Cara Mengenal, Memahami, dan Menyokong Kanak-Kanak Autistik | Gleneagles Hospital Kota Kinabalu
Hospital Gleneagles Kota Kinabalu
Health Hub
Artikel
Cara Mengenal, Memahami dan Menyokong Kanak-Kanak Autistik

Cara Mengenal, Memahami dan Menyokong Kanak-Kanak Autistik

gleneagles-autism-copy

Disediakan oleh,

Dr. Fauziah binti Zainal Abidin

Pakar Perunding Pediatrik

Gleneagles Kota Kinabalu

Apakah autisme?

Gangguan Spektrum Autisme (Autism Spectrum Disorder, ASD) ialah sejenis gangguan perkembangan minda yang melibatkan masalah komunikasi, tingkah laku dan fungsi sosial. Gangguan perkembangan ini bermula pada peringkat usia kanak-kanak dan mempunyai tahap keterukan yang berbeza-beza.

Tiada daftar rasmi mengenai bilangan kanak-kanak autistik di Malaysia, tetapi kajian tempatan (Azizan, 2008) menunjukkan 1 dalam 625 kanak-kanak menghidap autisme. NASOM juga melaporkan peningkatan 30% dalam pengambilan individu autistik sepanjang tiga tahun (Cheong, 2009).

Statistik ini menekankan kepentingan pengesanan awal dan intervensi untuk membantu kanak-kanak autistik berkembang dengan optimum.

Cara mengenal pasti autisme pada kanak-kanak

Gejala Gangguan Spektrum Autisme termasuk:

Kanak-kanak autistik akan mengalami kesukaran dalam tiga aspek utama:

  1. Gangguan dalam interaksi sosial: Ini termasuk cabaran dalam menggunakan tingkah laku bukan lisan seperti kontak mata, ekspresi wajah, postur badan dan gerak isyarat yang biasanya terdapat dalam interaksi sosial biasa.
  2. Kesukaran komunikasi: Ini mungkin termasuk pertuturan yang lewat, ketiadaan perkembangan pertuturan, atau kesukaran untuk memulakan atau mengekalkan perbualan dengan orang lain.
  3. Corak tingkah laku yang terhad dan berulang: Contohnya termasuk melambai tangan, corak berjalan yang tidak biasa, ketertarikan kuat pada objek atau aktiviti tertentu, bermain dengan cara yang kelihatan pelik, atau melakukan ritual tertentu sebelum menjalankan sesuatu tugas.

Apakah faktor risiko autisme?

Punca sebenar Autism Spectrum Disorder (ASD) masih belum diketahui. Namun, kajian menunjukkan beberapa faktor boleh meningkatkan kemungkinan seorang kanak-kanak mempunyai autisme:

  • Faktor genetik: Sejarah keluarga yang mempunyai autisme atau keadaan genetik tertentu (seperti Sindrom Fragile X atau tuberous sclerosis) boleh meningkatkan risiko.
  • Umur ibu bapa: Kehamilan pada usia ibu atau bapa yang lebih lanjut, terutamanya umur bapa yang lebih tua, dikaitkan dengan peningkatan risiko ASD.
  • Faktor kehamilan dan kelahiran: Kelahiran pramatang, berat lahir rendah atau komplikasi semasa kelahiran boleh menyumbang kepada risiko.
  • Faktor persekitaran: Pendedahan kepada jangkitan tertentu semasa kehamilan atau bahan toksik mungkin memainkan peranan, walaupun bukti masih terhad.

Penting untuk ditegaskan bahawa vaksin tidak menyebabkan autisme. Setiap kanak-kanak dipengaruhi oleh gabungan faktor genetik dan persekitaran, dan tiada satu faktor tunggal yang boleh dianggap sebagai punca utama ASD.

Bagaimanakah cara untuk mengendalikan kanak-kanak autistik?

Mana-mana kanak-kanak yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan bertutur menjelang usia dua tahun, menunjukkan tingkah laku yang aneh dan sukar berinteraksi dengan orang lain perlu diperiksa dengan sewajarnya.

Tanda-tanda ini biasanya dikenal pasti semasa janji temu di klinik kanak-kanak. Seterusnya, kanak-kanak tersebut akan menerima surat rujukan untuk berjumpa pakar pediatrik atau pakar perubatan keluarga.

Kemudian, kanak-kanak tersebut akan diperiksa oleh pakar perkembangan pediatrik, pakar psikiatri kanak-kanak atau pakar psikologi kanak-kanak.

Diagnosis awal dan intervensi segera adalah penting untuk mengoptimumkan potensi kanak-kanak tersebut.

Rawatan dan intervensi untuk kanak-kanak autistik

Terdapat tiada rawatan tunggal untuk Autism Spectrum Disorder. Pelbagai terapi dan intervensi boleh membantu mengurangkan simptom dan meningkatkan kemahiran. Kanak-kanak autistik menunjukkan hasil terbaik apabila menerima intervensi yang disesuaikan mengikut keperluan mereka.

Pendekatan Rawatan yang Berkesan:

  • Rawatan berbeza bagi setiap individu, tetapi kajian menunjukkan bahawa program yang tersusun dan khusus cenderung memberikan hasil terbaik.
  • Diagnosis awal dan intervensi, terutama sebelum atau semasa usia pra-sekolah, memberi kesan positif yang besar terhadap pengurusan simptom dan perkembangan jangka panjang.
  • Rawatan perlu menumpukan kepada keperluan individu dan bukan hanya berdasarkan diagnosis umum, kerana simptom autisme boleh bertindih dengan keadaan lain seperti ADHD.

