Dari kiri: Grace, Bong Seng, Kok Hooi dan Sunny ketika Majlis Menandatangani MoU antara Hospital Gleneagles Pulau Pinang dan HCUC baru-baru ini.
GEORGE TOWN- Hospital Gleneagles Pulau Pinang menjalinkan kerjasama strategik dengan Han Chiang University College of Communication (HCUC) menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU).
Naib Canselor HCUC, Profesor Madya Dr Beh Kok Hooi berkata, kerjasama itu penting untuk menggalakkan integrasi sumber akademik dan industri dalam membimbing pelajar.
Menurutnya, program itu turut memberikan peluang kepada pelajar HCUC melaksanakan latihan industri, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka.
“MoU ini akan menguatkan pengaruh akademik dan sosial kedua-dua institusi serta mempromosikan kecemerlangan dalam sektor perkhidmatan, pendidikan selain penjagaan kesihatan.
“Kami amat teruja untuk bekerjasama dengan Hospital Gleneagles Pulau Pinang kerana menawarkan pelbagai peluang kepada pelajar kami melaksanakan latihan industri, penglibatan bersama komuniti, kerja amal dan pembangunan kemahiran.
“Kerjasama ini juga akan memperkenalkan program-program berimpak tinggi seperti seminar dan ceramah yang akan mempersiapkan pelajar HCUC memasuki dunia pekerjaan," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Tambah beliau, kerjasama yang terjalin itu juga memberi peluang kepada Hospital Gleneagles Pulau Pinang memanfaatkan kemudahan media dan kepakaran Pusat Berita HCUC bagi meningkatkan usaha penyebaran maklumat dan komunikasinya.
Majlis menandatangani MoU baru-baru ini dihadiri Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Ng Bong Seng; Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Pentadbiran Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Grace Tan Lay Bee; Ketua Pegawai Operasi Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Dr Benjamin Chow dan Pengurus Kanan Pemasaran Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Aileen Foo.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor HCUC, Profesor Dato Dr Teng Tjoon Tow dan Jenny Khoo Gim Hoon; Dekan Sekolah Komunikasi dan Media, Chuah Chin Guan; Dekan Sekolah Seni Kreatif dan Reka Bentuk Gunaan, Lim Thong Soon; Ketua Pusat Bahasa HCUC, Gina Tio serta Pendaftar HCUC, Sunny Koh Chye Huat.
Sementara itu Bong Seng berkata, kolaborasi itu akan mengukuhkan kerjasama dalam bidang seperti pemasaran, pentadbiran dan perniagaan.
Katanya, kerjasama itu menandakan permulaan baharu dalam hubungan antara akademik dan penjagaan kesihatan selain mencipta peluang bagi pelajar untuk berkembang serta menyumbang secara positif kepada masyarakat.
“Matlamat kami adalah untuk menyediakan persekitaran bekerja sebenar di mana pelajar boleh mempraktikkan pengetahuan akademik mereka, memperoleh pengalaman praktikal dan meneroka peluang pekerjaan selain memperoleh pengalaman daripada kakitangan pengurusan yang berkemahiran.
“Saya berharap kerjasama ini akan mendorong pelajar untuk meneroka bidang baharu yang menarik, mencabar diri mereka dan mengejar minat mereka dalam bidang penjagaan kesihatan,” ujarnya.
Source: https://www.sinarharian.com.my/article/717028/edisi/utara/hospital-gleneagles-pulau-pinang-hcuc-kerjasama-galak-integrasi-akademik