi lemak, rendah serat contohnya makanan bergoreng dan makanan segera juga menyebabkan keradangan usus selain pengambilan alkohol berlebihan merosakkan lapisan usus seterusnya meningkatkan risiko kanser.
Katanya, faktor yang boleh mencetuskan keadaan ini termasuk diet tidak sihat seperti makanan berminyak atau diproses secara berlebihan, selain tekanan emosi yang memberi kesan kepada sistem pencernaan.
Beliau berkata, lazimnya, pesakit akan mengalami simptom awal seperti perubahan berterusan tabiat membuang air besar seperti cirit-birit, sembelit atau perubahan bentuk najis.
Selain itu, najis berdarah sama ada berwarna merah terang atau gelap juga boleh menjadi petanda serangan awal penyakit itu.
Katanya, ada segelintir pesakit beranggapan mereka mengalami masalah najis berdarah disebabkan buasir dan lambat mendapatkan rawatan yang betul sehinggalah masalah itu menjadi lebih serius.
Menurutnya, individu yang mengalami penurunan berat badan tanpa sebab jelas, letih dan lemah berpanjangan, sakit perut, kejang atau kembung tidak hilang juga perlu berwaspada terhadap kemungkinan kanser kolon.
"Individu disarankan berjumpa doktor sekiranya mengalami simptom berkenaan termasuklah perubahan tabiat usus yang berlangsung lebih daripada beberapa minggu.
"Selain itu, rasa tidak puas selepas membuang air besar juga petanda awal yang tidak boleh diabaikan," katanya.
Kesan peringkat awal
Meskipun kanser kolon dianggap berbahaya dan mengancam nyawa, Dr Wai Kin optimis penyakit itu lebih mudah dirawat sekiranya dikesan pada peringkat awal.
Beliau berkata, kolonoskopi dianggap sebagai kaedah paling berkesan dalam usaha mengesan kanser kolon pada peringkat awal.
Menurutnya, kolonoskopi membolehkan pengeluaran polip pra-kanser sebelum ia berubah menjadi kanser dengan kajian menunjukkan kolonoskopi secara berkala dapat mengurangkan kadar kematian akibat kanser kolon sehingga 68 peratus.
"Tetapi ada pesakit salah faham mengenai kolonoskopi. Mereka bimbang usus pecah, meletup, berdarah atau mengalami kesakitan ketika prosedur dijalankan.
"Hakikatnya, dengan kemajuan dan kecanggihan teknologi perubatan, prosedur ini selamat dan agak selesa.
Ini kerana pesakit diberikan sedatif dan tidak akan merasa sebarang kesakitan sepanjang proses berlangsung.
"Selain itu, pengujian menggunakan Ujian Imunokimia Darah Tersembunyi dalam Najis (iFOBT) yang boleh dilakukan sendiri di rumah atau di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta menggunakan sampel najis," katanya.
Dr Wai Kin menegaskan, pemakanan seimbang memainkan peranan besar dalam pencegahan kanser kolon kerana ia membantu mengekalkan kesihatan usus, mengurangkan keradangan dan membekalkan antioksidan bagi melindungi sel daripada rosak.
"Makanan tinggi serat amat penting kerana ia membantu pergerakan usus yang sihat dan mengurangkan risiko pembentukan polip.
"Jangan sesekali mengabaikan sebarang simptom kerana pengesanan awal dapat menyelamatkan nyawa," katanya.