Dengan intervensi yang tepat, kanak-kanak autistik boleh memperbaiki fungsi harian, kemahiran sosial, dan kualiti hidup secara keseluruhan.

Adakah kanak-kanak autistik berbahaya?

Kanak-kanak autistik tidaklah agresif dalam erti kata mereka tidak akan membahayakan orang lain dengan sengaja. Namun, mereka mungkin akan membahayakan orang lain dengan sengaja oleh sebab ketaasuban mereka dengan ritual atau tingkah laku tertentu.

Beberapa kanak-kanak mungkin menunjukkan tingkah laku fizikal yang tidak disengajakan semasa bermain atau bergera. Mereka mungkin akan menjerit dan menangis di dalam ruang yang sesak apabila gelisah atau menggigit sesiapa yang cuba menghalang mereka. Biasanya, mereka lebih gemar dibiarkan bersendirian.

Malah, mereka lebih terdedah kepada bahaya jika tidak diawasi dengan betul, kerana mereka mungkin terjatuh atau merayau secara tiba-tiba.

Bagaimanakah reaksi majoriti rakyat Malaysia terhadap kanak-kanak yang menghidap autisme?

Walaupun terdapat peningkatan kesedaran secara am dalam kalangan rakyat Malaysia, masih banyak yang tidak difahami tentang perihal sebenar penyakit ini.

ASD mempunyai pelbagai tahap kesukaran dan ketakupayaan yang mungkin mengelirukan orang awam. Kurangnya pengetahuan dan pendedahan kepada autisme boleh memberikan kesan negatif kepada individu autistik dan keluarga mereka.

Adakah pesakit autistik akan hilang kewarasan sepenuhnya?

Hilang ingatan dalam erti kata hilang kewarasan bukan ciri-ciri autisme. Mungkin terdapat beberapa masalah mental yang dikaitkan seperti keresahan dan kemurungan dalam kalangan individu autistik yang tidak menerima sokongan apabila menempuh usia remaja atau dewasa. Dalam kes ini, mereka memerlukan penjagaan tambahan.

Sesetengah kanak-kanak yang menghidap autisme dilaporkan berkembang seperti kanak-kanak normal oleh ibu bapa mereka dalam tahun pertama. Mereka mampu memanggil ibu mereka dan mungkin pernah menuturkan beberapa perkataan yang mempunyai makna tetapi telah merosot dari segi perkembangan pertuturan. Perlahan-lahan, beberapa pola tingkah laku mula muncul dan interaksi yang lemah dengan orang lain semakin ketara. Ini ialah pola yang dikenal pasti pada sesetengah kanak-kanak autistik. Kepentingan diagnosis awal, intervensi segera serta sokongan berterusan untuk individu autistik sepanjang hidup mereka tidak boleh diambil ringan.

Apakah nasihat untuk ibu bapa kepada kanak-kanak autistik yang ingin anak mereka bergaul dengan kanak-kanak lain?

Membesarkan anak autistik adalah tanggungjawab yang besar dan memerlukan penyesuaian dalam kehidupan seharian. Ibu bapa mungkin perlu menyesuaikan diri dengan keperluan anak, ahli keluarga, dan komuniti sekeliling.

Dalam sesetengah kes, satu keluarga mungkin menghadapi cabaran besar, terutamanya jika, ibu atau bapa tunggal memikul sebahagian besar penjagaan anak autistik. Oleh itu, sokongan daripada masyarakat, sistem pendidikan adalah sangat penting.

Semua kanak-kanak autistik wajar mendapat peluang pendidikan yang setara, dan sebahagian daripada mereka mungkin berpotensi memberi sumbangan positif kepada masyarakat apabila disokong dengan betul.

Apakah nasihat anda kepada masyarakat tentang cara untuk berinteraksi dengan kanak-kanak autistik?

Pepatah Afrika menyatakan "Untuk membesarkan seorang anak, seluruh kampung perlu berganding bahu", yang menekankan kepentingan sokongan komuniti dalam membesarkan kanak-kanak autistik.

Kanak-kanak autistik sering kelihatan seperti kanak-kanak lain, menjadikan tanda-tanda awal sukar dikesan. Apabila mereka meragam atau bertindak di luar kawalan mereka, Ibu bapa sering disalah ertikan dan berdepan dengan pandangan sinis, komen negatif serta layanan yang tidak memahami. Situasi ini boleh membebankan ibu bapa yang berusaha mengurus keperluan anak mereka.

Untuk membantu, masyarakat perlu mendekati kanak-kanak autistik dan keluarga mereka dengan lebih empati:

  • Elakkan menghakimi apabila melihat tingkah laku luar jangka
  • Berikan ruang dan masa kepada anak untuk menenangkan diri
  • Gunakan komunikasi yang lembut dan jelas
  • Tawarkan bantuan secara sopan jika ibu bapa kelihatan memerlukannya
  • Hormati keperluan sensori seperti sensitiviti terhadap bunyi atau sentuhan

Dengan sikap lebih prihatin dan bukan menghakimi, kita dapat mewujudkan persekitaran yang inklusif untuk kanak-kanak autistik serta keluarga mereka. Sokongan komuniti membuka peluang lebih besar untuk mereka meningkatkan interaksi, komunikasi dan keyakinan diri.

Atur janji temu di Gleneagles Hospital Kota Kinabalu

Hubungi kami untuk mengetahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Pediatrik di Gleneagles Hospital Kota Kinabalu jika anda mempunyai sebarang soalan tentang Autism Spectrum Disorder (ASD).

Loading...

Wait a minute

Image Popup
Loading...

Wait a minute

Image Popup